Berita

Pilihan raya kerajaan tempatan kembalikan hak demokrasi kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 23 JAN : Desakan DAP untuk mengadakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan memulangkan hak demokrasi kepada rakyat Malaysia.

Ahli jawatankuasa DAP Selangor, Ng Tien Chee dalam satu kenyataan berkata, pilihanraya PBT merupakan satu-satunya langkah meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan.

“Hanya dengan adanya pilihanraya PBT, kerajaan tempatan boleh memperbetulkan diri sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembayar cukai.

“Saya tidak nampak apa-apa unsur yang akan melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dan desa mahupun ia akan mencetuskan pengulangan rusuhan kaum 13 Mei seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini berkata, pilihan raya kerajaan tempatan adalah kesilapan kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek.

Tambah Hadi, paling menakutkan adalah ketegangan akibatnya yang boleh menjadi ‘api dalam sekam’ kepada pengulangan peristiwa 13 Mei.

“Saya berasa hairan dan mohon pencerahan daripada mana-mana pihak ke atas isu bagaimana perlaksanaan pilihanraya PBT boleh melebarkan jurang ekonomi di antara penduduk bandar dan desa dan terus mencetuskan rusuhan perkauman,” soal Ng yang juga ADUN balakong.

Sedangkan katanya, proses ini juga merupakan agenda pendemokrasian rakyat yang penting bagi memastikan reformasi di peringkat pemerintahan akar umbi.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan pilihanraya tempatan berdasarkan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan bahawa Undang-undang persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa SPR untuk menjalankan pilihan raya selain pilihan raya yang di sebut dalam Fasal (1).

Justeru itu katanya, desakan DAP memulihkan pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan melalui pilihanraya adalah wajar dan harus dilaksanakan dengan adil dan saksama.

“Tiada mana-mana kaum yang akan dihalang daripada menyertai pilihanraya PBT selain individu yang gagal menepati syarat pilihanraya,” kat Eddie.

Tambahnya, DAP bukan terlalu yakin akan memenangi semua kerusi yang ditandingi, namun tetap mendesak pemulihan pilihanraya PBT demi pendemokrasian.

“DAP memperjuangkan demokrasi dan tidak akan menjadi puak ‘kiasu’ yang bererti ‘takut kalah’, seolah-olah mahu terus berkuasa.

“Bagi kami, hak demokratik adalah lebih penting dan kami sedia menerima kekalahan sekiranya pengundi menolak kami,” ujarnya. – Roketkini.com