Rencana

Tiga hujah pertahan pilihanraya kerajaan tempatan

Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam kenyataannya pada 23 Januari telah menolak keperluan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan atas alasan ia akan menyebabkan ketidakstabilan, meluaskan jurang antara pembangunan bandar dan luar bandar dan mungkin mengakibatkan satu lagi peristiwa 13 Mei ( http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/33425-pembangunan-bandar-bermasyarakat-madani).

Saya tidak akan memberi respons kepada tuduhan tidak berasas ini, sebaliknya ingin menyatakan hujah-hujah kenapa kita memerlukan pilihanraya kerajaan tempatan. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan akan meningkatkan tahap kebertanggungjawaban, memberi cerminan yang lebih tepat terhadap perwakilan setempat dan meningkatkan ketelusan dalam keputusan perbelanjaan majlis bandar dan daerah.

Meningkatkan kebertanggungjawaban setempat

Setelah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen untuk lebih setahun setengah dan bekerja dengan ahli-ahli majlis dari majlis perbandaran Subang Jaya dan Kajang (MPSj dan MPKj), saya semakin memahami dan menghargai peranan ahli majlis. Ahli majlis, melalui pelbagai cara, merupakan pihak pertama yang bertindak terhadap masalah yang dialami penduduk, sama ada masalah pembuangan sampah, longkang tersumbat mahupun jalan berlubang.

Dalam sebuah demokrasi matang, wakil rakyat yang dilantik di peringkat negeri dan negara sewajarnya memberi tumpuan kepada hal-hal legislatif, manakala ahli majlis pula menumpukan kepada hal-hal pihak berkuasa tempatan.

Di Malaysia, ahli majlis dilantik oleh kerajaan negeri. Ramai darinya tidak dikenali penduduk setempat, walaupun di kawasan di bawah tanggungjawab mereka. Satu sebab mereka tidak dikenali ialah mereka tidak dipilih oleh penduduk. Saya boleh jamin mana-mana wakil rakyat di Malaysia pernah mendapat panggilan telefon meminta supaya menguruskan masalah sampah kerana “kami undi anda.” Mereka tidak boleh berkata demikian kepada ahli majlis.

Dalam aturan semasa, ahli majlis tertakluk kepada parti politik yang melantiknya berbanding kepada penduduk yang sepatutnya mereka layani. Walaupun seorang ahli majlis yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak akan mendapat sokongan Ahli Parlimen atau Adun untuk terus berkhidmat sebagai ahli majlis, persoalan akauntabiliti atau kebertanggungjawaban masih tidak terjawab. Seorang ahli majlis yang tidak buat kerja boleh terus memegang jawatan selagi dia dilindungi oleh partinya. Di kawasan-kawasan di mana wakil rakyat dan ahli majlis berbeza parti politik, garis kebertanggungjawaban ini malah menjadi lebih kabur.

Oleh yang demikian, pilihanraya kerajaan tempatan adalah cara terbaik untuk mengembalikan hubungan antara penduduk dan ahli majlis. Mereka harus berkempen untuk dilantik. Mereka harus membuat janji-janji pilihanraya dan menghasilkan manifesto. Profil mereka di kalangan penduduk akan meningkat. Kebertanggungjawaban terhadap penduduk yang mengundi mereka juga akan meningkat. Ini antara sebab-sebab kuat kenapa pilihanraya kerajaan tempatan perlu dikembalikan.

Memberi cerminan yang lebih baik kepada perwakilan politik setempat

Dalam keadaan semasa bagi parti politik, peringkat pihak berkuasa tempatan adalah sebuah permainan campur-tolak. Siapa sahaja yang mengawal kerajaan negeri, dialah yang mengawal pelantikan semua ahli majlis tanpa mengira sokongan politik terhadap parti di peringkat setempat.

