Rencana

PAS samakan pilihan raya kerajaan tempatan dengan hudud?

Saya merujuk kepada kenyataan balas daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang terus mempolemikkan isu pilihan raya kerajaan tempatan dan mendakwa DAP tidak konsisten dalam soal dasar bersama Pakatan Rakyat.

Seperti yang pernah saya nyatakan, isu pelaksanaan hudud dan pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan merupakan dua isu dan konteks yang berlainan dan tidak boleh dibandingkan ibarat ‘epal dengan oren’.

Pihak kami amat hairan mengapa Setiausaha Agung PAS terus-menerus membangkitkan perkara tersebut pada ketika ini dan menggunakan bahasa yang kurang sopan terhadap kepimpinan DAP seolah-olah untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok mengenai isu hudud.

Saya tidak berhajat membalas hujah Datuk Mustafa Ali dengan bahasa sedemikian kerana saya menghormati beliau sebagai seorang pemimpin politik yang lebih berpengalaman dan berusia daripada saya. Saya cuma akan menjelaskan pendirian DAP berdasarkan fakta dan terpulang kepada rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat untuk menilai kewibawaan DAP dan PAS.

Sejurus selepas Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas PRU12 pada tahun 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan barisan EXCOnya telah mengambil pelbagai inisiatif dan usaha untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang termasuklah membangkitkan agenda tersebut dalam Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan.

Namun, semua usaha tersebut tidak diendahkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional.

Pada 9 Mei 2012, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 untuk membenarkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Satu fakta yang perlu ditegaskan di sini ialah PAS mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang iaitu ADUN Permatang Pasir, YB Mohd Salleh Man. Mengikut rekod umum, tidak ada ADUN yang membantah semasa pengundian enakmen tersebut kerana kesemua 11 ADUN Barisan Nasional pada ketika itu tidak berada di dalam Dewan semasa pengundian dijalankan dan sudah tentu wakil PAS juga tidak membantah rang undang-undang tersebut.

Persoalan di sini ialah, sekiranya pucuk pimpinan PAS tidak bersetuju dengan agenda pilihan raya kerajaan tempatan seperti yang dibangkitkan sekarang, mengapakah wakil PAS di DUN Pulau Pinang tidak diarahkan untuk membangkitkan bantahan semasa perbahasan dan mengundi untuk membangkang rang undang-undang tersebut pada tahun 2012?

Selepas Enakmen tersebut diluluskan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengutuskan surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meminta SPR melaksanakan proses pilihan raya tersebut tetapi SPR enggan menjalankan proses tersebut.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah seterusnya dengan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang. Petisyen tersebut difailkan pada 11 Mac 2013 di Mahkamah Persekutuan sebelum PRU13.

Saya telah mengesahkan dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa beliau pernah menghubungi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Mustafa Ali sendiri melalui telefon untuk meminta pandangan PAS sebelum tindakan mahkamah tersebut diambil. Kedua-dua mereka tidak membantah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada ketika itu.

Jadi, adalah tidak adil kepada DAP apabila PAS menyelar pihak kami sekarang bahawa tidak pernah ada proses konsultasi dijalankan. Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Fakta yang sebenarnya ialah PAS tidak pernah membantah agenda pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang sebelum ini walaupun PAS sedar bahawa pelbagai langkah dan usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah tersebut sejak tahun 2008 lagi.

Persoalannya, mengapa baru sekarang PAS membangkitkan bantahan terhadap pilihan raya kerajaan tempatan?

Pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran yang besar seperti keadaan ekonomi yang semakin merudum dan keadaan pasca banjir yang amat kritikal terutamanya di Kelantan, seluruh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sepatutnya menumpukan segala perhatian kami terhadap isu-isu tersebut dan bukannya terus berpolemik sesama sendiri.

Walaupun pelbagai dakwaan tidak berasas telah dilemparkan oleh Setiausaha Agung PAS terhadap DAP, hakikatnya ialah DAP telah bertungkus-lumus membantu rakan-rakan PAS di Kelantan dalam menghadapi musibah banjir baru-baru ini dan satu lagi inisiatif terancang oleh DAP untuk membantu Kelantan akan dilancarkan dalam masa terdekat.