Budaya

Teater Super Ptui! & Transit Kaler Magenta: Anak derhaka lawan hegemoni?

Jika semua manusia dicipta untuk tunduk pada perintah tuhan. Neraka pula tidak akan pernah wujud untuk diungkap dari bibir ke bibir. Begitu juga jika seorang anak dicipta untuk hanya setia dan patuh pada orang tua, perkataan derhaka tidak akan wujud. Maka, jawapan berimbang; seperti patuh – derhaka, jahat – baik, hanya melengkapkan teori kutub. Ya semudah itu. Dan selebihnya pula, yang lebih kompleks dan kejam, terletak dalam kepala manusia seperti tiga beradik ini.

“Apa sebab aku jadi pemberontak? Apa sebab? Sebab dia dah tak betul. Sebab dia dah sesat. Kalau dia di jalan lurus, aku tak kisah…”-Ptuih!

Tiga beradik ini sedang berhadapan kemelut keluarga terbesar pernah dialami mereka hingga seorang anak bernama Ptuih!, tergamak mahu membunuh Bapak-nya seorang ahli politik yang hebat dan berpengaruh, lagi kaya. Ptuih! mahu membunuh ayahnya kerana berasa jelak dan mahu bebas dari sistem yang dibentuk ayahnya selama ini. Hanya dengan kematian ayahnya itu, mereka boleh bebas.

Ptuih! berkomplot untuk membunuh Bapak-nya dengan mengheret abangnya bernama Helium Si Gas Nadir. Dalam kerancakan pujuk rayu Ptuih! dengan Helium, muncul sang kakak yang setia bernama Maseh Dara. Kisah mereka bertiga, berempat termasuk ayahnya memegang nama Bapak, terangkum dalam sebuah teater berjudul “Super Ptui! & Transit Kaler Magenta”.

Ptuih! adalah contoh anak derhaka. Maseh Dara contoh anak yang setia. Helium pula contoh anak yang oportunis manakala watak Bapak, meski tidak beraksi, sudah tentu sebagai penguasa keluarga, seperti bapak-bapak yang lain, mungkin.

Dalam pertengkaran adik-beradik berhubung konspirasi pembunuhan ayah mereka, teater ini turut menimbulkan beberapa persoalan lain selingkar isu moral, cinta, nafsu, asmara dan sudah pasti mengenengahkan isu hubungan kekeluargaan.

Menurut penulis naskhah dan pengarah teater, Wan Azli Wan Jusoh, karya ini ditulis pada awal tahun 2004, sebagai lanjutan kepada drama beliau yang sebelumnya iaitu Menembak Epal Atau Jambu.

Tambahnya, kedua-dua karya ini mengetengahkan isu yang hampir sama iaitu kita telah dibentuk menurut acuan tertentu. Bezanya, drama Menembak Epal Atau Jambu berlatarkan institusi pendidikan manakala Superptui! & Transit Kaler Magenta pula berlatarkan institusi keluarga.

“Sebagai pemain, begitulah kita, dari perspektif apapun. Tuan atau hamba, tidak terkecuali. Lalu kita harus mengerti di mana kita berada dan tanggapan apa yang harus kita ada untuk menangani keberadaan kita. Mungkin kerana itu, maka terhasilnya naskhah drama ini. Atau mungkin ini hanyalah sekadar basa-basi untuk memperkatakan sesuatu yang telah tumbuh, akibat dari kelangsungan kehidupan.”

Beliau juga berkata, kita tidak mampu melepaskan diri dari sejarah yang telah membentuk kita menjadi sebegini tanpa mengerti atas tujuan apa ‘semua ini’ harus terjadi.

“Permasalahan ini terlalu berulang-ulang. Diselesaikan, kemudian muncul lagi. Seolah, atau sememangnya, tidak akan terhenti. Sepertinya selagi masih ada kehidupan manusia di atas muka bumi ini, selagi itulah ia akan terus muncul – lagi dan lagi,” katanya.
Teater Super Ptui! & Transit Kaler Magenta telah dipentaskan oleh Rumah Anak Teater di Universiti Sains Malaysia pada Disember 2014 yang lalu dan bakal dipentaskan di Lembah Klang pada 27 Februari hingga 1 Mac 2015 ini bertempat di Pj Live Art.

Menurut penerbit eksekutif, Faisal Mustaffa, Rumah Anak Teater mengambil cabaran mengetengahkan kelainan dalam skrip teater ini yang membawa penonton untuk berfikir.

“Cukup-cukuplah kita dibanjiri dengan skrip-skrip melankolik dan separa muzikal”, kata Faisal.

“Penonton perlu bersedia untuk menerima pertunjukan yang membawa mereka berfikir dan berani mengkritik di akhir pementasan. Bukan terkesima dengan tarikan pementasan yang menonjol pelakon pujaan mereka di atas pentas mahupun persembahan separa muzikal”, tambah beliau.

Teater ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Botak Alhakeem memegang watak Ptuih!, Rosmi Fazreen dengan watak Maseh Dara dan Fandi Che Hisham sebagai Helium Si Gas Nadir. Ianya diarahkan oleh Wan Azli Wan Jusoh yang juga merupakan penulis kepada naskah ini. -Roketkini.com