Rencana

Tifo dan budaya protes

Bola sepak merupakan budaya popular yang difahami hampir di seluruh dunia. Tak hairan jika belia-belia Palestin di Tebing Barat menyokong pasukan Manchester United di dalam Liga Barclay Inggeris ataupun warga tua di Iran mengetahui kenapa pertemuan pasukan Argentina dan England di dalam Piala Dunia 1986 begitu bersejarah.

Baru-baru ini penulis terpanggil dengan gambar Tifo yang digunakan oleh sebahagian penyokong JDT dalam pertemuan Piala Sumbangsih di Larkin, Johor Bahru Sabtu lalu.

Gambar Tifo merupakan luahan protes penyokong tim JDT terhadap tindakan FAM ; mungkin kerana penggantungan pemain Pahang Gary Steven Robart kerana didakwa melanggar kontrak. Pemain tersebut akan berhijrah masuk ke JDT musim ini.

Komen Hadi Khalid, seorang aktivis sosial dan penyokong bola sepak yang dilaporkan portal Malaysiakini sedikit memberi perhatian. “Mereka berhak buat, jika merasakan (pengurusan) bola sepak di Malaysia pincang dan tidak cekap.

“Saya rasa peminat ketika ini, guna cara ini (untuk mengkritik). Kita nak kritik cara apa lagi? Kalau demonstrasi di pejabat FAM atau (persatuan) negeri, kita ada Akta Perhimpunan Aman (menyekat).”

Rata-rata penyokong bola sepak di Malaysia kritikal dengan kondisi bola sepak negara. Ini berikutan daripada kekangan-kekangan FAM terhadap persatuan bola sepak negeri. FAM juga dilihat sebagai badan yang tidak professional kerana kesilapan – kesilapan teknikal yang menyusahkan penyokong bola sepak di negara ini.

Tifo merupakan sebahagian bahasa protes yang difahami oleh penyokong bola sepak seluruh dunia. Tifo juga adalah protes moderat dan beradab ; jika dibandingkan dengan tindakan pergaduhan, membakar suar atau vandalisme.

Saya percaya bahawa penyokong bola sepak kita sudah semakin kreatif dan kritikal. Mereka juga semakin berdiplomasi di dalam protes. Perkembangan sejarah protes di dalam arena bola sepak antarabangsa sedikit sebanyak membantu penyokong-penyokong kita mempamerkan idea-idea kreatif di dalam protes.

Protes dalam bola sepak juga bukan baharu. Tifo merupakan budaya ultras bola sepak di Eropah Selatan. Ia dipercayai wujud sejak tahun 1960an dan berkembang menjadi budaya protes umum di Itali dan Perancis.

Sebahagian besar golongan ultras di Itali mempamerkan logo Tifo un tuk menjatuhkan moral pasukan lawan. Logo Tifo juga sinonim dengan lambang puppet/dog sebagai simbolik kepada autoriti bola sepak yang korup dan zalim.

Protes Tifo melambangkan protes gaya baru yang lebih sopan dan beradab. Tujuan utama protes adalah untuk mendapatkan publisiti. Golongan fanatik-hooligan di dalam bola sepak menggunakan pelbagai cara kasar bagi mendapatkan tumpuan. Namun, protes Tifo cumalah protes senyap yang tidak melanggari batas-batas demokrasi. Jadi, mengapa

Pergaduhan dan rusuhan merupakan sebahagian daripada citra bola sepak – bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Reaksi sesetengah penonton melambangkan rasa kekesalan mereka terhadap industri bola sepak tanahair.

Campurtangan FAM di dalam persatuan bola sepak negeri telah menjejaskan ekonomi bola sepak. Ia turut memberikan kesan negatif terhadap pemain-pemain. Ia memberikan kesan terhadap gaji mereka yang selama ini ditentukan mengikut peruntukan FAM kepada persatuan bola sepak negeri.

Tindakan unilateral FAM yang menggantung Gary Steven Robart menyebabkan sebahagian penyokong JDT berang dengan keputusan terbabit. Maka, mereka mengambil jalan untuk melakukan protes Tifo bagi menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap FAM.

Saya beranggapan bahawa tindakan protes sebegini merupakan luahan para peminat bola sepak yang kecewa. Justeru, mereka meluahkan rasa geram dengan memaparkan logo Tifo beserta FAM sebagai protes terhadap autoriti bola sepak itu. Protes ini merupakan tindakan biasa yang berlaku di dalam arena bola sepak dunia.

Langkah pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penyokong JDT menunjukkan bahawa mereka tidak peka akan perkembangan bola sepak di dunia. Tunjuk perasaan dan protes merupakan hak yang tidak boleh dinafikan ke atas peminat bola sepak.

Oleh kerana itu, FAM perlu bersikap matang dalam menangani kekecewaan dan rasa tidak puas hati penyokong-penyokong bola sepak. Mereka mahukan perubahan yang drastik di dalam industri sukan bola sepak supaya mutu bola sepak kita meningkat bukan sahaja di peringkat tempatan, malah peringkat antarabangsa. – Roketkini.com