Rencana

Apabila Orang Asli dilanda banjir

Entah mengapa saya tiba-tiba terfikir tentang bagaimana ada manusia sanggup meminggirkan manusia lain, sanggup membelakangkan orang yang lebih memerlukan demi menyelamatkan diri dan kumpulannya sendiri terlebih dahulu.

Pergulatan ini berlegar dalam fikiran saya saat menaiki kenderaan pacuan empat roda ‘Ubah’  bersama tiga rakan lain dalam perjalanan dari Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur ke perkampungan Orang Asli Kuala Betis, Gua Musang untuk menghantar sumbangan bantuan di sana serta beberapa kampung lain yang terjejas teruk akibat banjir melanda Kelantan.

IMG_8702

Kuala Betis

Perjalanan kami yang bermula sekitar jam 11 malam, diiringi dua buah lagi kenderaan pacuan empat roda dari NGO Jaringan Orang Asli SeMalaysia (JOAS) dan sebuah lori barang bantuan, tiba di di Pusat Pengumpulan Bencana Banjir Orang Asli Kampung Parik, Kuala Betis pada jam 5 pagi melalui jalan yang dalam keadaan amat teruk tanpa lampu limpah, berdebu, jambatan sempit yang hampir runtuh, banyak kereta tersadai untuk sampai ke sana.

Setibanya di sana, oleh kerana rumah dan khemah di Pusat Pengumpulan sudah penuh, kami semua memilih untuk tidur dalam kenderaan masing-masing dan bangun sekitar jam 7 pagi. Saat bangun dari tidur, saya bergegas mencari bilik air untuk membersihkan muka tapi oleh kerana bilik air hanya terhad kepada 2 orang sekali, dan mengenang ramai lagi warga Orang Asli yang beratur panjang, sama mematikan saja hasrat itu kerana mereka nampaknya lebih memerlukan air berbanding saya orang bandar yang tidak pernah putus sumber air.

Saya kemudiannya mengambil peluang untuk meninjau Pusat Pengumpulan dan amat kagum dengan usaha serta kerjasama NGO lain bersama Orang Asli menggunakan sepenuhnya ruang sedia ada untuk operasi banjir. Gereja diubahsuai menjadi tempat meletakkan barang bantuan dan tempat masak. Tapi perasaan saya sedikit sugul melihat keadaan rumah berhampiran gereja itu yang sempit, kecil dengan ruang yang tidak mencukupi untuk menampung satu keluarga dan sampah sarap tidak terurus akibat banjir di perkarangan rumah.

Joe dan Auntie Bersih

Saya sempat bertegur sapa dengan beberapa ahli NGO, antaranya seorang warga Amerika Syarikat dari New York yang sudah 8 bulan berada di Kuala Betis. Dengan memperkenalkan dirinya sebagai Joe sahaja, beliau sebenarnya datang ke Kuala Betis untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada Orang Asli tapi akhirnya bertukar menjadi seorang sukarelawan bencana banjir. Katanya dia boleh saja pulang ke negara asal, tapi mengenangkan kesusahan yang dihadapi Orang Asli, dia memilih untuk terus bersama mereka membantu apa yang patut sehinggalah keadaan pulih.

Sejurus selepas berbual bersama Joe, saya disapa oleh Annie Ooi atau lebih dikenali dengan nama Auntie Bersih kerana terkenal dengan keberaniannya menyertai perhimpunan Bersih menuntut pilihanraya adil. Beliau yang berusia hampir 70 tahun itu hadir di kampung itu sebagai sukarelawan. Dia bertanya saya dari mana? Dan saya menjawab ringkas saya bekerja dengan DAP. Dia gembira dengan usaha DAP melalui Inisiatif Impian Malaysia yang semata-mata membantu atas dasar kemanusiaan.

Lebih kurang jam 8 pagi, barang-barang mula dipunggah masuk ke dalam Ubah Car dan beberapa kenderaan lain. Saya turut sama membantu mengangkat segala macam barang yang berat keseluruhannya 2,500 kilogram seperti beras, gula, ikan bilis dan lainnya untuk mempercepatkan lagi operasi.

Menurut petugas Impian Malaysia, Melisa Lim, barang-barang itu semua dibawa ke sebuah kawasan lapang berhampiran dan dihantar melalui helikopter ke beberapa perkampungan yang jaraknya mengambil masa 6 atau 7 jam melalui perjalanan darat.

IMG_8670

Tiba saja di kawasan lapang, saya agak terperanjat melihat kawasan itu yang umpama padang jarak padang terukur, merah, berhabuk, separuh pokoknya tumbang menyembah bumi, rumah tenggelam. Ada juga sebuah kereta hancur diseliputi lumpur dan beberapa anak kecil bermain-main di sekitar dalam keadaan kotor. Teruk sekali bencana banjir.

Deandi

Sementara menantikan helikopter yang sepatutnya tiba pada jam 10 pagi, saya bertegur sapa dengan Pengerusi Pemuda Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Deandi. Ujar beliau, pihaknya agak berang dengan tindakan kerajaan yang didakwanya langsung tidak mengambil peduli keadaan hampir 18,000 Orang Asli di Gua Musang yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

Kata beliau, ia bukan saja merupakan satu penghinaan terhadap Orang Asli malah mengkhianati janji pernah dibuat kerajaan dalam Persidangan Sedunia Mengenai Orang Asli (WCIP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York tahun lalu.

