Berita

Jadikan had GST RM1 juta untuk bantu peniaga kecil

KLUANG, 25 JAN: Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menggesa kerajaan meminda had pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi mengelak peniaga kecil terbeban dengan pelaksanaan cukai tersebut.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu menjangkakan, semua perniagaan dengan transaksi harian sebanyak RM1,600 perlu berdaftar dengan GST.

“Transaksi tidak semestinya boleh diterjemahkan sebagai pendapatan. Banyak perniagaan boleh dikira mempunyai memiliki urus niaga yang besar, namun tidak bermakna mereka membuat keuntungan yang besar daripadanya.

“Saya ingin mencadangkan bahawa had ditetapkan kepada RM 1 juta dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia memainkan peranan dalam mewujudkan proses pendaftaran (separa) automatik,” ujar Chin Tong.

Kata Chin Tong pendaftaran wajib GST secara manual kepada perniagaan yang memiliki transaksi tahunan melebihi RM 500,000 adalah tidak perlu, menyusahkan dan tidak cekap.

Tambahnya, banyak syarikat perunding, perakaunan atau firma cukai mengenakan bayaran beribu-ribu ringgit melatih pemilik perniagaan untuk GST.

“Ini tidak termasuk kos menaiktaraf perisian dan kertas kerja yang berubah, latihan semula kepada pekerja, dan semua ini dilakukan untuk mengutip cukai bagi pihak kerajaan.

“Banyak perniagaan kecil menghadapi cabaran serius akibat pelaksanaan GST, yang akan meningkatkan kos pentadbiran.

“Pelaksanaan GST menjejaskan ekonomi secara besar-besaran kerana menyusutkan pendapatan boleh guna rakyat Malaysia biasa.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus mendengar untuk menangani kesan negatif akibat pelaksanaan GST,” kata Chin Tong. – Roketkini.com