Berita

Wilayah Iskandar: Warga asing diberi keutamaan, rakyat sendiri semakin merana

JOHOR BAHRU, 26 FEB: DAP Johor hari ini mendesak kerajaan negeri untuk memastikan rumah mampu milik berhampiran lokasi perdana diberi keutamaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya warga asing seperti yang berlaku sekarang dalam projek Wilayah Iskandar.

Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi berkata, berdasarkan perkembangan terkini, rakyat Malaysia terutama golongan muda nampaknya langsung tidak mendapat sebarang manfaat daripada projek Wilayah Iskandar kerana pemaju hanya membina rumah mewah kepada warga asing di tempat itu.

Menurutnya, keadaan di Wilayah Iskandar ternyata amat membimbangkan dan ia disahkan dalam jawapan sidang DUN lalu oleh kerajaan negeri bahawa sebanyak 7,830 unit hartanah dibeli warga asing dalam tahun 2014 berbanding 6,824 unit tahun sebelumnya.

“Warga Singapura masih merupakan negara tertinggi dalam kalangan pembeli hartanah, iaitu 4,314 unit.

“Statistik paling mengejutkan adalah peningkatan bilangan hartanah yang diperoleh warga Republik China iaitu sebanyak 477 peratus daripada 436 unit tahun 2013 kepada 2,078 unit tahun 2014.

“Dengan perkembangan sebegini, anak muda Malaysia terus hilang peluang mendapat tempat tinggal dalam Wilayah Iskandar kerana pemaju swasta hanya membina rumah mewah untuk warga asing.

“Isu peminggiran dalam pembangunan pesat Wilayah Iskandar ini cukup besar dan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia yang tinggal di Johor Bahru tanpa mengira kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

ADUN Senai itu menegaskan lagi, bilangan rumah yang dibina untuk warga asing jelas lebih banyak berbanding rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia berpendapatan sederhana dan rendah.

“Jawapan yang diterima dalam sidang DUN Jun tahun lalu menyatakan bahawa kerajaan hanya membina 2,150 unit rumah mampu seluruh negeri dari Mei 2014 hingga Mei tahun ini.

“Bagi pembinaan jangka masa sederhana, rumah mampu milik yang sedang dalam pembinaan untuk tempoh 2013 hingga 2016 hanyalah sebanyak 11,600 unit saja walaupun pemaju telah menjual sebanyak 21,797 unit rumah kepada warga asing (2009 hingga 2014),” tegas Shu Qi.