Rencana

GST akan membebankan NGO dan badan amal

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 ini pasti mempunyai kesan yang besar ke atas ekonomi Malaysia, kerana pada dasarnya akan mengakibatkan peningkatan enam peratus cukai dalam semua sektor.

Walau bagaimanapun, sementara kesan ekonomi akibat GST ini telah dibincangkan secara meluas, tidak ramai yang menyedari kesan sosial GST, khususnya berkaitan dengan impaknya terhadap badan-badan amal dan sektor bukan bermotifkan keuntungan.

Kerja amal juga dikenakan GST

Kerja amal adalah satu usaha sosial yang secara lazimnya dijalankan oleh sukarelawan yang melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan oleh pihak kerajaan. Dalam erti kata lain, keperluan kerja amal ini timbul akibat kekurangan atau kelemahan sistem kebajikan yang sedia ada. Oleh itu, aktiviti-aktiviti amal perlu disokong dan digalakkan oleh pihak berkuasa.

Sebaliknya, pelaksanaan cukai pengguna sejagat akan mewujudkan banyak halangan dan kerumitan kepada badan amal. Menurut buku Garis Panduan Pendaftaran Pertubuhan Atau Organisasi Yang Serupa oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, hampir semua aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan kebajikan, organisasi bukan bermotifkan keuntungan serta badan bukan kerajaan – termasuk mereka yang kini menikmati status dikecualikan cukai – turut akan dikenakan GST.

Sumbangan tunai

Di bawah rejim GST, hanya sumbangan wang tunai “tanpa apa-apa manfaat” kepada penderma tidak dianggap sebagai suatu pembekalan bercukai, justeru tidak dirangkumi oleh GST.1  Namun begitu, sumbangan wang tunai adalah tertakluk kepada GST sekiranya ada “manfaat” kepada penderma, dengan manfaat ditakrifkan sebagai:

  1. mengiklankan nama atau produk penaja dalam buku program;

  2. menamakan acara itu atas nama penaja;

  3. memaparkan nama penaja pada baju yang dipakai oleh suatu pasukan (penerima).2

Hal ini menimbulkan kebimbangan kerana amalan seumpama ini adalah kebiasaan di Malaysia, khususnya dalam kalangan penaja korporat yang secara lazimnya merupakan penyumbang terbesar badan-badan amal.

Sumbangan bukan tunai

Sementara itu, sumbangan dalam bentuk barangan adalah tertakluk kepada kekangan lain. Bagi penajaan “tanpa manfaat” kepada penderma, hanya barang-barang yang tidak melebihi RM500 setahun dianggap sebagai “hadiah perniagaan” dan oleh itu dikecualikan daripada GST. Namun, jika barangan yang ditaja berjumlah lebih daripada RM500 setahun, ia akan dianggap sebagai bekalan dan diambil kira untuk GST.3

Bagi sumbangan dalam bentuk barangan yang mendatangkan manfaat kepada penderma, seperti cawan kopi yang mempunyai logo korporat penderma, maka GST perlu diambil kira berdasarkan nilai pasaran terbuka bagi penyediaan ruang iklan.4

Acara mengumpul Dana

Badan amal yang menganjurkan acara mengutip dana layak mendapat pelepasan daripada GST pada bekalan mereka. Walau bagaimanapun, pihak penganjur perlu bukan sahaja mengemukakan senarai bekalan yang akan digunakan dalam acara kutipan dana itu kepada Ketua Pengarah Kastam untuk kelulusan terlebih dahulu, tetapi juga menyimpan rekod-rekod atau akaun bekalan secara sepenuhnya. Ini bermakna kos operasi akan bertambah untuk penganjuran acara tersebut.

Tambahan pula, pelepasan cukai untuk acara mengumpul dana adalah terhad kepada hanya empat acara setahun. Kadar GST standard akan dikenakan untuk acara kelima dan seterusnya pada tahun yang sama. Di samping itu, pelepasan cukai juga tidak akan diberi jika acara ini dianjurkan oleh pengumpul dana profesional.5

Aktiviti-aktiviti lain

Adalah kebiasaan bagi bagi badan amal dan pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan untuk melibatkan diri dalam aktiviti lain untuk menambah pendapatan mereka bagi menampung perbelanjaan operasi. Walau bagaimanapun, semua perkhidmatan tersebut seperti sewaan dewan, jualan produk, dialisis atau rawatan perubatan lain, bengkel latihan, kerja terjemahan, dan penjualan ruang iklan akan dikenakan GST, walaupun kutipan digunakan sepenuhnya untuk tujuan amal.

