Rencana

Mengembalikan pluralisme sebagai cara hidup rakyat Malaysia

Pluralisme ataupun kemajmukan merupakan suatu rahmat. Mengapa? Kerana Allah mengatakannya demikian:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Al-Hujurat: 13)

Dalam erti kata lain, pluralisme – keadaan di mana kumpulan minoriti mengekalkan perbezaan budaya mereka tetapi pada masa yang sama diterima sepenuhnya sebagai sebahagian daripada domain masyarakat dominan yang lebih luas – merupakan sifat fitrah kemasyarakatan manusia.

Seperti yang diperhatikan, al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa manusia diciptakan dengan keragaman, bahawa kita semua adalah berbeza mengikut jantina, bangsa dan budaya. Lebih penting lagi, kita juga diberitahu bahawa tujuan kepelbagaian ini adalah supaya kita dapat memahami dan belajar daripada satu sama lain. Perbezaan ini seharusnya kita raikan dan bukannya digunakan untuk memecah-belahkan antara kita. Dalam ayat yang sama, Allah juga berfirman bahawa seseorang itu dihakimi bukan mengikut warna kulit atau bangsa mereka, tetapi semata-mata melalui iman dan tingkah laku mereka.

Jalan saya atau jalanraya

Walaupun bagaimana jelas dan nyata sekali pun ayat ini, masih ramai umat Islam yang gagal atau enggan untuk memahaminya, termasuk golongan tertentu di negara kita yang telah entah bagaimana mengaburkan perbezaan antara bangsa dan agama. Mereka bukan sahaja memberikan status istimewa kepada diri sendiri, malah benar-benar percaya bahawa mereka secara azalinya lebih agung berbanding kaum dan agama lain. Tambahan pula, mereka juga percaya hanya tafsiran Islam mereka yang benar dan sah, seolah-olah mereka memonopoli agama.

Selama bertahun-tahun, golongan ini telah menginstitusikan kepercayaan yang tidak berasas mereka dan memaksakannya ke atas rakyat melalui kuasa Pemerintah. Hari ini, mereka mengambil pendekatan campur-tolak (zero-sum) terhadap Islam, di mana sebarang pandangan yang bertentangan dengan mereka itu dianggap tidak sah dan boleh dihukum.

Ambil sebagai contoh kes acara “I want to touch a dog” baru-baru ini yang dianjurkan oleh seorang aktivis sosial di Bandar Utama, Selangor. Pihak berkuasa agama mengambil tindakan keras terhadap tindakan Muslim menyentuh anjing sehingga mereka memulakan siasatan terhadap penganjur kerana didakwa mempromosi pemikiran liberalisme dan pluralisme. Sementara itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan bahawa menyentuh anjing adalah tindakan bertentangan dengan Islam – ataupun sekurang-kurangnya versi Islam yang diluluskan oleh Pemerintah. Peraturan ini tidak hanya meremehkan orang Islam, malah mengabaikan kepelbagaian pendapat ilmiah tentang perkara ini. Mazhab Maliki, misalnya, mengambil pendirian yang berbeza berkaitan dengan anjing berbanding dengan doktrin Shafie.

Jelas sekali, kita sedang menuju ke arah satu bentuk Islam yang sangat eksklusif dan parokial. Pendekatan seperti itu bukan sahaja memecah-belahkan, tetapi juga bercanggah dengan tradisi budaya kita sendiri. Masyarakat kita sememangnya majmuk sejak dari awal, di mana amalan Islam di rantau kita secara umumnya akomodatif terhadap kepelbagaian dalam tradisi-tradisi Islam yang berwarna-warni, tanpa fanatik kepada mana-mana satu pandangan tertentu. Sebagai contoh, amalan yang diterimapakai berhubung bayaran zakat fitrah di negara ini adalah lebih mendekati pegangan mazhab Hanafi, walaupun kerajaan mendakwa mereka mengikuti Imam Shafie.

