Rencana

Apa lagi ISMA mahu?

Amat mendukacitakan sebagai seorang Muslim apabila membaca laporan bahawa ISMA menyatakan program Minggu Harmoni antara Agama Sedunia akan memberi implikasi serius bagi umat Islam – kononnya akan menjadikan Islam sama rata dengan agama lain.

Tanggapan ISMA adalah tidak benar sama sekali. Harus diingat, Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan tiada sesiapa akan mempersoal Perlembagaan Persekutuan. Jika akidah seseorang itu kuat, tidak akan ada pengaruh lain akan ‘mengacau’ akidah seseorang, tak kira Muslim atau bukan-Muslim.

 ISMA sepatutnya melihat objektif program ini secara holistik dan bukannya dengan rasa prejudis. Resolusi Minggu Harmoni antara Agama Sedunia ditulis dengan sendiri oleh seorang Putera Raja dari Jordan, iaitu Putera Ghazi bin Muhammad, yang bertujuan ‘memastikan struktur kedua terbesar di dunia (terbesar ialah pendidikan) menggunakan kekuasaan tempat-tempat beribadat untuk memupuk keamanan dan harmoni di seluruh dunia’.

Secara logiknya, niat sebegini adalah murni dan harus diambil kira oleh semua tak kira bangsa atau latar belakang agama kerana tujuannya ialah untuk memupuk kasih-sayang, keharmonian dan keamanan antara semua tanpa mengira latar belakang masing-masing.

Sejak sekian lama, sesetengah individu cuba mengacau keharmonian dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan rasa prejudis sesama individu.

Adakah salah untuk meminta semua orang tanpa mengira latar kaum dan agama untuk menghormati sesama sendiri? Bukankah ini juga termaktub dalam ajaran Islam?

Kenapa ISMA mahu ‘pour cold water’ dalam usaha pelbagai pihak untuk menjalinkan semangat muhibah sesama masyarakat?

Satu lagi contoh baru-baru ini adalah tindakan ISMA Klang yang memprotes berkenaan Kuil Hindu Sri Sundaraja Perumal yang terletak di Persiaran Raja Muda Musa Klang, atas alasan Klang sebagai bandar Diraja tidak patut ada kuil yang besar dan mungkin akan ‘menyebarkan’ agama Hindu.

Pihak ISMA Klang patut faham bahawa kuil tersebut telah lama dibina di Klang dan pengubahsuaian adalah hak pihak kuil tersebut asalkan mengikut syarat pengubahsuaian yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Klang.

 Saya pernah belajar di SMK La Salle Klang. Rumah saya berdekatan dengan kuil itu. Saya masih Islam dan akidah saya dan kawan-kawan Islam yang lain langsung tidak terjejas.

Kini kita mempunyai banyak masjid yang besar dan tersergam indah di seluruh negara. Jika menggunakan logik ISMA, seharusnya kini tiada lagi bukan Muslim di negara ini kerana mereka semuanya telah memeluk Islam lantaran terpesona dengan bangunan masjid.

 ISMA, agama bukan hanya soal bangunan tetapi juga syariat.

Apakah objektif ISMA untuk mengungkit semua isu ini? ISMA sentiasa menggunakan alasan keharmonian agama tetapi mereka sentiasa memberi komen-komen negatif berkenaan usaha murni untuk mengharmonikan negara Malaysia yang tercinta ini. Bukankah ini akan memberikan orang bukan Islam persepsi negatif terhadap agama Islam?

 Sebagai gerakan Islam, ISMA sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bersifat positif untuk memberikan tanggapan yang baik terhadap Islam. Jika ISMA sentiasa memberikan persepsi negatif terhadap niat murni kegiatan seperti Minggu Harmoni antara Agama Sedunia dan pembinaan tempat beribadat, kemungkinan besar usaha untuk memupuk keharmonian sesama agama dan pembangunan insan akan gagal. Ini bukannya sesuatu yang dimahukan oleh rakyat Malaysia.

Jika ISMA tidak mahu membantu usaha meningkatkan kefahaman dan keharmonian antara agama, cukuplah jika ia mahu berhenti daripada menjejaskan usaha usaha orang lain.