 

Jenis aktiviti

Kadar GST

Derma tunai tanpa manfaat

Tiada GST

Derma tunai dengan manfaat

Dikenakan GST

Sumbangan bukan tunai tanpa manfaat

Tiada GST sehingga RM500 setahun. Jika lebih, akan dikenakan GST.

Sumbangan bukan tunai dengan manfaat

Dikenakan GST.

Acara mengumpul dana

Pelepasan GST terhad kepada empat acara setahun. GST dikenakan untuk acara kelima dan seterusnya

Keuntungan daripada sewa dewan, jualan barangan, bengkel latihan, ruang iklan, perkhidmatan ambulans dibayar dan lain-lain.

Dikenakan GST.

Jadual: Ringkasan kadar GST untuk kerja amal

Kesan negatif terhadap kerja amal

Dengan kekangan-kekangan yang dinyatakan tadi, kerja amal dan operasi badan-badan kebajikan pada dasarnya akan menjadi lebih mahal. Ini seterusnya bukan sahaja tidak menggalakkan sumbangan daripada pihak awam dan badan korporat, malah memburukkan lagi keadaan kesempitan wang sektor bukan bermotifkan keuntungan di Malaysia.

Bukan sahaja tidak menyumbang, kerajaan mengambil pula daripada kerja amal

Kebanyakan badan amal di Malaysia tidak menerima bantuan kerajaan dan dengan itu bergantung kepada sokongan daripada individu dan sektor korporat. Kerajaan sepatutnya meningkatkan bantuan mereka untuk sektor amal ini, namun dengan pelaksaan GST, kerajaan akan melakukan sebaliknya dengan mencukai derma dan kutipan untuk tujuan amal. Amalan songsang yang ironis ini akan mengurangkan nilai sebenar sumbangan.

Kos perakaunan GST

Jelas, GST akan mewujudkan beban tambahan ke atas sektor bukan bermotifkan keuntungan, khususnya NGO dan badan amal yang kecil. Bukan sahaja mereka akan mengalami masalah aliran tunai daripada pengurangan potensi sumbangan, mereka juga akan berhadapan kesukaran akibat peningkatan kos operasi hasil daripada keperluan untuk mengupah akauntan profesional bagi memproses perakaunan yang rumit bagi mengendali kredit cukai input dan output.

Kos keseluruhan meningkat kerana GST

Walaupun tanpa pelaksanaan GST, sumbangan dan derma dijangka merosot akibat prospek keadaan ekonomi yang suram, apatah lagi dengan impak GST ke atas ekonomi secara keseluruhannya. Oleh itu, kekangan ini hanya akan menambah sekatan, mewujudkan beban cukai bagi badan amal dan meningkatkan kos kerja amal.

Peruntukan wakil rakyat akan dikurangkan sebanyak 6 peratus kerana GST

Selain daripada semua yang dinyatakan di atas, GST juga memberi kesan terhadap peruntukan tahunan setiap wakil rakyat. Setiap tahun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan peruntukan kepada wakil rakyat bagi manfaat kawasan mereka. Ahli Parlimen, sebagai contoh, diperuntukkan RM200,000 setahun, dengan RM80,000 untuk pelaksanaan projek berskala kecil seperti kerja-kerja infrastruktur kecil manakala baki RM120,000 diperuntukkan kepada pembelian bekalan yang kebanyakannya digunakan untuk membantu badan amal dan NGO yang beroperasi dalam kawasan.

Namun, dengan pengenalan GST, nilai sebenar peruntukan kawasan ini akan dikurangkan. Hal ini kerana sebarang bekalan yang diperoleh atau projek yang dilaksanakan akan dikenakan enam peratus kos tambahan dalam bentuk GST. Sebagai contoh, sekiranya seorang Ahli Parlimen bersetuju menaja bekalan berjumlah RM10,000 bagi aktiviti sebuah NGO dalam kawasan mereka, jumlah yang terpaksa dibayar adalah RM10,600 setelah pembekal mengenakan kos GST.

