Rencana

GPMS Patut Belajar Tentang Demokrasi

SINAR2Saya merupakan salah seorang alumni Sekolah Demokrasi dan merupakan anak muda yang belum menyertai mana-mana parti politik.

Kenyataan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah baru-baru ini yang menyerang Sekolah Demokrasi anjuran DAP seperti yang diterbitkan sebuah portal berita tempatan adalah sangat tidak wajar. Malah seolah-olah mendengungkan serangan demi serangan tidak berasas dari cybertrooper anti-Pakatan Rakyat ke atas Sekolah Demokrasi.

Mereka memberikan alasan bahawa dikhuatiri Sekolah Demokrasi “menerapkan ideologi bertentangan dengan perlembagaan negara”.

Kenyataan itu jelas sekali menunjukkan GPMS Kedah tidak tahu sedikit pun apa yang diajarkan di dalam Sekolah Demokrasi. Sebab itu mereka berulang kali menyerang dengan bersandarkan sikap penuh prejudis tanpa usul periksa.

Setakat penglibatan saya bersama Sekolah Demokrasi, kami tidak pernah diajar untuk melakukan sebarang perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya dari pengamatan saya, setiap perkara yang dikongsi menghidupkan lagi semangat Perlembagaan Persekutuan yang menekankan kebebasan, keadilan dan keharmonian hidup bersama tanpa mengira kaum. Serta menolak amalan perkauman dan sikap melampau.

Di dalam Sekolah Demokrasi, peserta dari pelbagai latar belakang, agama, etnik dan faham politik dapat duduk bersama dan belajar. Peserta tidak segan-segan membahaskan apa saja termasuklah dibenarkan untuk berbeza pandangan dengan jurulatih dan penyampai kuliah.

Suasana dalam Sekolah Demokrasi inilah sepatutnya wujud di dalam politik hari ini yang hanya penuh dengan indoktrinasi kosong dan politik fitnah.

Tindakan GPMS Kedah meminta pihak berkuasa memerhatikan Sekolah Demokrasi bersandarkan semata-mata rasa prejudis mereka amatlah menyedihkan.
Sewajarnya mereka harus mendukung usaha pendemokrasian di kalangan anak muda yang kurang diterjemahkan di dalam institusi pendidikan. Selaku badan NGO mewakili pelajar amatlah malang jika hal baik sebegini disalaherti.

Sepatutnya dalam sebuah negara demokrasi, digalakkan lebih banyak ruang untuk belajar, berbahas dan berkongsi pandangan politik. Bukannya cuba disekat-sekat hanya berdasarkan sangkaan-sangkaan buruk.

Di saat Sekolah Demokrasi membuka ruang buat anak muda belajar dan berbahas, GPMS Kedah pula sebaliknya. Melihat sikap tidak demokratik GPMS Kedah, maka tidak mustahil GPMS Kedah berasa resah dengan kewujudan Sekolah Demokrasi.

Saya sarankan GPMS Kedah untuk turut mendalami ilmu demokrasi dan kewarganegaraan agar boleh menjadi warga sebuah negara demokrasi yang baik.

Kenyataan media Alumni Sekolah Demokrasi, Farhan Haziq Mohamed pada 31 Januari 2015 di Kuala Lumpur. – Roketkini.com