Berita

Pengurangan peruntukan dari Kerajaan Pusat mundurkan ekonomi Perak

BATU GAJAH, 30 JAN: Pentadbiran boros dan rasuah Kerajaan BN negeri merupakan penyebab mengapa ekonomi Perak semakin merudum, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar.

Beliau berkata, hasil ekonomi Perak bukan saja tidak mantap malah pembangunnanya juga agak terbantut kebelakangan ini.

“Zaman kegemilangan ekonomi Perak yang satu ketika dulu pernah menjadi pengeluar bijih timah, getah dan kelapa sawit utama kini hanyalah sekadar ingatan dalam catatan sejarah.

“Sejak berpuluh-puluh tahun lalu, ekonomi Perak mundur dan tidak berdaya saing berikutan pentadbiran boros, rasuah dan pengurusan lemah Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak itu lagi, pengurangan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan merupakan salah satu punca yang telah melemahkan pembangunan negeri tersebut.

Jelasnya, dalam Rancangan Malaysia ke 9 (RMK 9), Perak telah menerima RM9.21 bilion untuk projek pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan dan jumlah tersebut hanya 4.0 peratus daripada peruntukan yang disediakan kepada seluruh negara.

“Tapi dalam RMK 10, jumlahnya untuk Perak telah dikurangkan kepada RM5.47 bilion iaitu 2.87 peratus daripada peruntukan RM190.7 bilion kepada seluruh negara.

“Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan telah dikurangkan sebanyak RM3.74 bilion dalam RMK 10 berbanding RMK 9 bagi Perak.

“Pengurangan peruntukan ini jelas telah melemahkan lagi pembangunan Perak di bawah RMK 10 sehingga kita langsung tidak dapat melihat pembangunan fizikal yang nyata dan boleh dibanggakan,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, tidak mustahil dengan kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara, keadaan Perak akan bertambah parah dan berada pada kedudukan membimbangkan. -Roketkini.com