Rencana

Kebebasan bersuara perlu disulami etika

Isu kebebasan bersuara bukanlah perkara baru di Malaysia malah hebat diperdebatkan di peringkat dunia. Setelah isu serangan Charlie Hebdo oleh ekstremis Islam yang dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati penganut Islam dengan karikatur yang menghina Nabi, isu kebebasan bersuara makin hangat dan dibangkitkan semula.

Pada pendapat saya, kebebasan bersuara mesti diiringi dengan etika sebagaimana kebebasan akademik berfungsi.

Kebebasan akademik yang terlampau sebenarnya disulami dengan banyak sejarah hitam yang sangat gila dan kejam. Semenjak daripada zaman dahulu dan seterusnya ke zaman kebangkitan Eropah dan diikuti dengan zaman perang dunia kedua, banyak kontroversi dan eksperimen yang tidak mampu dibayangkan oleh manusia biasa berlaku atas nama kebebasan akademik. Malah ada beberapa jenayah yang dibolehkan seperti menculik kanak2 terbiar, orang jalanan, orang yang dipenjarakan, dibunuh dengan kejam demi penyelidikan akademik. Berbagai eksperimen untuk membangunkan senjata biologi, pengkajian kesan virus terhadap manusia, pengkajian psikologi yang menggilakan, dan banyak lagi eksperimen yang sangat kejam dan gila berlaku. Malah petikan “membunuh 100 orang untuk menyelamatkan 1 juta yang lain” amat popular demi kebebasan akademik.

Jika kita mengkaji dan membaca eksperimen yang dijalankan sewaktu perang dunia ke pertama dan kedua boleh membuatkan anda tidak lalu makan dan tidur. Contohnya seperti eksperimen Unit 731, Nazi human eksperimen, Poison laboratory of the Soviet secret services, Project 4.1, Project MKUltra dan banyak lagi kajian yang gila dan kejam.

Hari demi hari, saintis dan penyelidik dididik dengan etika sains untuk mengurangkan kesan buruk dan memanusiakan manusia. Jika tidak, eksperimen kejam terhadap manusia dan binatang akan masih berjalan di mana-mana IPT di dunia hari ini. Sebagai contoh, eksperimen pengkajian yang melibatkan penyakit virus dimulai dengan subjek tikus ataupun sel manusia. Contoh yang lain seperti pengkajian elektrik ke atas DNA juga dimulai dengan DNA tumbuhan, seterusnya kepada DNA binatang, dan barulah ke subjek DNA manusia dengan penuh etika dan kebenaran bertulis dan berperingkat untuk mengelakkan eksperimen yang kejam dan tidak melanggar norma manusia. Malah, antara soalan yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa akan bermula dengan “ada alternatif lain?”.

Jadi, limitasi perlu wujud dan dikenali sebagai etika untuk mengurangkan kesan buruk terhadap persekitaran. Tetapi limitasi yang membodohkan kita harus tentang sehabis-habisnya.

Begitu juga dengan kebebasan bersuara, sekiranya manusia terlalu bebas bersuara pasti ada kesan buruk yang akan datang bersamanya.

Contohnya seperti peringkat sekolah, semua orang sedia maklum bahawa mengejek adalah salah satu tindakan buli. Malah daripada ejekan tersebut boleh menyebabkan penderaan mental dan mampu menyebabkan kanak-kanak membunuh diri. Tetapi anehnya di peringkat dewasa, “ejekan” yang tidak beretika dipertahankan sebagai kebebasan bersuara.

Banyak masalah, kontroversi, konflik, dan peperangan juga bermula daripada kebebasan bersuara yang dicanang-canangkan manusia. Sekiranya manusia betul-betul mahu kebebasan suara berpijak, saya sarankan manusia juga dididik dengan etika kebebasan bersuara.

Sekiranya agama dan kepercayaan anda dihina, apa tindakan anda?

Bagi saya, sekiranya sesuatu agama atau kepercayaan dihina dengan lukisan, penganutnya perlu membalas semula dengan lukisan. Sekiranya dihina dengan penulisan, penganutnya perlu membalas dengan lukisan. Sekiranya dihina dengan filem, balas semula dengan filem.

Sekiranya lukisan, penulisan, filem dibalas dengan keganasan dan darah. Sudah tentu mangsa berdarah akan menang. Begitu juga dengan situasi pergaduhan, orang yang memulakan pergaduhan jarang dipersalahkan tetapi pihak yang paling teruk keadaannya akan menang.

Pada Zaman Nabi Muhammad di Madinah, ada seorang penyair yang mengutuk Rasulullah dengan syair. Kemudian sahabat yang bernama Hassan bin Tsabit membalas syair dengan syair semula tersebut sehingga terduduk penyair yang mengutuk apabila mendengar syair balasan tersebut.

Jika kita serius untuk melawan Charlie Hebdo yang menghina semua agama dengan kartun, maka saya sarankan pihak agama seperti gereja, Masjid, Kuil, dan institusi agama yang lain melawannya dengan kartun. Atau anda sendiri boleh melawan dengan kartun, bukannya dengan peluru dan darah. Kita boleh lihat keadaan selepas serangan di Charlie Hebdo tersebut, banyak tindak balas yang melibatkan peluru dan bom tetapi tidak diadili dengan sama rata. Malah, ada serangan balas tersebut lebih teruk daripada serangan Charlie Hebdo.

Juga, provokasi daripada lukisan, tulisan, dan filem tidak perlu juga dibalas dengan provokasi, boleh dibalas ceritakan keindahan Islam itu sendiri. Dalam erti kata lain, perang psikologi tidak semestinya dibalas dengan provokasi juga.

Dalam konklusinya, sekiranya anda ingin mempertahankan kebebasan bersuara, perjuangkan sekali etikanya kebebasan bersuara agar tidak disalahgunakan. Juga, sekiranya agama anda dihina dengan lukisan, balas dengan lukisan. Jika tidak, anda hanya menang di pertempuran, tetapi kalah dalam peperangan. – Roketkini.com

*Penulis adalah pelajar Sarjana Eksperimentasi Fizik di Universiti Malaya.