Berita

“Peruntukan tahunan kepada wakil rakyat pun kena GST”

GEORGE TOWN, 29 JAN: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April ini akan menyebabkan peruntukan kawasan setiap wakil rakyat dikurangkan sebanyak enam peratus.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan bersama berkata, ini kerana setiap bekalan atau projek yang dilaksanakan dikenakan kos sebanyak enam peratus dalam bentuk GST.

Menurut mereka, setiap tahun kerajaan negeri Pulau Pinang menyediakan peruntukan dana kepada wakil rakyat untuk digunakan di setiap kawasan.

Ahli Parlimen diperuntukkan sebanyak RM200,000 setahun, di mana RM80,000 untuk projek berskala kecil dan baki selebihnya untuk pembelian bekalan terutama dalam membantu organisasi bukan berasaskan keuntungan (non-profit organisation)

“Sebagai contoh, jika sesebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan mengadakan acara bagi menggalakkan kesedaran orang ramai mengenai perjuangan mereka dan menemui Ahli Parlimen untuk mendapatkan penaja.

“…ahli parlimen tersebut kemudiannya bersetuju untuk menaja bekalan dengan jumlah RM10,000 akhirnya terpaksa membayar RM10,600 berikutan pembekal barang terpaksa mengenakan bayaran tambahan enam peratus GST.

“Kalau semua ini diukur kepada skala lebih besar, peruntukan tahunan RM200,000 tidak dapat lagi disalurkan sepenuhnya kepada kawasan masing-masing kerana RM12,000 darinya akan menjadi milik Kerajaan Pusat dalam bentuk GST,” tegas mereka.

Dalam erti kata lain, nilai sebenar peruntukan untuk Ahli Parlimen Pulau Pinang akan dikurangkan dari RM200,000 kepada RM188,000 setahun.

“Kerajaan Pusat dapat lebih banyak. Peruntukan rakyat pula makin berkurangan,” ujarnya. – Roketkini.com