Rencana

Catatan ringkas Sekolah Demokrasi ke Sekinchan

Mari kita andaikan jika kota, bandar atau apa saja namanya adalah sebuah kanvas dan dengan berus kita mengekspresikan segala imej ke atasnya tanpa batas. Maka bandar akan berubah menjadi medan perlawanan estetika dari ratusan corak pemikiran manusia di dalamnya. Setiap manusia tentu mempunyai definisi keindahan yang tersendiri dalam benak kepalanya. Kalau begitu mari kita andaikan pula setiap manusia itu adalah bijak dan disebabkan kebijaksanaan ini, wujudlah sebuah bandar yang dibina atas kesedaran seni dan kemanusiaan para penduduknya, indah lagi menarik.

Malangnya, di bandar-bandar tempat manusia tinggal lebih mengutamakan fungsi dari estetika. Bandar dibangun caca-marba, seolah-olah mereka yang tinggal di dalamnya hanyalah alat, skru motor atau patung dengan andaian estetika tidak diperlukan jika kecekapan boleh diraih dengan mengorbankan keindahan. Bandar diperkosa kegunaannya dan manusia yang tinggal di dalamnya seringkali menjadi produk yang membosankan.

Dinding bangunan menjulang dengan warna monokrom yang membangkitkan aura suram, marah, sesak dan totalitarian. Hampir tidak ada warna-warna cerah yang membuatkan manusia lebih bersemangat. Inilah dia bandar Kuala Lumpur, tempat saya tinggal dan ‘cari makan’. Diseliputi ratusan blok-blok pusat membeli belah menjulang tinggi seumpama penjara yang memasung keindahan.

Tata ruang bandar menjadi sebuah medan perang hasil kerja kreatif manusia-manusia ‘urban’. Medan perang antara kepentingan ekonomi, ekologi, estetika dan utiliti. Tetapi seperti yang kita semua tahu, fungsi ekonomi adalah raja dari segala-galanya termasuk bentuk tata ruang. Bandar dibangunkan sesuai dengan keinginan kontraktor berduit. Menginjak dan menindas habis segala kepentingan umum. Bandar akhirnya dibangun hanya untuk menambah kepentingan segelintir manusia agar koceknya penuh.

Lari dari keributan bandar

IMG-20150104-WA0185

Serabut melihat semua ini, pada 3 dan 4 Januari lalu saya akhirnya menerima pelawaan Kordinator Sekolah Demokrasi (SekDem) Edry Faizal untuk bersama beberapa rombongan alumni seperti aktivis DAP Sepura Othman dan lainnya untuk melawat ke sebuah tempat jauh dari kesibukan bandar yang terletak di antara Sabak Bernam dan Tanjong Karang iaitu Sekinchan.

Perjalanan pada kira-kira jam 10.40 pagi bersama rakan-rakan alumni SekDem lain (kira 6 ke 7 buah kereta) dari Ibu Pejabat DAP ke Sekinchan yang terkenal dengan kesuburan sawah padi mengambil masa satu setengah jam.

Dalam perjalanan, selain dipaksa menunjukkan jalan, sesekali sempat juga mengelamun seperti biasa, dan lamunan saya kali masih berkisar kepada tata ruang bandar.

Mengapa sebuah bandar tidak boleh menyelaraskan keindahan dan fungsinya? Apakah tembok dinding dan ruang kosong hanya menjadi barang hak milik golongan tertentu? Mengapa seni dan mural hanya menjadi katalis pemilik syarikat untuk menjaja produknya?

Tidak ada keindahan, tapi hanya pesanan memedihkan mata untuk meminta kita berbelanja dan membeli dan terus membeli – sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada tulisan Avianti Armand dalam bukunya Arsitektur Yang Lain. Pada bab ‘Pagar’, Avianti menyatakan bagaimana dinding-dinding yang tinggi dan angkuh telah memperkotak-katikkan manusia secara keseluruhannya.

Sedang saya asyik mengelamun, kami semua akhirnya tiba di pekan Sekinchan dan disambut mesra oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ng Suee Lim di pejabatnya.

Makanan eksotik di daerah tani

Mungkin sedar kami agak kepenatan dan kelaparan, beliau tidak mengambil masa lama membawa kami semua ke Restoran Lembah Bernam di Jalan Main Canal, Tali Air 9, Sekinchan. Selain berhadapan dengan sawah padi, restoran ini menurut Ng terkenal bukan sahaja dengan masakan kampung, tetapi lauk-pauk yang eksotik.AZF_8339

Kami dihidangkan beraneka jenis lauk-pauk antaranya ikan baung masak lemak cili api, ayam kampung goreng berempah, rendang landak, ulam-ulam dan pelbagai lagi. Kata Ng, kebanyakkan pelanggan restoran ini tidak terhad kepada penduduk Sekinchan, Hulu Selangor, tetapi ramai pelanggannya dari Kuala Lumpur, Shah Alam dan bandar lain.