Gandakan ini kepada skala yang lebih besar dan kita akan mendapati bahawa peruntukan tahunan RM200,000 untuk dana kawasan tidak lagi akan disalurkan sepenuhnya kepada kerja-kerja kawasan kerana RM12,000 daripada jumlah itu akan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk GST.

Dalam erti kata lain, nilai sebenar peruntukan kawasan Ahli Parlimen Pulau Pinang akan dikurangkan daripada RM200,000 kepada RM188,000 sahaja setahun. Lebih banyak untuk Kerajaan Persekutuan, lebih kurang untuk rakyat.

Cadangan penambahbaikan

1) Tangguhkan GST

Memandangkan kesan negatif GST pada badan amal dan pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan, kerajaan perlu segera mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan GST sehingga ekonomi kita menjadi matang dan berpendapatan tinggi dengan struktur pembiayaan kerajaan yang baik untuk NGO dan badan amal.

2) GST dikecualikan pada badan amal yang dikecualikan cukai

Walau bagaimanapun, jika GST akan dilaksanakan juga, maka dicadangkan agar organisasi yang sedang menikmati status pengecualian cukai hendaklah, sebagai satu perkara prinsip, dikecualikan daripada GST.

3) Mewujudkan kategori baru bagi pengecualian GST

Memandangkan kurangnya sokongan kerajaan, badan amal tidak mampu menunggu secara pasif untuk mendapatkan derma. Sebaliknya, kebanyakan mereka akan melakukan aktiviti seperti “perniagaan,” seperit menjual barangan dan perkhidmatan seperti sewa dewan bagi mengumpul dana untuk menampun operasi.

Pada masa yang sama, sesetengah badan amal sebenarnya menggunakan model subsidi silang di mana keuntungan yang diperolehi daripada aktiviti perniagaan digunakan untuk membiayai aktiviti yang kurang menguntungkan. Sebagai contoh, pusat dialisis boleh mengenakan kadar komersial kepada pesakit yang berkemampuan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Walaupun adalah penting untuk kerajaan memastikan tiada pencatutan yang berlaku disebalik kerja amal, badan amal yang tulen mesti dibantu dan tidak haris dibebani. Dalam hal ini, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan beberapa kategori organisasi bukan bermotifkan keuntungan atau badan amal yang dikecualikan daripada GST sama sekali.

4) Meningkatkan nilai ambang untuk badan amal kepada RM2 juta

Pun begitu, jika kerajaan tidak mampu untuk mengecualikan badan amal daripada GST atas apa jua sebab, maka kerajaan perlu meningkatkan nilai ambang bagi badan amal dan bukan bermotifkan keuntungan yang dikecualikan GST kepada sekurang-kurangnya RM2 juta daripada RM500,000 kini.6
Tindakan ini akan membantu untuk melegakan badan amal yang kecil daripada beberapa kesan negatif yang dibincangkan di atas.

5)Kerajaan harus menyokong kerja amal

Daripada mencari jalan untuk mengambil wang daripada badan amal, kerajaan digesa untuk meningkatkan pembiayaan dan sokongan bagi sektor kebajikan bukan bermotifkan keuntungan. Selain itu, kerajaan juga tidak seharusnya menganggap badan amal sebagai perniagaan, khususnya dalam hal ehwal cukai.

Malah di negara maju seperti Australia, di mana terdapat pembiayaan kerajaan yang ketara untuk badan amal dan bukan bermotifkan keuntungan, laporan oleh Australia Institute pada tahun 2000 mendapati bahawa “badan amal akan mengalami impak negatif daripada GST.” Kita hanya boleh membayangkan kesan teruk yang akan berlaku di Malaysia.

————————–

Nota kaki

1. Seksyen 23, Panduan CBP bagi Pertubuhan atau Organisasi Yang Serupa, Kastam Diraja Malaysia. Sebagaimana 18 Disember 2014

2. Seksyen 25, op. cit

3. Seksyen 20 dan 24, op. cit

4. Seksyen 29, op.cit

5. Seksyen 32-35, op.cit

6. Di Singapura, nilai ambang ialah pada kadar SGD1 juta. Lihat
https://www.iras.gov.sg/irashome/page04.aspx?id=1268