Berita

PAS tiada ahli majlis walau menang tiga DUN, parlimen Kuala Terengganu

KUALA LUMPUR, 25 JAN: PAS memenangi kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dan parlimen Kuala Terengganu, namun tidak memiliki perwakilan dalam Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.

Justeru itu, mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah lebih baik dan mencerminkan perwakilan politik tempatan sama ada di negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional, mahu pun Pakatan Rakyat.

Demikian pandangan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming terhadap reaksi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak keperluan untuk diadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Dalam demokrasi matang, wakil rakyat di peringkat nasinal dan negeri fokus kepada perkara perundangan, manakala ahli majlis tempatan perlu fokus kepada perkara yang perlu dilakukan dengan majlis tempatan,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan hari ini.

PAS menang di parlimen Kuala Terengganu melalui wakilnya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Abdul Wahid Endut (DUN Wakaf Mempelam), Tengku Hassan Tengku Omar (DUN Ladang) dan Dr Syed Azman Syed Nawawi (DUN Batu Buruk)

Manakala DUN Bandar dimenangi wakil tunggal PKR, Azan Ismail.

Ujar Kian Ming, pilihan raya kerajaan tempatan adalah cara paling berkesan untuk memulihkan hubungan antara penduduk dengan ahli majlis mereka.

“Ahli majlis perlu berkempen untuk dipilih. Mereka perlu membuat ikrar dan mengeluarkan manifesto pilihan raya. Profil mereka akan disiarkan.

“Kebertanggungjawaban mereka kepada penduduk yang mengundi juga akan meningkat. Ini boleh dikatakan sebab terpenting untuk pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Setelah berkhidmat setahun setengah sebagai ahli parlimen, dan bekerja dengan ahli majlis di Subang Jaya (MPSJ) dan Kajang (MPKJ) saya memahami dan menghargai peranan ahli majlis lebih daripada sebelumnya.

“Ahli majlis tempatan dalam banyak cara adalah responden pertama kepada masalah dihadapi penduduk,” ujar Kian Ming.

Dalam pada itu Kian MIng turut menyatakan kebimbangan, sekiranya ahli majlis ‘terhutang budi’ kepada pihak yang melantiknya, sedangkan pihak yang harus diberikan perkhidmatan adalah penduduk tempatan.

“Seseorang ahli majlis yang tidak menunjukkan prestasi baik kekal selagi ‘dilindungi’ oleh parti politik. Di kawasan di mana wakil rakyat dari parti yang berbeza daripada ahli majlis itu, garis laporan dan kebertanggungjawaban pula kurang jelas.

“Sebab itu mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan akan meningkatkan akauntabiliti, mencerminkan perwakilan politik tempatan, meningkatkan ketelusan dan dan keputusan perbelanjaan majlis daerah,” ujar Kian Ming. – Roketkini.com