Rencana

Memahami bacaan politik status Facebook Dr Asri

Saya membaca komentar politik mantan mufti Perlis yang kini kembali jadi mufti, Dr Asri Zainal Abidin, dengan senyum sampai ke telinga. Ramai yang begitu tergesa-gesa menabrak pendapat beliau; saya nasihatkan baca dahulu dua tiga kali sebelum membuat kesimpulan. Tajuk berita sahaja tidak mampu mempermudah mantiq Asri itu.

Mari kita perincikan satu demi satu bacaan politik beliau, supaya kita ketemukan kefahaman yang lebih menyenangkan hati.

Asri memulakan bacaan politik ringkasnya dengan mengingatkan kita bahawa PAS dan Umno sudah terlalu lama berbalah. Bahkan perbalahan PAS dan Umno ini masih lagi tidak selesai, di tengah-tengah rancak perbincangan dan ramalan konAonnya kedua-dua parti politik Melayu ini akan bergabung.

Beliau kemudiannya menggesa usaha ke arah perpaduan Umno-PAS itu disegerakan. Kenapa? ‘Demi kebaikan rakyat negara ini,’ katanya. Di ayat seterusnya, Asri mengenakan ‘caveat’ bahawa kerjasama itu ‘jika’ dengan maksud tolong-menolong ke arah kebaikan, maka ia merupakan suruhan agama.

Kata ‘jika’ di situ turut meletakkan andaian secara ‘mafhum mukhalafah’ bahawa jika sebaliknya ia tidak bermaksud untuk tolong menolong ke arah kebaikan, maka ia ditegah oleh agama. Jadi apa maksud Umno dan PAS mahu bergabung? Adakah demi menyelamatkan Umno yang sudah tiga suku nyawa, atau bagaimana?

Seterusnya Asri memberitahu lagi bahawa ‘PAS telah berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik Umno’. Di sini Asri memberitahu kita bahawa a) Politik Umno ini rosak dan b) PAS telah sangat lama berjuang demi memperbaiki kerosakan Umno. Maka kemudian beliau bertanya, ‘mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan?’

Soalan ini perlu dijawab. Mengapa tidak, dan kalau pun patut, apa pula sebabnya? Adakah kerana PAS sudah puluhan tahu dibuli dan ditipu Umno? Atau adakah kerana PAS dahulu pernah berada di dalam Barisan Nasional dan sudah tahu bahawa usaha memutihkan Umno ini kerja mencangkul angin?

Asri kemudian bertindak menjelaskan ‘kerjasama’ yang dimaksudkannya itu, bagaimana sifatnya. Beliau menegaskan bahawa ‘kerjasama bukan bermaksud menghapuskan identiti’. Identiti siapa yang boleh terhapus? Adakah kedua-dua Umno dan PAS mempunyai identiti berbeza? Adakah yang satunya lebih Islam dari yang lain, atau yang satu lagi lebih Melayu dari yang lainnya?

Seterusnya datang perenggan yang lebih penting, di mana Asri memperjelas sebab-musabab beliau mencadangkan supaya usaha penggabungan Umno-PAS dipercepat.

Asri memberitahu bahawa ‘Impian rakyat untuk melihat persaingan sihat antara kerajaan dan pembangkang akan lebur jika PAS terus berkrisis’. Secara mudah, selagi PAS berbalah, kerja lain tak boleh jalan.

Dan lagi, Asri bermadah, sekiranya rancu dalam PAS ini berlarutan, ada kemungkinan pada PRU ke-14 nanti akan wujud persaingan tiga penjuru sepertimana yang terjadi di beberapa kerusi dahulu yang mengakibatkan Pakatan Rakyat tewas dan BN menang akibat kedegilan beberapa pihak yang meletakkan calon tambahan. Penyudahnya Pakatan Rakyat tewas di beberapa kerusi.

Kita pastinya masih ingat betapa serabutnya keadaan di kerusi DUN Kota Damansara. Tapi benda sudah lepas, lain kali lah kita bincang.

Persaingan tiga penjuru dalam sistem dua parti di mana BN hanya berlawan dengan Pakatan Rakyat bukan sahaja bodoh, malah hampir sahaja pasti memenangkan BN.

Perenggan paling penting dalam bacaan MAZA ini hadir di hujung sekali, apabila beliau menyatakan bahawa ‘ruang untuk persaingan siasah dengan idea-idea baru akan muncul lebih subur dengan pergabungan antara PAS dan Umno.’

Simbiosis PAS dan Umno akan sedikit sebanyak membunuh elemen-elemen yang lebih lemah di kedua-dua parti. Baik dari segi pengaruh, kewangan, jentera kempen, kapasiti intelek dan kapasiti gerak kerja. Golongan yang lebih lemah akan dikalahkan oleh yang lebih kuat, ini sebahagian hukum alam. Jika geng ulama’ lebih kuat maka habislah semua yang kurang berilmu dalam Umno. Begitu juga sebaliknya jika geng rasuah lebih kuat, maka habislah kalangan yang suci dalam PAS.

Asri menambah lagi bahawa ‘di pihak pembangkang akan membuka ruang kepada platform baru politik menggantikan tempat PAS.’ Ini menarik sekali. Siapakah yang akan menggantikan PAS di dalam Pakatan? Adakah PAS akan berpecah sebelum berpisah, dan serpihan ini akan bergabung dengan anasir-anasir lain membentuk sebuah parti baru yang lebih selesa dengan rakan-rakan dalam Pakatan? Ini persoalan yang amat menarik untuk dibincangkan.

Tidak cukup di situ, Asri berkata lagi bahawa ‘banyak common ground antara PAS dan UMNO selama ini, terutama di sudut aliran kefahaman Islam kedua parti itu. Hanya bahasa yang berbeza.’ Ya, seperti ayam dan itik barangkali. Kedua-duanya berbicara tentang mahu terbang dengan sayap yang ada; namun keduanya tidak faham apa-apa. Mungkin begitulah.

Lebih menarik lagi, Asri meramalkan bahawa golongan Muslim yang lebih progresif mungkin akan mempunyai ruang baru dengan ‘hilangnya bayangan Islam PAS yang selama ini dilihat pelbagai versi.’ Ah sudah, ini apa pula? Adakah Asri cuba membayangkan bahawa Islam yang dibawa PAS selama ini begitu memeningkan kepala dan sekadar bayang-bayang?

Akhir sekali Asri menyimpulkan bahawa rakyatlah yang akhirnya menjadi hakim penimbang-tara menilai sejauh mana kedua-dua PAS dan Umno benar-benar jujur setelah mereka bergabung.

Kesimpulan akhir ini menunjukkan bahawa Asri sebenarnya seorang demokrat yang menyerahkan kuasa politik dan pemberian mandat sebenar kembali kepada rakyat.

DAP sebagai sebuah parti demokrat barangkali parti paling sesuai untuk Asri sekiranya beliau berminat menyertai pergulatan politik secara langsung, bukan sekadar mengulas. Namun Asri barangkali perlu jelas perbezaan antara agama dan budaya terlebih dahulu.