Rencana

Kerana sebatang pensel

Siapa bilang idea tidak boleh membunuh?

Benar. Idea tak boleh dibunuh. Namun, memiliki idea mungkin  kesalahan yang  boleh mengancam nyawa dan keselamatan. Peristiwa serangan Charlie Hebdo – akhbar satira Perancis merupakan peristiwa kecil yang berlanjutan daripada kemelut sejarah yang panjang. Pembunuhan seumpama ini bukanlah hal yang baharu. Ia terjadi di dalam setiap peradaban.

Sejarah tidak pernah melupakan risiko korban, penindasan dan tekanan yang didepani para penulis.

Sejarah Islam sendiri pernah menyaksikan pembunuhan Mansur Al Hallaj kerana kepercayaannya.Dunia Nusantara pernah kehilangan sejumlah buku-buku Hamzah Fansuri – yang dibakar dan dilenyapkan daripada kamus sejarah dunia hari ini.

Di barat pula ; kita pasti tidak akan lupa pada catitan Martin Luther di dinding Universiti Gothenburg – yang pernah menjadi kerusuhan seluruh umat beragama di Eropah sekaligus memakan ramai korban yang tidak bersalah.

Maka, di saat dunia sedang kecamuk dengan tragedi terorisme di Paris. Kita tidak harus melupakan kekuatan sebatang pensel. “Pen is mightier than sword” – pepatah Inggeris sudah cukup mengingatkan diri kita akan risiko menulis.

Kebebasan bersuara bukan sekadar slogan yang memagari hak individu untuk menyatakan kepercayaan dan keyakinan. Tetapi, ia lebih daripada itu. Kebebasan bersuara adalah naratif melawan lupa – untuk mengatakan tidak di hadapan kekuasaan sekaligus menolak proses pembodohan.

Sudah tentu, peristiwa Charlie Hebdo, Jylaand Posten mahupun polemik Satanic Verses yang menjadi kayu ukur kebebasan masyarakat Barat kini dijadikan hujah ampuh golongan anti-kebebasan.

Mereka menggunakan justifikasi tersebut untuk mengatakan tidak kepada kebebasan. Kononnya, kebebasan-lah yang menyebabkan krisis dan konflik yang tidak akan selesai. Kerana kebebasan – dunia tidak akan aman dan tenang.

Gugatan-gugatan seperti ini dijadikan keabsahan untuk mengekalkan akta-akta drakonian dan zalim. Oleh kerana itu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan dijadikan alat untuk menutup pintu kebebasan.

Satira melawan penindasan

Satira merupakan teknik kesusasteraan yang paling berkesan melawan tirani. Sewaktu Iran masih di dalam gelora otoritarian agama dan politik, seorang penulis pernah diugut untuk dibunuh kerana menggambarkan Iran di bawah pemerintahan Ayatollah tidak unah seperti pengembala dan sekelompok bebiri.

Dia lantas mengatakan bahawa tanpa satira, kita tidak mampu membezakan moral dan hipokrasi, kemerdekaan dan penjajahan.

Kebebasan yang ada atau tiada – sengajakan ditiadakan. Ketakutan pula ada atau tiada – sengaja diada-adakan.

Penulis itu adalah Agha Agsajari, pelarian politik Iran yang kini menetap di Amerika Syarikat.

Liu Xiaobo, penerima hadiah nobel kesusasteraan dari China sehingga kini masih dipenjarakan kerana kesalahan menulis. Kerajaan China menuduh beliau sebagai pengkhianat kerana menulis beberapa karya yang dianggap kritikal terhadap pemerintah.

Penulis-penulis lain seperti Naguib Mahfouz, Salman Rushdie dan Edward Said pula pernah diancam bunuh kerana menerbitkan karya-karya yang dianggap ‘sensitif’ terhadap masyarakat. Ini tidak pula masuk daftar ribuan buku-buku yang telah diharamkan!

Setiap individu wajar diberikan hak untuk menulis apa sahaja luahan perasaan yang terbuku di dalam jiwa mereka. Penulis tidak boleh ‘sensitif’ dan melakukan ‘self-censorship’ ke atas karya mereka. Tetapi penulis juga harus bertanggungjawab atas tulisan mereka. Menulis adalah pekerjaan yang mengundang risiko.Apatah lagi ketika dunia sedang menghadapi risiko serangan keganasan dan ekstremisme agama, ideologi dan kepartian.

Golongan penulis memerlukan kebebasan untuk bersuara tanpa kekangan. Sejarah sendiri sudah membuktikan bahawa menulis adalah pekerjaan yang sulit dan sentiasa berhadapan risiko berbahaya. Kebebasan adalah kebenaran yang manis dan pahit. Dan tugas penulis adalah mengabdikan jiwanya dengan sebatang pensel.