Budaya

Dewa Berkepala Gajah dan Adiknya

 

Terdapat pelbagai versi mengenai kisah dewa-dewi dalam ajaran Hindu.

Terdapat pelbagai versi mengenai kisah dewa-dewi dalam ajaran Hindu.

Dewa Murugan tidak asing bagi penduduk Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama. Begitu juga dengan Dewa Ganesha yang berkepala gajah.

Dalam mitos dan kisah purana Hindu, Ganesha dan Murugan adik-beradik. Ibu-bapa mereka ialah Dewa Shiva dan Dewi Parvathi @ Shakti.

Maka, bukanlah sesuatu yang aneh atau biadab jika rakan-rakan bukan-Hindu bertanya tentang “keluarga” ini. Tambahan pula, ajaran Sanatana Dharma (Hinduisme) adalah agama yang mengakui keesaan Tuhan.

Saya pernah menulis beberapa makalah sebelum ini untuk menjelaskan kekeliruan dan kecelaruan yang mungkin wujud – termasuk dalam kalangan penganut Hindu sendiri – berhubung soalan “Berapa Tuhan dalam agama Hindu?”

Baru-baru ini, Nadzarul Qhaled dari Semenyih mengirim mesej menerusi Facebook untuk bertanya tentang perbezaan antara Ganesha dan Murugan.

“Pada setiap hari Khamis (kalau tidak silap saya), seorang kawan kaum India akan sembahyang di kuil dekat Jalan Pudu, Kuala Lumpur,” kata pemuda berkenaan yang ternyata tidak menghadapi masalah untuk bergaul dan mengenali rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.

Ahmad Zahiruddin Saruji pula ingin tahu mengenai konsep menyembah berhala dalam kalangan penganut Hindu.

“Apabila menyembah patung (berhala) dewa, adakah penganut Hindu melihat berhala itu sebagai dewa secara zahir atau medium perantaraan yang kosong?” tanya beliau dengan rasa ingin tahu.

Penjelasan mengenai konsep penyembahan berhala juga sudah saya terangkan dalam beberapa makalah yang terkumpul di blog saya.

Kisah kelahiran Ganesha dan Murugan dalam purana

Sebenarnya, saya amat suka apabila ada orang bertanya dan mahu mendapatkan penjelasan berhubung budaya India dan ajaran Hindu. Pertanyaan mereka memberikan peluang untuk menambah ilmu serta berkongsi pengetahuan demi kebaikan.

Tambahan pula, budaya India dan ajaran Hindu memang amat kompleks dan sangat mudah diputar-belit dan disalah tafsir jika tidak ditangani dengan betul. Dalam konteks pelbagai kaum dan agama di Malaysia, pertanyaan seperti yang dikemukakan oleh rakan-rakan adalah amat wajar.

Contohnya berkaitan Ganesha dan Murugan. Soalan yang ditanya adalah amat wajar dan sedikit pun tidak bertujuan memperlekeh ajaran Hindu. Individu yang bertanya tentunya ingin tahu, tetapi tidak pula bermaksud keimanannya terhadap anutannya tergugat.

Murugan mungkin lebih dikenali orang ramai kerana sambutan Thaipusam yang cukup meriah; khususnya di Batu Caves dan Pulau Pinang. Ramai yang beranggapan sambutan itu sebagai tarikh kelahiran Murugan yang juga dikenali dengan nama-nama seperti Subramaniam, Velan, Kanthan, Kumaran dan Saravanan.

Saya menceritakan dalam makalah bertajuk “Tentang Thaipusam” (The Malaysian Insider, 6 Februari 2012) mengenai purana di sebalik sambutan itu. Mengikut cerita, golongan asura yang diketuai Surapadman mahu memerangi golongan dewa di kayangan.

Shiva menggunakan kuasa bagi “mencipta” (melahirkan) Murugan. Parvathi menghadiahkan vel yang digunakan untuk menghapuskan Surapadman. Tarikh penyerahan senjata vel itulah disambut sebagai Thaipusam.

Akan tetapi, harap maklum bahawa kisah-kisah ini adalah daripada purana, iaitu cerita yang direka untuk memudahkan penyampaian ajaran, etika dan dharma berkaitan Sanatana Dharma kepada golongan muda.

Kisah kelahiran Ganesha juga agak menarik. Menurut kisah purana, Ganesha adalah anak sulung kepada pasangan Shiva dan Parvathi. Pada mulanya, Shiva tidak mahu anak.

Kepala anak gajah dipasang pada tubuh kanak-kanak

Parvathi menggunakan daki dan cebisan kulit mati pada tubuhnya, lalu dicampur dengan serbuk kayu cendana untuk “mencipta” seorang anak semasa ketiadaan Shiva.

