Rencana

‘Undi ketiga’ perjuangan DAP sejak awal

Perjuangan DAP mahu mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan bukan baru minggu lepas. Usaha DAP menuntut supaya dikembalikan pilihanraya kerajaan tempatan ini bermula sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja Athi Nahappan mengenai pelaksanaan undi ketiga mencadangkan supaya pilihanraya tersebut dikembalikan.

Ya, dikembalikan. Ini tema besar banyak kenyataan media Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sejak bermula perdebatan di media mengenai undi ketiga. Pilihanraya kerajaan tempatan adalah pilihanraya pertama yang diadakan di dalam negara, seawal 1951 di Pulau Pinang dan kemudian diikuti Kuala Lumpur pada tahun berikutnya.

Namun Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menangguhkan pilihanraya kerajaan tempatan pada tahun 1965 ketika berlaku konfrontasi dengan Indonesia. Tunku berjanji dalam Dewan Rakyat bahawa pilihanraya tempatan akan dipulihkan selepas keamanan dicapai.

Tetapi ia tidak kembali berlangsung walaupun pasca saranan Suruhanjaya Athi Nahappan pada tahun 1968 supaya undi ketiga dikembalikan menggantikan sistem lantikan, yang menurut Athi Nahappan adalah merupakan tinggalan kolonial dan bukan alternatif terbaik kepada sistem pemilihan langsung oleh pembayar cukai.

Ini katanya kerana ahli majlis seharusnya mempunyai kebertanggungjawaban terhadap pembayar cukai yang memilihnya melalui pilihanraya, dan bukan terhadap parti-parti politik yang melantiknya ke jawatan tersebut.

Kit Siang, ketika berucap sebagai Setiausaha Organisasi DAP pada 22 Januari 1969 telah membidas penafian hak demokratik kepada rakyat akar umbi oleh kerajaan Perikatan pada waktu itu dengan menggantung pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan. Beliau menggesa cadangan-cadangan laporan Athi Nahappan dilaksanakan sebelum pilihanraya umum berlangsung.

Jadi tidak tepat sekiranya ada yang mendakwa bahawa pilihanraya kerajaan tempatan adalah sebuah agenda baru DAP selepas ia telah merasai nikmat berkuasa dan mahu lebih banyak kuasa. DAP telah memperjuangkan undi ketiga, hak demokratik rakyat yang dinikmati di negara-negara yang mengamalkan demokrasi, sejak sekian lama.

Kenalkah kita siapa Datuk Bandar KL?

Di Indonesia, Joko Widodo dipilih menjadi Presiden selepas kecemerlangannya sebagai Gabenor Jakarta. Demokrasi Indonesia membolehkan rakyat memilih gabenor, wali kota dan pelbagai jawatan di peringkat tempatan. Tidak hairan kenapa warga Indonesia punya kesedaran politik tinggi, dan pastinya kita ditertawakan apabila mereka tahu Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh menteri dan bukan warga Kuala Lumpur.

Kita di Malaysia tidak lagi punya kesedaran dan kepedulian politik kerana demikian banyak lantikan menafikan keperluan partisipasi rakyat ke dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka sehari-hari.

Meter tempat letak kereta misalnya, siapa yang uruskan pengendaliannya, kutipannya dan ke mana wang itu disalurkan? Kita tidak tahu. Malah siapa dia Datuk Bandar Kuala Lumpur pun belum tentu kita tahu namanya.

Soal pilihanraya kerajaan tempatan bukan soal kaum. Ini asas yang tidak perlu diulang-ulang, kecuali jika sudah tidak ada hujah lain yang cukup bagus. DAP telah mengeluarkan hujah-hujah berasaskan angka untuk menunjukkan bahawa daripada 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia, hanya sebilangan kecil sahaja yang komposisinya kaumnya majoriti Cina. Itu realiti politik hari ini. Hari ini bukan 1960-an.

Jadi Melayu nak takut apa? Adakah Melayu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah tidak yakin diri boleh menang di daerah-daerah ia merupakan populasi majoriti? Lemah sangatkah jiwa orang Melayu ini?

Terdapat 12 PBT di Kelantan dengan populasi Melayu terendah sebanyak 92% di Kuala Krai sehinggalah yang tertinggi 97% di Dabong. Terengganu pula memiliki tujuh PBT, populasi Melayu paling rendah seramai 95.% di Kemaman, dan yang paling tinggi, 99.7% di Setiu.
Bagi Kedah, 11 buah PBT mempunyai populasi Melayu seramai 63.6% di Kulim, 66.2% di Sungai petani, 76.9% di Alor Setar, 82.1% di Bandar Baru, 88.3% di Kubang Pasu, 89.7% di Pendang, 90.9% di Baling, 92.5% di Padang Terap, 92.6% di Langkawi, 92.8% di Sik dan 93.2% di Yan.

Yang penting kebertanggungjawaban

Kebertanggungjawaban pihak berkuasa tempatan kepada pembayar cukai pintu, pembayar saman, pembayar meter petak letak kereta, pembayar lesen niaga, adalah elemen yang memastikan kecekapan, ketelusan perbelanjaan dan kecekapan dalam menguruskan infrastruktur awam.

Inilah juga yang dimahukan rakyat yang sering bertanya ‘mana wakil rakyat kami, musim pilihan raya baru nampak muka’. Walhal ahli majlis yang kerjanya turun padang selalu, di zon dan autonom yang lebih kecil tidak diiktiraf mahupun dihargai kerja, atau dihukum masyarakat atas kegagalan dan kelalaiannya kerana bukan rakyat yang pilih justeru tiada kebertanggungjawaban terhadap rakyat.

Inilah sebabnya kenapa kita memerlukan pilihanraya kerajaan tempatan supaya jika ada yang tidak kena, kita berhak menggulingkan pihak yang bertanggungjawab tanpa rasa segan silu, kerana kita yang meletakkannya di situ.

Malah, kita boleh tukar ahli-ahli majlis atau datuk bandar setiap kali pilihanraya tempatan jika mereka mandom atau gagal atau korup, walau parti apa pun mereka wakili. Malah orang yang tidak berparti atau bebas pun berhak bertanding. Undi ketiga adalah pelaksanaan demokrasi di peringkat yang paling dekat dan rapat dengan kita. – Roketkini.com