Berita

Kes bunuh libat warga Myanmar meningkat, apa tindakan KDN?

BUKIT MERTAJAM, 28 DIS: Jenayah membabitkan migran di Pulau Pinang semakin meruncing apabila dua lagi kes bunuh berlaku di Machang Bubok dan Bayan Lepas.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam kenyataannya berkata, jenayah melibatkan warga asing itu meningkat kepada 50 kes tahun ini, berbanding 37 kes tahun lalu.

“Apa yang lebih membimbangkan lebih 30 kes darinya melibatkan migran terutamanya dari Myanmar.

“Persoalannya, adakah kes bunuh tersebut hanya melibatkan permusuhan puak atau wujud sindiket jenayah migran?”

“Adakah kemungkinan sindiket jenayah migran ini terlibat dengan jenayah lain?” soal SIm.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi dalam kenyataannya sebelum ini berkata, serbuan Ops Kelar yang dilancarkan awal Disember di Kampung Pisang telah menahan 17 warga Myanmar.

Justeru itu beliau menggesa PDRM memberikan status terkini hasil penyiasatan Ops Kelar tempoh hari setelah hampir sebulan serbuan di Kampung Pisang,” gesa Steven.

Dalam kenyataan sama, Steven membangkitkan peranan kerajaan Pusat menangani kes pembunuhan dan kaitannya dengan sindiket pemerdagangan manusia di utara semenanjung Malaysia seperti dilaporkan media antarabangsa.

“Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab keatas PDRM dan Jabatan Imigresen, mengambil tindakan drastik membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan sindiket jenayah warga migran.

“Bukit Mertajam tak ingin kawasan kami menjadi seperti Lahad Datu dan pantai timur Sabah yang berlaku penghijrahan berleluasa warga migran tanpa kebenaran dan melakukan aktiviti sindiket jenayah,” tegas Steven. – Roketkini.com