Mengikut cerita purana yang sering disampaikan kepada kanak-kanak, pada suatu hari, sementara Parvathi sedang mandi, Ganesha diarahkan mengawal pintu hadapan.

Pada masa itu, Shiva pulang dan terkejut melihat seorang kanak-kanak berkawal di depan rumah. Ganesha tidak membenarkan Shiva masuk kerana patuh pada arahan ibunya. Malah, Shiva dan Ganesha tidak saling mengenali.

Dengan penuh marah, Shiva mengeluarkan pancaran api sakti dari mata ketiga yang terdapat pada dahinya. Api itu memancung kepala Ganesha. Kemudian barulah Shiva diberitahu bahawa itu adalah anak Parvathi.

Shiva segera meminta para pengawalnya (gana) supaya membawa kepala mana-mana hidupan (haiwan) yang dijumpai dalam sekian-sekian posisi. Ditakdirkan, seekor anak gajah yang memenuhi kriteria itu.

Kepala anak gajah dibawa dan Shiva menggunakan kuasanya untuk menyambungkan kepala anak gajah kepada tubuh kanak-kanak itu. Sejak itu, Ganesha berkepala gajah. Dia juga dikenali sebagai Ganapati, ketua para pengawal Shiva.

Harus diketahui bahawa segala kisah purana ini bukan “fakta” daripada kitab suci atau wahyu Tuhan. Sebaliknya kisah-kisah yang direka sejak zaman dahulu untuk menyampaikan ajaran Hindu kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun, dalam tradisi Hinduisme, Tuhan boleh disembah dalam bentuk berhala. Penjelasan lanjut boleh dirujuk pada beberapa makalah di blog saya.

Apa yang penting, setiap rupa dewa mempunyai makna simbolik. Ganesha misalnya melambangkan identiti (sifat) Tuhan sebagai penghapus segala rintangan (Vigneshwara) dan pemimpin terunggul (Vinayaka).

Fahami makna simbolik di sebalik kisah purana

Gabungan kepala gajah dan tubuh manusia menjadi simbol bahawa Tuhan adalah pencipta manusia, binatang dan segala hidupan di alam ini. Setiap kali memandang berhala Ganesha, penganut Hindu sepatutnya memahami makna simbolik yang diwakili; bukan sekadar melihat manusia berkepala gajah.

Tali pada tangan bertujuan mengingatkan manusia supaya “mengikat” diri agar fikiran tidak melayang atau lari daripada cita-cita. Ganesha hanya ada satu gading. Ada pelbagai cerita mengenainya. Makna simbolik adalah supaya manusia membuang segala sifat negatif dan hanya menyimpan sifat positif.

Tikus yang ditunggang oleh Ganesha sebenarnya simbol keinginan (desire) manusia. Kalau tidak dikawal dan ditunggang dengan baik, “keinginan” akan membawa manusia ke lembah yang hina dan terpesong daripada etika kehidupan yang sempurna.

Merak yang ditunggang oleh Murugan pula simbol manusia perlu mampu mengawal rasa angkuh dan taksub. Merak jantan yang cantik apabila mengigalkan ekornya menjadi simbol kemegahan dan sikap menunjuk-nunjuk.

Senjata vel yang dipegang pada tangan mempunyai pelbagai makna simbolik. Selain daripada dijadikan senjata untuk menghapuskan kejahatan dan sifat negatif, ia juga simbol ketajaman minda dan intelektual.

Penerangan di sini amat asas dan umum bagi memberikan gambaran awal mengenai Ganesha dan Murugan dalam amalan Hinduisme serta makna simbolik yang dibawakan oleh kedua-duanya.

Apa yang paling penting adalah kesedaran dan pemahaman bahawa setiap dewa itu bukan mewakili Tuhan yang berlainan. Hinduisme iaitu mengakui dan mengiktiraf keesaan Tuhan.

Setiap dewa dan berhala mewakili sifat-sifat yang dimiliki oleh Tuhan. Kajian berkaitan ilmu berhala dan ikonografi boleh membantu meningkatkan pemahaman terhadap hal ini. Jika tidak, kita akan menganggap orang Hindu menyembah banyak Tuhan.

Kita juga perlu faham bahawa purana dan kisah-kisah mengenai dewa-dewi bukan “kisah benar” tetapi mengungkapkan makna tersirat dalam usaha mengajar dharma (kebenaran, truth) secara mudah kepada penganut Hindu, khususnya kanak-kanak.

________________________________________

* Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau juga penulis sepenuh masa.