Rencana

Matlamat desentralisasi adalah tadbir urus cekap

Sebuah makalah saya baru-baru ini yang mencadangkan desentralisasi kuasa di Malaysia berjaya menarik banyak kritikan dan serangan liar oleh kuncu-kuncu Umno, seperti Ahli Parlimen Kepala Batas Dato’ Seri Reezal Merican dan akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia. Menurut mereka, cadangan saya merupakan satu serangan ke atas Perlembagaan Persekutuan serta juga satu cubaan menghasut (apa yang tidak, hari ini?)

Saya bingkas membangkitkan fakta – bahawa sebenarnya terdapat peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 76A) yang membolehkan Parlimen untuk mewakilkan kuasa persekutuan kepada pihak berkuasa negeri. Dalam erti kata lain, pengagihan kuasa daripada persekutuan kepada negeri itu bukan sekadar dibenarkan tetapi sebenarnya diperuntukkan oleh undang-undang tertinggi negara kita.

Pada masa yang sama, saya juga menyerlahkan hiprokrasi Umno berhubung perkara ini. Sekiranya menyerahkan kuasa pusat kepada negeri itu dianggap menghasut, mengapa apabila sebaliknya dilakukan, tidak pula dikira menghasut?

Sejak empat puluh tahun dahulu, kerajaan persekutuan telah secara beransur-ansur merampas kuasa daripada negeri dan kerajaan tempatan dalam bidang-bidang yang bersifat tempatan, seperti pembetungan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan sebagainya. Hakikatnya, kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya menentang semangat persekutuan.

Walau bagaimanapun, selain tidak menghormati niat asal kontrak persekutuan negara kita, trend pemusatan kuasa secara berlebihan ini menghasilkan dua akibat utama.

Pertama, ia meningkatkan skala rasuah dan korupsi. Sebagai contoh, jelas bahawa terdapat kecenderungan untuk memusatkan bidang-bidang yang melibatkan kontrak pengurusan, pemberian lesen, serta projek infrastruktur. Oleh itu, lebih banyak kuasa yang terpusat, lebih mudah untuk kerajaan persekutuan mengagihkannya kepada naungan politik mereka.

Kedua, tindakan untuk menguruskan segala-galanya daripada kuasa pusat terbukti tidak berkesan, khususnya dalam bidang seperti pengangkutan awam, di mana perubahan laluan bas pun memerlukan kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat di bawah Jabatan Perdana Menteri. Akibatnya, amat sukar bagi kerajaan negeri yang dipilih rakyat untuk membuat penambahbaikan kepada infrastruktur pengangkutan awam. Malah penyenggaraan jalan tertakluk kepada pemilikan yang berbeza – persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Jalan buntu

Akibat kawalan hampir mutlak BN ke atas badan perundangan persekutuan dan negeri, agenda pemusatan BN berjaya terhindar daripada penelitian awam. Hal ini tidak lagi berlaku dalam persekitaran sistem dua parti kini. Jika dahulu mungkin tidak bermasalah sangat apabila kerajaan negeri tidak mempunyai banyak kuasa selagi kerjasama diberi oleh kerajaan pusat, namun ia jelas tidak sama apabila pihak pembangkan memegang kuasa di peringkat negeri.

Dalam kes Kelantan, negeri yang diperintah Pas selama 43 daripada 58 tahun sejak 1957, royalti minyak mereka pun dinafikan. Terengganu juga menyaksikan pembayaran royalti minyak mereka dihentikan apabila Pas memerintah negeri itu antara tahun 1999 dan 2004. Sikap pilih kasih ini terserlah apabila negeri-negeri yang dikuasai BN seperti Sabah dan Sarawak tidak mempunyai masalah menerima bahagian pendapatan minyak mereka, seperti yang ditetapkan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974. Jika undang-undang yang termaktub pun boleh dinafikan, bagaimanakah mungkin negeri-negeri pembangkang bergantung kepada kerjasama kerajaan persekutuan?

Sikap kerajaan pusat BN telah menyebabkan kebuntuan dalam pembangunan negeri kawalan pembangkang. Di Pulau Pinang, percubaan kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam telah gagal berkali-kali. Malah, tawaran kerajaan negeri untuk membayar pengendali bas RapidPenang untuk menyediakan perjalanan bas percuma di seluruh negeri pada waktu puncak dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam telah ditolak oleh syarikat bas milik Kementerian Kewangan itu.

Tadbir urus yang lebih cekap

Desentralisasi fiskal perlu menjadi perkara teratas dalam senarai keutamaan. Tanpanya, negeri-negeri akan terus mengalami kelemahan pentadbiran. Dalam kebanyakan model persekutuan, pendapatan akan dikongsi antara negeri dan persekutuan. Secara lazimnya, cukai yang dipungut akan diagihkan kepada negeri-negeri berdasarkan formula yang mengambil kira sumbangan negeri tersebut serta tahap pembangunannya.

Namun di Malaysia, tidak ada mekanisme perkongsian cukai. Dana persekutuan yang disediakan bagi negeri hanyalah Geran Kapitasi, Geran Penyenggaraan Jalan-jalan Negeri serta geran-geran kecil untuk pihak berkuasa tempatan. Jumlah kesemua geran itu hanyalah sekitar RM150 juta setahun untuk negeri seperti Pulau Pinang. Sementara itu, dana pembangunan negeri pula tidak diuruskan oleh kerajaan negeri. Sebaliknya, ia dikawal oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, iaitu sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Akibatnya, kerajaan negeri kekeringan dana dan terlalu bergantung kepada pendapatan daripada hartanah, tanah, lombong, hutan dan cukai majlis tempatan. Sebagaimana yang boleh dibayangkan, jumlah pendapatan ini tidak banyak. Kekangan Perlembagaan juga bermakna bahawa kerajaan negeri tidak dibenarkan mengumpul dana melalui pinjaman. Akibatnya, bajet 2015 Pulau Pinang hanyalah 0.4 peratus daripada Bajet Persekutuan 2015. Ini adalah satu nisbah yang sangat kecil memandangkan Pulau Pinang merupakan negeri kedua paling maju selepas Selangor.

Selain formula perkongsian hasil yang lebih saksama, terdapat juga keperluan mendesak untuk mengkaji semula keberkesanan pemusatan yang berlebihan dalam sektor seperti pendidikan (pengetua sekolah, misalnya, tidak berkuasa dalam pengambilan dan pemecatan guru), perumahan (khususnya apabila tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri) dan kebajikan, bersama-sama dengan sektor yang secara lazimnya bersifat tempatan seperti pengangkutan awam, pengurusan sisa, pembersihan awam dan pembetungan.

Dalam konteks ini, rasional di sebalik gesaan untuk desentralisasi bukanlah untuk mengurangkan kawalan politik kerajaan pusat semata-mata, tetapi sebenarnya untuk mewujudkan tadbir urus yang lebih cekap, berkesan dan bertanggungjawab.

Dalam erti kata lain, pengagihan kuasa pusat merupakan satu keperluan mendesak bagi mengurangkan campur tangan persekutuan dalam perkhidmatan tempatan, membolehkan kerajaan negeri untuk melaksanakan mandat mereka, serta meningkatkan kadar responsif dan penyampaian perkhidmatan di setiap peringkat kerajaan. – Roketkini.com