Budaya

“Mama, saya mahu bercinta”

Setiap manusia, pasti punya impian untuk bahagia. Jatuh cinta pasti sesuatu yang indah, dan selebihnya menyakitkan. Perbualan tentang cinta, seputar hati dan perasaan sering membuatkan kita memasang impian. Dan sudah tentu, perkahwinan adalah hasrat menyambung kisah kebahagian dalam sebuah ikatan yang sah.

Namun, kini perkahwinan bukanlah sekadar manifestasi cinta. Perkahwinan adalah simbol kemegahan status sosial dan budaya menunjuk-nunjuk siapa lebih berada.

Saya percaya rata-rata pasangan muda di Malaysia yang ingin menjadikan hasrat perkahwinan sebuah kenyataan berdepan beban kewangan di masa ekonomi kini. Perkahwinan seperti dialog Zainuddin dan Hayati dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah pertunjukan rupa dan harta.

Soalannya – adakah kita perlu memberi pengertian semula apa itu cinta?

Cinta adalah seni yang paling misteri sekali. Berikutan itu, Erich Fromm pernah menulis buku khusus mengenai cinta yang diberi judul Seni Bercinta dari terjemahan asalnya The Art of Loving.

Di dalam prakata Seni Bercinta, Fromm bermula dengan takrif cinta – yang difahami banyak orang semasa proses emosi dan berkehendak. Orang bercinta kerana mereka mahu meluahkan emosi dan ekspresi dan semestinya untuk berkongsi bagian jiwa mereka dengan pasangannya.

Berangkat daripada naluri dan intuisi manusia yang sering memerlukan teman untuk berkongsi kegembiraan dan kedukaan, Fromm memanjangkan analisa beliau bahawa cinta itu adalah apresiasi terhadap moraliti manusia yang memilih baik dan buruk.

Namun, kita lupa suatu hal yang penting. Cinta memerlukan pedagogi dan pendidikan untuk memimpin kita menjadi manusia. Cinta juga adalah jawapan terhadap krisis ketamadunan dan kepercayaan. Maka, ahli falsafah dan penyair Jalaluddin Rumi berpesan:

“Beragamalah kita dengan cinta, supaya jiwa insan kembali bersatu dengan Tuhannya.”

Cinta, sebuah imaginasi orang-orang kecil dengan angan-angan yang besar. Oleh kerana itu, ahli falsafah dan penulis novel Perancis, Albert Camus menganggap percintaan itu seakan sebuah daerah yang asing, lantas perlahan-lahan memujuk kita melupakan realiti dunia masa kini yang pahit dan keras.

Cinta itu adalah sebuah perasaan yang melangkaui batas agama, kaum, warna kulit dan taraf sosial. Perasaan cinta juga mendorong kita mengerjakan perkara-perkara mustahil – dalam sebaris kata yang diungkapkan penyajak Chairil Anwar:

“Sekali bererti, sesudah itu mati!”

Cinta juga merupakan naratif penting dalam setiap sudut kehidupan, malah melingkupi setiap hela nafas manusia selagi mana ia masih hidup. Kerana cinta, kita menulis prosa dan sajak, kerana cinta kita menggubah lagu dengan kata-kata, dan akhirnya kerana cinta, kita mengenal tuhan, agama dan spiritualiti – dari belas kasihNya meliputi segala!

Cinta mengundang kita menjadi orang-orang besar. “Sesudah bangun, ia jatuh dan bangun kembali” – mengutip dialog daripada novel sasterawan agung Indonesia, Buya Hamka.

Mengutip kata-kata penulis kelahiran Pakistan MJ Akbar suatu ketika dahulu:

“Dunia ini terbentuk dalam dua keyakinan terhadap kepercayaan. Pertama, golongan yang meyakini ketakutan hanyalah satu-satunya cara untuk saling mendekatkan kita dengan Tuhan. Kedua, golongan yang meyakinkan kita bahawa cinta itu adalah cara menguatkan jiwa untuk tidak saling menguasai. Maka, jadilah golongan yang kedua.”

Abad ini, kita sedang berhadapan dengan krisis moral dan perpecahan umat manusia. Maka, yakinlah bahawa cinta adalah satu-satunya jalan pintas untuk mengubah dunia. – Roketkini.com