Berita

Bantuan DAP Pulau Pinang tiba ke Kelantan diketuai Lim Kit Siang

KOTA BHARU, 28 DIS: Bantuan DAP Pulau Pinang bagi membantu meringankan beban mangsa banjir Kelantan tiba pagi ini dipimpin Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

LKS_banjirKit Siang tiba di Kota Bharu pagi ini bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Penerangan dan Warisan Phee Boon Poh diiringi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu.

Delegasi pemimpin DAP dan kerajaan negeri itu disambut ADUN Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad.

Bantuan DAP Pulau Pinang berupa wang tunai, makanan, pakaian, ubat-ubatan dan keperluan mangsa banjir diserahkan kepada pimpinan PAS dalam satu majlis penyerahan ringkas pagi ini.

Sementara itu, penyelaras bantuan banjir DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee memaklumkan, trak UBAH telah sampai di Gua Musang hari ini dengan barangan bantuan untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa bencana banjir kawasan berkenaan.

Trak_UbahADUN Balakong itu dalam pemaklumannya menyeru pihak yang prihatin dengan bencana banjir di pantai timur untuk meringankan beban dengan menghulurkan bantuan, sama ada menyertai operasi bantuan kecemasan DAP, atau menderma ke tabung bencana.

“Tabung Bencana Banjir DAP dilancarkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur dan negeri-negeri yang terjejas.

“Semua kutipan derma perlu dimasukkan dalam satu akaun khas iaitu ‘Tabung Dana Kecemasan’ (Ambank 8881002244649).

“Sesiapa yang ingin menderma secara ‘online’ (atas talian) juga boleh berbuat demikian,” kata Eddie. – Roketkini.com