Sebenarnya, obsesi untuk menghukum mereka yang berbeza pandangan ini bukan disebabkan agama. Anjing wujud bersama rakyat Malaysia sejak awal lagi, tetapi entah bagaimana hanya kini fatwa diperlukan. Begitu juga dengan Bible berbahasa Melayu dan penggunaan kalimah “Allah” – juga bukan rekaan baru, namun selepas 57 tahun menerima amalan ini, kerajaan dengan tiba-tiba menukar pendirian.

Kalaulah pihak berkuasa agama boleh menzahirkan kesungguhan yang sama dan tidak berkompromi terhadap rasuah dan salah guna kuasa. Bukankah lebih baik jika ada fatwa yang menyatakan bahawa umat Islam tidak dibenarkan untuk menyentuh wang hasil daripada keuntungan haram?

Ekstremisme akibat takut kehilangan kuasa politik

Jelas, sesuatu idea hanya dianggap sebagai ancaman sekiranya ia mencabar “monopoli ideologi” pihak berkuasa. Oleh itu, di mata Pemerintah, kepelbagaian merupakan bahaya manakala kepatuhan adalah sikap terpuji.

Pendirian ekstrem secara tiba-tiba oleh kerajaan ini sebenarnya berpunca daripada ketakutan hilangnya kuasa politik. Oleh kerana mandat mereka sudah merosot dengan teruk dan dominasi mereka sekarang dicabar, kerajaan bertindak balas dengan mengenakan cengkaman kuat ke atas institusi agama bagi menghalalkan kuasa moral mereka.

Mereka tidak peduli jika tindakan mereka sebenarnya bukan sahaja memperkecilkan keilmuan tamadun Islam, tetapi juga memperlekehkan akal kurniaan Allah.

Mereka juga tidak peduli jika tindakan mereka itu bertentangan dengan peraturan mereka sendiri. Sebagai contoh, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan rokok dan shisha kepada Muslim, namun entah bagaimana tidak pernah ada hasrat politik untuk memastikan peraturan ini dipatuhi.

Maka, adalah jelas penguatkuasaan agama di negara ini adalah secara terpilih dan bermotifkan politik. Bagaimana lagi untuk menjelaskan pengharaman buku-buku tertentu dalam bahasa Melayu dengan alasan melanggar ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun buku yang sama tetap boleh diperolehi secara percuma dalam bahasa Inggeris? Tindakan ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya.

Hipokrasi ini turut dipanjangkan kepada nilai-nilai yang berkaitan dengan liberalisme, pluralisme dan sekularisme. Lima puluh tahun yang lalu, ciri-ciri ini merupakan ciri-ciri pilihan yang didukung oleh pemimpin kita sebagai aspirasi negara. Malangnya, kerana kerajaan sekarang melihat kebebasan masyarakat dan kesedaran kolektif sebagai ancaman kepada cengkaman kuasa mereka, nilai yang sama telah diranapkan sebagai ciptaan Barat untuk memecah-belahkan ummah.

Dalam keadaan yang semakin kelam ini, tindak balas yang kuat dan padu diperlukan, agar Malaysia terselamat daripada hawa nafsu Pemerintah yang melampau. Sejak 30 tahun yang lalu, kita telah melihat bagaimana, di tangan kerajaan autoritarian, institusi awam telah dimandulkan dan perlembagaan kita dipinda sengan sewenang-wenangnya. Jika kita tidak membantah mereka yang menggunakan agama untuk menindas hak perbezaan pendapat dan mengukuhkan kuasa mereka, Malaysia tidak mungkin dapat menuntut semula identitinya sebagai sebuah negara yang sederhana, aman dan majmuk.

Dalam hal ini, surat terbuka oleh 25 tokoh Melayu yang menyeru rakyat Malaysia moderat untuk bersuara dan menolak peningkatan suara pelampau haruslah dialu-alukan. Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh beberapa pemerhati, 25 orang ini, tidak kira betapa hebat darjat mereka, tetap masih tidak mencukupi. Langkah pertama telah diambil, kini terpulang kepada kita semua. – Roketkini.com