Rencana

Kaca mata ras

Kenyataan perkauman seorang menteri baru-baru ini bukanlah perkara luar biasa. Ia mencerminkan realiti politik Malaysia yang berkacamatakan perkauman. Fahaman inilah yang menyusup masuk ke segenap ruang institusi di Malaysia dengan keyakinan itulah the divine right yang perlu dipertahankan.

Persoalan maha besar yang perlu dijawab adakah kacamata politik ini wajar diubah memandangkan sudah 57 tahun kita hidup dalam sebuah kotak pemikiran berasaskan ras. Segala macam dasar bercorak perkauman. Bermula dari sekolah sehinggalah ke sektor swasta, agenda kaum sentiasa dijunjung.

Justeru itu, sudah tiba masanya kita berfikir ke mana harus lanskap politik ini bergerak – mengekalkan politik perkauman bawaan Barisan Nasional atau memulakan langkah baru bersama Pakatan Rakyat? Ya, ini soal partisan. Yang tidak minat kedua-duanya juga harus buat pilihan.

Menghimbau kembali sejarah pra-Merdeka seawal tahun 1947, setelah Malayan Union dihapuskan. Terdapat dua tuntutan yang dikemukakan kepada British: Sebuah lanskap politik berasaskan kaum dan sebuah lagi cadangan yang mahu semua rakyat Malaya dianggap satu. Cadangan kedua ini adalah hasil gerakan berhaluan kiri bernama PUTERA-AMCJA.

Gerakan politik ini merupakan gabungan berbilang kaum terawal di Malaya sebelum penubuhan Perikatan apatah lagi Barisan Nasional. Gerakan ini berjaya menekan British sehingga berjaya mewujudkan Perlembagaan Rakyat sebagai ganti kepada dasar Malayan Union. Malangnya, cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh British dan menerima cadangan UMNO pada masa itu yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948.

British sedar demi kepentingan survivalnya, cadangan UMNO harus diterima kerana bimbang penguasaan ekonominya terjejas dek ideologi kiri PUTERA-AMCJA yang dipercayai mempunyai pengaruh golongan komunis.

Setelah merdeka dan sehingga ke saat ini, Malaysia masih didukung oleh dasar ras. Gabungan Barisan Nasional (yang asalnya untuk mewujudkan perpaduan nasional selepas 13 Mei) masih terperangkap dalam agenda perkauman. Pemimpin mereka hanya akan bercakap soal kaum masing-masing dan dasar negara juga berpihak-pihak mengikut kaum. Politik sebegini bukan sahaja meletihkan malah menguntungkan elit kaum tersebut. Ironinya, di bawah lembayung Barisan Nasional, semangat perkauman semakin menebal.

Seiring dengan perkembangan zaman, pelbagai parti berbilang kaum telah ditubuhkan antaranya DAP (1966), Gerakan (1968), dan PSM (1991). Kesemua parti yang lahir ini berasaskan ideologi yang berhaluan kiri atau cenderung kepada ideologi kiri. Perkembangan ini menarik minat golongan muda dan profesional untuk mendekati walaupun pihak pemerintah sedaya-upaya memburukkan reputasi mereka.

Di pihak kepembangkangan, dilihat Pakatan Rakyat dianggotai tiga parti utama iaitu PKR (1998), DAP dan PAS mula mengatur lanskap yang serupa dengan Barisan Nasional dengan nada yang berbeza. Ketiga-tiga parti ini bersifat berbilang kaum dan agama pada asasnya, kecuali PAS (ahli parti mestilah orang Islam).

Pakatan Rakyat tidak berkacamata kaum, tetapi lebih kepada pendekatan ideologi dalam menilai masalah rakyat. Pelbagai isu rentas kaum dibawakan terutamanya hal ekonomi, pendidikan, percukaian dan tadbir urus yang baik. Dasar digubal berdasarkan jumlah pendapatan, tahap pendidikan dan perbezaan geografi. Hal ini secara langsung membawa sifat kebersamaan dalam melihat masalah rakyat secara holistik.

Hal ini tidak terjadi kepada grand old parties, iaitu UMNO, MCA, dan MIC yang fokusnya lebih kepada dasar kaum. Segala bentuk isu akan dilihat dari kaca mata kaum yang akhirnya nanti diselesaikan melalui dasar berasaskan kaum. Begitulah formula yang diulang-ulang selama ini yang terus diamalkan walaupun akhirnya nanti masalah tidak akan selesai.

Einstein pernah berpesan, “kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang-kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza.” Adakah kegilaan ini harus diteruskan? Jika mahukan perubahan, maka politik perkauman bukan caranya.

Pertembungan politik Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah pertembungan semula dua seteru utama: politik kaum versus politik berbilang kaum yang pernah terjadi 68 tahun yang lepas. Bezanya, dahulu dalangnya adalah British. Kini, dalangnya adalah diri kita sendiri. – Roketkini.com