Berita

Politik konfrontasi alih isu hutang negara, ketirisan dan ekonomi rakyat

Gambar: Hadir sama ke Pesta Ponggal ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan ADUN Seri Delima RSN Rayer

GEORGE TOWN, 25 JAN: Politik kebencian dan konfrontasi bertujuan untuk mengelak perbnicangan berhubung masalah seperti skandal 1MDB atau aliran keluar wang haram yang mencecah RM1.4 trilion.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, masalah ekonomi rakyat di negara ini harus lebih utama dibincangkan, antaranya termasuk soal hutang isi rumah Malaysia pada kadar 87.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sehingga September 2014 adalah tertinggi di Asia.

“Atas sebab ini, urustadbir baik memainkan peranan dengan melaksanakan dasar-dasar yang baik, menjanjikan hasil yang baik serta penyampaian yang memperbaiki kelangsungan hidup rakyat.

“Politik tidak sepatutnya berkisar tentang konfrontasi dan kerja mengasing-asingkan, sebalinya harus berkisar mengenai kerjasama dan keterangkuman,” kata Guan Eng pada sambutan pesta Ponggal di Kampung Buah Pala, semalam.

Dalam pada itu katanya, serangan pengganas oleh kumpulan ekstremis yang telah mengeksploitasi nama baik Islam telah menimbulkan ketakutan, kerana para pengganas memang mensasarkan asas kejayaan barat, iaitu kebebasan dari rasa takut.

“Bagi sesetengah orang, kebebasan dilihat sebagai satu nilai asing, dan juga suatu ancaman kepada kuasa dan status kumpulan-kumpulan sedia ada.

“Rakyat Malaysia harus menyokong nilai asasi kebebasan yang membantu membentuk masyarakat yang berjaya, progresif dan makmur, sepertimana banyak negara-negara membangun,” kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ujarnya, kebebasan tidak bererti mutlak, tetapi kebebasan daripada rasa takut dan juga kebebasan untuk menuju serta memberi ganjaran untuk kecemerlangan.

“Rakyat Malaysia mesti menolak para ekstremis yang menyebarkan dakyah kebencian, sikap tidak toleran dan keganasan.

“Kita mesti menghormati hak dan maruah saudara se-Malaysia yang berkongsi impian keadilan, demokrasi dan kemakmuran ekonomi, serta terkesan dengan masalah-masalah akibat rasuah, salah guna kuasa dan diskriminasi,” kata Guan Eng.