Berita

DAP bantah cadangan kerajaan asingkan fungsi klinik dan farmasi

KAMPAR, 27 FEB: DAP hari ini membantah keras cadangan kerajaan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi yang berkemungkinan dilaksanakan bulan April nanti.

Ahli Parlimen Kampar Dr Ko Chung Sen berkata, cadangan pemisahan tersebut langsung tidak akan memberi kesenangan kepada pesakit malah lebih membebankan rakyat dari segi kos yang bakal mereka tanggung.

Menurutnya, tanggapan bahawa tindakan itu boleh menurunkan harga ubat dan dapat memberikan lebih banyak akses ubat-ubatan sama sekali tidak tepat.

“Harga ubat di negara ini adalah tidak tetap dan tidak dikawal.

“Ini terbukti apabila harga ubat amat jauh berbeza di setiap farmasi dan sekalipun harganya lebih murah berbanding klinik tapi pesakit akhirnya terpaksa membayar caj lebih untuk memasukkan perundingan doktor termasuk kos perjalanan berasingan ke farmasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan baru-baru ini telah bercadang untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi atau pengasingan dispensari.

Pengasingan ini akan menyebabkan orang ramai yang berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta selepas ini tidak boleh lagi mendapatkan ubat di klinik berkenaan sebaliknya perlu membeli ubat di farmasi-farmasi luar.

Perkara itu akan berlaku sekiranya pindaan terhadap Dasar Ubat Negara (DUNAS) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan Mac ini diluluskan.

Cadangan tidak masuk akal kerajaan itu turut mendapat bantahan dari Kelab Doktor-Doktor Malaysia yang dinaungi lebih 8,000 doktor klinik swasta pada 20 Februari lalu dan mereka kini dalam proses menghantar petisyen meminta kerajaan membatalkan pelaksanaannya.

Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia Dr Muhammad Hakim Nordin menegaskan, pengasingan itu mendatangkan lebih banyak keburukan terhadap industri kesihatan dan perubatan seperti mewujudkan persaingan sesama sendiri antara klinik dan farmasi semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Ko yang juga pakar bedah jantung menegaskan, cara paling berkesan adalah mengekalkan hak pemberian ubat kepada klinik dan doktor.

Katanya sebagai contoh, walaupun Malaysia memiliki ribuan klinik yang beroperasi 24 jam sehari namun hampir mustahil untuk mencari farmasi yang dibuka selepas tengah malam.

Jelasnya, di Australia dan United Kingdom, beribu-ribu doktor dibenarkan untuk mengenalpasti punca penyakit dan memberikan ubat kepada berjuta-juta pesakit di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Malah di Amerika Syarikat, pemberian ubat secara terus di klinik telah memberikan pelbagai faedah seperti meningkatkan kepatuhan pesakit dan rawatan penyakit mereka juga adalah 60 hingga 70 peratus lebih baik.

“Hak pemberian ubat kepada doktor turut dapat menghalang risiko kesilapan dari tulisan yang tidak boleh dibaca, ini boleh mengurangkan kos ketidakpatuhan dan kesalahan ubat sebanyak 50 peratus.

“Kelambatan mendapatkan preskripsi atau langsung tidak mengambil ubat juga boleh menyebabkan komplikasi maut seperti serangan jantung, angin ahmar dan jangkitan yang teruk,” ujarnya. -Roketkini.com