Berita

Pilihanraya kerajaan tempatan tidak ada kena-mengena dengan jurang kaum

KUALA LUMPUR, 28 JAN: DAP hari ini menggesa Mesyuarat Kabinet supaya menegur Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang telah melemparkan tuduhan mengarut kononnya pilihanraya kerajaan tempatan akan melebarkan jurang kaum.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tuduhan Abdul Rahman perlu dinafikan dengan tegas oleh Kabinet kerana pilihanraya kerajaan tempatan langsung tiada kena-mengena dengan isu perkauman dan malah akan meningkatkan mutu hidup masyarakat.

“Kabinet perlu mengambil perhatian berhubung pendekatan bahaya Abdul Rahman yang mengaitkan pemansuhan pilihanraya kerajaan tempatan dengan masalah ‘polarisasi kaum’ buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun.

“Hujah beliau harus ditegur dengan keras kerana pilihanraya kerajaan tempatan bukanlah soal politik kaum tapi mengenai kualiti hidup yang lebih baik dengan suasana kehidupan selamat, efisien dan sejahtera untuk semua pembayar cukai tanpa mengira kaum dan agama,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Pada bulan Mac 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor telah mengutus surat berasingan kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memohon agar pilihanraya kerajaan tempatan dapat dijalankan semula di negeri masing-masing.

Kedua-dua kerajaan negeri berpendapat demokrasi akan diperkukuhkan dengan memilih ahli-ahli majlis tempatan melalui pilihanraya dan bukan lantikan, sekaligus meningkatkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan urustadbir yang baik.

Malangnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak permintaan tersebut sambil mendakwa mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan akan mengakibatkan politisasi di peringkat kerajaan tempatan dan tidak akan memperbaiki perkhidmatan kepada orang ramai.

Berdasarkan kenyataan itu, tegas Kit Siang, jelas tidak pernah wujud soal jurang atau representasi kaum yang tidak seimbang dalam masa 50 tahun sebagai sebab kenapa undi ketiga tidak boleh dikembalikan.

“Amat memeranjatkan selepas 50 tahun penggantungan atau pemansuhan pilihanraya kerajaan tempatan, isu kaum kini mula disuntik sebagai satu faktor baru kenapa undi ketiga tidak boleh dikembalikan,” ujarnya.

Katanya lagi, sebab pilihanraya kerajaan tempatan telah digantung selama 50 tahun tidak ada kena-mengena dengan kebertanggungjawan, kecekapan atau urustadbir kerajaan tempatan, sebaliknya kerana pemimpin BN tidak yakin dengan pilihanraya secara demokratik.

“Walaupun wujud banyak kelemahan dalam sistem pilihanraya, mereka masih boleh memenangi kepercayaan dan mandat para pengundi supaya terpilih menganggotai majlis-majlis kerajaan tempatan,” ujar Kit Siang. -Roketkini.com