Contohnya, PAS mungkin telah memenangi kesemua empat kerusi DUN dan Parlimen di Kuala Terengganu tetapi mereka langsung tidak mempunyai wakil dalam Majlis Perbandaran Kuala Terengganu. Begitu juga Umno yang menang 7 daripada 21 kerusi DUN di Seberang Perai tetapi mereka langsung tidak mempunyai wakil dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai. Pakatan Rakyat memenangi 9 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur tetapi langsung tidak mempunyai wakil dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan akan memberikan cerminan lebih baik kepada perwakilan politik tempatan bagi semua pihak, tidak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Plilihanraya kerajaan tempatan tidak akan bermakna DAP akan mendominasi pertandingan di kawasan-kawasan bandar untuk dua sebab. Pertama, kemunculan parti-parti lain dan kuasa politik yang lebih kuat di kawasan bandar. Tidak mustahil bagi seorang calon yang mewakili kepentingan alam sekitar atau sebuah parti alam sekitar memenangi pilihanraya kerajaan tempatan. Calon-calon dengan isu tunggal seperti anti-KIDEX atau pro-haiwan mempunyai kemungkinan menang yang lebih tinggi di majlis perbandaran Petaling Jaya berbanding daerah bukan-bandar di mana mobilisasi berdasarkan satu isu mungkin lebih mencabar.

Kedua, komposisi etnik bagi kebanyakan majlis bandaran telah berubah secara signifikan sejak insiden 13 Mei 1969. Penghijrahan warga Melayu dari kawasan luar bandar ke kawasan-kawasan bandar telah menjadikan daerah seperti Kuala Lumpur jauh berbeza hari ini berbanding keadaannya pada tahun 1969.

Menurut data bancian 2010, penduduk Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45.9%) melebihi penduduk Cina (43.2%). Malah daripada 3 Dewan Bandaraya, 9 Majlis Perbandaran dan 37 Majlis Daerah di Malaysia, hanya 6 yang mempunyai penduduk Cina yang melebihi Melayu – Ipoh, Kuching Selatan, Johor Bahru Tengah, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya! Dengan kata lain. 88% daripada kawasan bandar ini mempunyai penduduk Melayu yang ramai. Malah di tempat seperti Petaling Jaya, penduduk Melayu (46.2%) melebihi Cina (39.6%).

Sementara orang Melayu mungkin kurang diwakili di kebanyakan kawasan bandar akibat daripada profil demografi yang lebih muda, adalah salah untuk mendakwa bahawa DAP akan mendominasi pilihanraya kerajaan tempatan dengan alasan bahawa kawasan bandar didominasi kaum Cina.

Lebih ketelusan dalam proses belanjawan

Hujah terakhir saya mengenai kenapa pilihanraya kerajaan tempatan mesti dikembalikan adalah dari segi ketelusan dan pengawasan kewangan. Buat masa kini, terdapat terlalu sedikit perbahasan atau perbincangan tentang bagaimana belanjawan majlis bandaran diperuntukkan. Ini penting kerana ia menentukan, contohnya, berapa banyak taman permainan dinaiktaraf, berapa banyak jejantas dibina, berapa banyak dibelanjakan untuk pengutipan sampah dan kerja-kerja pembersihan awam, berapa banyak dibelanjakan untuk lanskap.

Dengan sebuah majlis bandaran yang tingkat kebertanggungjawabannya lebih tinggi, beserta perwakilan ahli majlis yang lebih tepat secara politik, akan wujud proses semak dan imbang yang lebih baik terhadap bagaimana belanjawan sebuah majlis bandaran dibelanjakan. Sepertimana pihak pembangkang berperanan meneliti belanjawan kerajaan di peringkat kerajaan negeri dan pusat, sebuah majlis daerah yang lebih representatif juga patut melakukan perkara yang sama bagi belanjawan pihak berkuasa tempatan.

Penutup

Meski wujud kerisauan yang munasabah mengenai pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan, contohnya mengenai jenis sistem pemilihan, kuasa-kuasa khusus ahli majlis, dan siapa yang boleh mengundi dalam pilihanraya seperti ini – sekadar menyebut beberapa contoh – kemungkinan berlakunya kejadian seperti 13 Mei akibat daripada pilihanraya kerajaan tempatan bukan salah satu daripadanya.

Lampiran 1: Komposisi etnik 3 Dewan Bandaraya, 9 Majlis Perbandaran dan 37 Majlis Daerah di Malaysia menurut data bancian 2010.

(*) Kadar penduduk Cina melebihi kadar penduduk Melayu

Jadual