“Kerajaan kata akan peruntukkan RM800 juta untuk pembaikan dan pembinaan semula infrastruktur asas seperti sekolah, jalan raya dana jambatan kepada mangsa banjir yang terjejas tapi sehingga kini ia tidak pernah sampai kepada kami.

“Memang ada diperuntukkan tapi ia disalurkan kepada pos-pos kawasan. Kerajaan sepatutnya maklum setiap pos mengandungi beberapa buah kampung, ke mana ia pergi?

“Bukankah sebelum ini dalam WCIP kerajaan berjanji komited jaga hak kami (Orang Asli),” tegas Deandi.

IMG_8517

Pada 24 September tahun lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sewaktu sidang WCIP berikrar untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli. Shafie turut menyebut, usaha kerajaan membangunkan masyarakat terbabit merangkumi bidang seperti ekonomi, modal insan, kemudahan asas dan kesihatan dengan sasaran melahirkan generasi baru Orang Asli yang berpendidikan serta dinamik.

Pada 5 Januari lalu pula, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan menyatakan kerajaan telah menyalurkan peruntukan bantuan banjir sebanyak RM800 juta kepada mangsa-mangsa yang terjejas.Kenyataan Ahmad Maslan itu kemudiannya diulangi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan semakan semula Belanjawan 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa baru-baru ini.

Tapi Orang Asli di Gua Musang terpaksa berdiri di atas kaki sendiri dengan sedikit-sebanyak bantuan sukarelawan dari luar. Kerajaan hanya pandai berjanji, seperti yang dibuatnya selalu.

Perbualan panjang kami turut diiringi deruan enjin lori yang setiap 15 minit keluar masuk mengangkut balak walaupun musibah banjir masih belum pulih sepenuhnya. Setelah menunggu beberapa jam, helikopter pun tiba pada jam 1 tengahari.

Colin dan Angah Along

Menurut Penyelaras Centre for Orang Asli Concerns (COAC), Colin Nicholas, helikopter lambat tiba kerana terpaksa mendarat 2 kali di Gunung Tahan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Kami semua bersama warga Orang Asli terus bergegas mengangkut barang untuk dibawa masuk ke dalam helikopter. Penghantaran pada hari itu terpaksa disingkatkan kepada 3 trip kerana waktu tidak mengizinkan.

IMG_8606

Saya menaiki helikopter pada trip yang kedua bersama Penghulu Orang Asli Kampung Chemal, Angah Along. Kami berjaya menghantar barang ke dua tempat, iaitu Kampung Kenben dan Kampung Cacuh di dalam kawasan Pos Belatim.

Di Kampung Cacuh, seorang warga Orang Asli mengatakan kalau tidak kerana sumbangan bantuan ini, kesulitan keluarganya akan bertambah. Katanya, sukar untuk mencari sumber makanan di sini kerana jarak antara kampung dan pekan yang mengambil masa 4 atau 5 jam dengan menggunakan motorsikal. Perjalanan dengan motorsikal juga tidak semudah yang dijangka, dia terpaksa mencangkul sendiri tanah untuk membentuk jalan dan ia akan mengambil masa lebih lama.

Mereka juga tidak mendapat bekalan elektrik dan hanya berharap tenaga solar bantuan kerajaan yang hanya boleh digunakan dalam tempoh tidak sampai setahun serta bergantung kepada sumber air dari sungai saja walaupun ia sudah tercemar.

Kami sepatutnya pulang semula ke Kuala Betis selepas dua trip, tapi Penghulu Angah Along memohon juruterbang untuk berhenti seketika di kampungnya agar dapat melihat keadaan isterinya yang sedang menghidap penyakit darah rendah. Penghulu memberitahu isterinya sudah sebulan terlantar sakit, namun kerana jarak antara kampung dan hospital terlalu jauh tidak ada yang boleh dilakukan.

Juruterbang menyarankan Penghulu membawa isterinya bersama untuk dihantar ke hospital berhampiran Kuala Betis. Dalam perjalanan pulang, kami melalui beberapa kawasan yang memang kelihatan bahawa punca banjir adalah pembalakan dan tanah runtuh akibat kerja-kerja pembalakan. Awal tadi, Colin ada bercerita tentang masalah banjir menjadi lebih teruk akibat kemusnahan ekologi bumi, akhirnya hujan tidak dapat diserap.

DSC_0245

Sedih

Hampir satu hari berhempas pulas membantu warga Orang Asli, masa akhirnya tiba untuk kami meninggalkan Kuala Betis dalam keadaan sugul. Kami sugul mengenangkan nasib mereka. Sugul memikirkan apa akan terjadi di hari-hari mendatang jika mereka terus dibiarkan tanpa sebarang bantuan dan sokongan.

Waktu berhenti seketika di Bentong, secara serta merta kata-kata Deandi terngiang dalam kepada saya. “Seteruk mana pun banjir yang berlaku di Manik Urai, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan Orang Asli yang turut terjejas. Kami pun manusia juga.”

Entah kenapa lagi, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, fikiran saya melayang kepada keadaan yang saya rasa kemanusiaan yang kini dilihat semakin luntur dan hilang entah ke mana. Apakah kerana mereka ‘hanyalah’ Orang Asli maka orang yang berkuasa boleh bertindak mengenepi dan meminggirkan dengan sesuka hati? – Roketkini.com