Berita

“Ketua Menteri Sabah dan Sarawak salah guna kuasa imigresen”

Pegawai imigresen dikenali dengan nama ‘Maimunah’ memberitahu Teresa bahawa beliau dilarang memasuki Sabah semalam

KUALA LUMPUR, 5 FEB : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menggunakan taktik kotor melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke kedua-dua negeri itu.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, jika Musa dan Adenan telah melakukan tugas dengan baik dan mendapat sokongan rakyat, mereka tak perlu takut kepada pemimpin pembangkang mahupun aktivis masyarakat.

“Sekalipun sokongan politik mereka tergugat atau sebaliknya, mereka tidak seharusnya menyalahguna kuasa imigresen untuk menentang pembangkang.

“Rekod jelas menunjukkan pembangkang dan aktivis masyarakat menjadi sasaran utama salahguna kuasa imigresen kedua-dua kerajaan BN untuk menekan serta menindas kami,” kata Teresa dalam satu kenyataan, hari ini.

Teresa merujuk tindakan Imigresen Sabah semalam yang menghalangnya memasuki negeri di Bawah Bayu semalam.

Teresa dilarang memasuki Sarawak semenjak tahun lalu termasuk diberikan ‘pas istimewa’ menghadiri majlis pengebumian mendiang Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Assek Wong Ho Leng pada 23 Jun 2014.

“Sehingga hari ini, saya tidak pernah diberitahu mengapa saya diharamkan memasuki Sarawak, dan saya tidak diberi sebarang sebab kenapa tidak dibenarkan ke Sabah.

“Sebagai Ahli Parlimen yang memegang pasport Malaysia, saya boleh pergi ke mana sahaja seluruh ke dunia.

“Tapi amat tidak munasabah apabila saya tidak dibenarkan masuk ke dua buah negeri yang merupakan bahagian dari negara saya sendiri.

“Saya tidak pernah menimbulkan ancaman ekonomi kepada rakyat Sabah atau Sarawak dan langsung tidak mengancam keselamatan kedua-dua negeri,” tegasnya.

Ahli Parlimen Seputeh itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berdiam diri dan mengambil tindakan segera berhubung isu salahguna kuasa tersebut. – Roketkini.com