Rencana

Diskaun 5% rumah kos rendah P.Pinang: Serbu tembok tak pakai helmet

anakmamidiperantauanSebagai anak mami Pulau Pinang yang berada di perantauan, kita mungkin akan rasa nak tepuk dahi bila melihat sebaran di Whatsapp menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya bertindak jahat menafikan diskaun 5% untuk Bumiputera bagi memiliki rumah kos rendah.

Isu picisan ini bermula apabila ada pemuda Umno yang dok buat serupa tau, Rafizal Abd Rahim namanya, mendesak penjelasan daripada kerajaan negeri terhadap apa yang dirasakannya mencarik hak-hak istimewa orang Melayu Bumiputera.

Kita yang kaki hangguk ni pun beriya-iya mengangkat Rafizal dan menyebarkan gambar surat berkepala alamat Setiausaha Kerajaan Negeri itu sambil mencerca kerajaan yang dipimpin DAP tersebut, sambil memaki hamun ‘Cina tak sedar diri’ yang suka ‘makan babi’ dan menindas orang Melayu sampai kita tak ada tempat tinggal.

Kita pun kadang-kala bengap juga, hanya tahu sebar berita tanpa usul periksa.

Semalam Exco Kerajaan Negeri Jagdeep Singh Deo memberitahu media bahawa dasar untuk tidak memberi diskaun 5% Bumiputera ini merupakan dasar kerajaan pusat.

Mana Rafizal nak letak muka?

“Ini juga dilaksanakan di semua negeri selama ini, dan ia dasar kerajaan pusat,” kata Jagdeep. Exco kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Rafizal ni siapa? Pembangkang di kerajaan Pulau Pinang. Apa la yang dia tau?

Dia tau serbu tembok tak pakai helmet. Kita orang Pulau Pinang kena tau bahawa kerja serbu tembok tak pakai helmet ni kerja merugikan diri. Kita sering diingatkan supaya memakai helmet sebelum ‘menyerbu tembok’.

Kontroversi mengenai diskaun Bumiputera ini bukan perkara rumit. Yang membuat perkara jadi rumit ialah golongan tak ada kerja di Pulau Pinang yang sengaja mencari salah tanpa merisik.

Kita sendiri boleh faham bahawa rumah kos rendah, sederhana rendah, dan mampu milik adalah rumah yang hadir daripada dasar kerajaan untuk menyediakan tempat tinggal bagi golongan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah pada harga biasa.

Ini bermakna rumah kos rendah semua ini sudah sedia ditanggung sebahagian perbelanjaannya oleh kerajaan. Ini rumah yang sudah sedia disubsidi. Dah bagi subsidi pun mahu diskaun lagi?

Macam beli rokok seludup lah, cukai tak perlu bayar, mahu diskaun lagi?

“Mamak rokok seludup satu,”
“Tiga ringgit,”
“Eh mana boleh, saya Melayu. Dua ringgit lah.”

Mana ada macam tu.

Bila tak mampu beli rumah, kerajaan beri subsidi supaya harga rumah lebih rendah. Sudah diberi subsidi mendesak pula supaya diberi diskaun, kerana katanya itu hak dia sebagai anak jati yang lahir di bumi ini dan berhak mendapat keistimewaan. Amboi.

Padahal bila sudah dapat rumah kos rendah nanti, dia sewakan pula kepada orang, warga asing selalunya, pada nilai sewaan yang boleh tahan tinggi; supaya dia boleh beli kereta besar. Macam lah perangai ini kita tidak pernah nampak.

Mentaliti diskaun dalam jiwa orang Melayu Pulau Pinang mesti kita perbaiki. Kita seringkali cemburu melihat kaum lain kaya-raya dan rajin berusaha. Mereka tidak pun kemaruk mengharap diskaun untuk membeli rumah. Malah kalau mereka tahu rumah harganya mahal, mereka usahakan supaya mampu untuk membeli rumah idaman. Bukan duduk nganga minta disuap diskaun.

Tapi kalau dah kemaruk mahu diskaun sangat, beli lah rumah biasa. Jangan beli rumah kos rendah. Rumah biasa ada diskaun 5%. Hak Melayu-Bumiputera. Kerajaan Pulau Pinang tak kacau. – Roketkini.com