Rencana

Dasar pendidikan pramatang

Baru-baru ini Tun Dr. Mahathir telah membuat lawak apabila beliau secara sinis mengatakan mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan membawa kembali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tun, digelar Bapa Pemodenan Malaysia, boleh dikatakan berjaya “memodenkan” Malaysia jika dilihat pada pembangunan prasarana dan penubuhan institusi penting seperti Koridor Raya Multimedia (MSC).

Jika mahu dibandingkan mengikut masa sebelum dan selepas pemerintahan Tun Dr. M, agak jelas kelihatan perbezaan rupa Malaysia, terutamanya di kawasan bandaraya dan bandar-bandar lain seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, selain pembukaan kawasan baharu untuk pentadbiran kerajaan persekutuan, iaitu Putrajaya.

Begitu juga dasar PPSMI dilihat mahu membawa pendidikan Sains dan Matematik murid-murid Malaysia agar lebih terkehadapan dan global memandangkan Bahasa Inggeris merupakan lingua franca zaman ini.

Malang sekali, apa yang difikirkan hanya membuatkan pendidikan kelihatan maju berbanding membolehkan murid-murid itu sendiri menjadi maju dalam pendidikan.

Hakikatnya jika di luar bandar ataupun di sekolah yang lebih 90% muridnya terdiri daripada kaum Melayu dan Bumiputera, memang tidak jadi rahsia lagi bahawa hatta di sekolah menengah sekali pun, guru Bahasa Inggeris mengajar bahasa tersebut dengan pengantar bahasa Melayu. Satu lagi rahsia terbuka ialah hal ini memudahkan mereka menguasai kemahiran menjawab soalan peperiksaan awam mereka, bukanlah sangat untuk mereka menguasai bahasa tersebut.

Jika ini halnya, mana majunya pendidikan kita jika kemahiran berbahasa Inggeris ini berbeza mengikut demografi?

Itu baru bahasa. Jika diikutkan lagi, peluang untuk mendapat kelas tambahan untuk memahirkan murid dalam Sains dan Matematik sudah tentulah tidak sama antara murid bandar dengan luar bandar. Ditambah buruk lagi dengan kelemahan mereka dalam penguasaan bahasa Inggeris, bagaimana PPSMI mampu membantu mereka menguasai Sains dan Matematik itu sendiri?

Tidak, bahkan dasar ini amatlah pramatang untuk dilaksanakan memandangkan titik permulaan mereka masih jauh berbeza.

Nasib baik jugalah Perdana Menteri dan kabinetnya bertukar jua akhirnya, maka terlaksanalah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menambah jam kredit Bahasa Inggeris dan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik kembali kepada Bahasa Melayu.

Tidak lama kemudian, berita yang agak baik pula muncul iaitu pelkasanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kepada seua subjek dan tidak kepada ujian lisan bahasa sahaja. Dasar ini menggantikan sistem UPSR dan PMR sedia ada yang kemudiannya Penilaian Tingkatan 3 (PT3) mengambil alih PMR.

Sememangnya dasar ini merupakan dasar yang sangat baik memandangkan setelah sekian lama akhirnya kita memulakan juga langkah untuk keluar daripada belenggu sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan dan pelahan-lahan melakukan pendidikan yang lebih berorientasikan bilik darjah dan guru yang mengajar itu sendiri menjadi perancang pelajaran anak-anak muridnya.

Namun begitu, PBS akhirnya menjadi satu lagi dasar pendidikan pramatang yang telah dilaksanakan kerajaan.

Memang benar dasar ini sepatutnya boleh mepertingkat potensi guru dan murid dalam masing-masing mendidik dan belajar melangkaui keperluan format peperiksaan semata-mata. Tetapi apa yang berlaku tidak sedemikian. Dengan lambakan kerja mengemaskini markah setiap masa, sudah tentulah guru akan kurang masa bersama murid-murid mereka.

Sehingga hari ini masih banyak lagi sekolah yang mempunyai sekitar 40 orang murid sekelas. Kita tidak boleh samakan guru dengan pensyarah kerana guru sememangnya perlu memastikan setiap murid mendapat sentuhan. Malah ini sepatutnya menjadi asas pelaksanaan PBS sendiri memandangkan PBS menekankan aspek penilaian kualiti pendidikan berbanding pencapain peperiksaan semata-mata.

Berdasarkan perangkaan yang dikemukakan oleh kerajaan sendiri, sekurang-kurangnya 29.7% sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) dan 90% daripada sekolah ini kekurangan peruntukan dan dangat daif dari segi prasarana dan ada antaranya menumpang bangunan sekolah lain. Malah menurut laporan ini juga, mempunyai murid daripada pelbagai tahun persekolahan dalam satu bilik darjah (multigrade teaching) merupakan satu norma. Suasana ini tidak menampakkan sesuatu yang bagus untuk kedua-dua pihak guru dan murid jika hal seasas ini masih lagi menjadi isu.

Tidak cukup dengan bebanan kerja guru ini, Sistem Pengurusan PBS (SPPBS), sistem untuk mengemaskini perkembangan pelajar juga kadang-kadang kala bermasalah. Ditambah teruk lagi, kawasan pedalaman juga tidak mempunyai akses internet yang bermutu sebagaimana di luar bandar.

Mengikut laporan indeks kelajuan internet ASEAN, kelajuan purata internet Malaysia hanyalah sekitar 5.5 Mbps di bawah kelajuan purata global 17.7 Mbps yang dimiliki Thailand dan sudah tentulah jauh sekali berbanding jiran di Singapura (61 Mbps). Lebih memalukan, Vietnam pun memiliki internet yang lebih laju daripada kita dengan kelajuan 13.1 Mbps.

Selain masalah kelajuan internet, kecelikan huruf tentang asas ICT dalam kalangan murid sendiri juga rendah. Berdasarkan sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh pasukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, hampir 80% murid di kawasan kajian luar bandar tersebut tidak mempunyai komputer, lebih 50% daripada mereka dilaporkan lemah menggunakannya dan lebih 70% berpeluang menggunakan komputer hanya satu jam sahaja sehari.

Di samping itu, 42.9% dilaporkan tidak mahir menggunakan perisian asas Microsoft Word dan sekitar 60% lemah dalam menggunakan kemudahan seasas e-mel. Dan agak malang apabila dilaporkan kebanyakan daripada mereka hanya berpeluang belajar ICT dengan teratur daripada kawan sendiri sehaja.

Sudahkah pihak yang membuat dasar memikirkan masalah ini dengan sedalam-dalamnya sebelum melaksanakan dasar ini secara menyeluruh? Dasar ini hakikatnya masih pramatang jika dilihat pada peluang mendapat akses pendidikan tambahan, infrastruktur asas, kemahiran guru terlatih dan capaian teknologi yang masih mempunyai jurang yang besar.

Kerajaan seharusnya memikirkan dengan serius sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang akan mengubah suasana pendidikan seperti ini.

Akhir sekali, jika begini keadaannya, tidak ada beza pun MSC dan PPSMI yang dibanggakan Tun. Silih berganti pemimpin pun murid pedalaman dan luar bandar terus tercicir daripada mendapat peluang “pemodenannya” itu.