“Ini yang ramai-ramai banyak dari Kuala Lumpur. Kalau hujung minggu, cuti sekolah atau cuti lainnya, ramai juga dari pelanggan yang datang dari negeri-negeri lain.

“Kebanyakan orang yang datang sini, selain suka masakan kampung, apa yang membuatkan restoran ini istimewa ada banyak jenis lauk yang susah kita nak cari tambahan lagi kalau duduk di bandar,” kata Ng.

Selesai makan, rombongan kami dibawa ke Kilang Beras Rakyat Sekinchan di kawasan berhampiran. Kilang ini bukan tempat perusahaan biasa, tetapi mempunyai Galeri Padi, di mana para pengunjung boleh menonton sendiri bagaimana proses menuai, mengangin, mengilang dilakukan. Kami diajar tentang jenis-jenis beras dan kualitinya. Selepas hampir setengah jam menonton dan belajar, kami kemudiannya ke tingkat kedua kilang – seakan muzium dengan alat-alat, mesin (modern dan tradisional) dipamerkan untuk tatapan umum.

Riadah sebagai pelajaran hidup

AZF_8152

Selepas menimba banyak ilmu tentang padi dan beras, kami dibawa ke tempat penginapan, D’ Menara Bayu Homestay di Jalan Sungai Labu Sekinchan. Kira-kira jam 6 petang, Ng bersama pembantunya membawa kami ke muara Sungai Kuala Selangor untuk menyaksikan habitat burung helang.

Kami bersama Ng menaiki sebuah bot berkapasiti 24 orang dari Tanjong Karang menuju ke destinasi yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sesampainya saja di tempat habitat, pemandu bot terus mencampakkan lemak dan kulit ayam, secara merta entah dari mana muncul sekumpulan helang menerkam ke arah bot kami (tempat makanan dicampakkan). Jarak paling dekat antara helang dan bot kami adalah 30 meter. Menurut Ng, ada tiga jenis helang di sini helang cokelat berkepala putih (Winston), helang besar berwarna putih dan helang cokelat. Kami dapat melihat sendiri binatang yang hanya dapat dilihat dalam buku teks sekolah rendah dulu iaitu bangau putih dan burung camar.

Hampir dua jam berada di muara Sungai Kuala Selangor, akhirnya kami kembali ke darat, pulang ke tempat penginapan untuk berehat sebelum menikmati jamuan makan malam. Sepatutnya ada aktiviti melihat kelip-kelip, sayangnya hujan lebat membantutkan rencana.AZF_7990

Keesokannya, sebelum bersarapan kami berkesempatan berbasikal selama sejam mengelilingi kawasan sawah padi berhampiran pekan Sekinchan. Saya memilih untuk berkayuh berjauhan sedikit dari alumni SekDem lain, untuk lebih menikmati momen sawah padi dan aromanya – di mana perjalanan bukanlah semata urusan bercuti dan bersenang-senang. Momen untuk bersama alam dan keluar dari ‘pattern’ catatan atau pengalaman perjalanan yang hanya merayakan euforia dangkal sesuatu destinasi tanpa belajar apa-apa.

Selepas berkayuh, kami menuju ke Balai Raya JKKK Parit 7 Baroh di Jalan Pantai Redang untuk makan tengahari bersama Ketua-ketua kampung dan Ng sendiri. Selesai menjamu selera, kami sempat mengadakan sesi dialog tentang beberapa perkara seperti fungsi JKKK, pengalaman Ng sebagai wakil rakyat, respon rakyat, isu-isu berbangkit seperti Melayu terancam, kerusi Timbalan Speaker, prestasi Menteri Besar baru dan lainnya.

Mungkin sampai disini sahaja boleh saya kisahkan. Walau apa pun, saya tetap berbesar hati bukan sahaja kerana dapat menikmati Sekinchan sebagai destinasi eko-pelancongan, tetapi berjaya lari dari persoalan tentang kebosanan hidup sebagai mesin atau mekanik kepada tuan bernama bandar – yang bergerak secara automatik, pegun, ‘repetitive’ dan kemudian mengutuk hidup sendiri seolah-oleh ia memang direka sedemikian.