Berita

DAP nasihat Idris Jusoh berhenti perbodohkan rakyat dan diri sendiri

KUALA LUMPUR, 27 FEB: DAP hari ini menasihatkan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh agar berhenti memperbodohkan diri dan rakyat dengan terus mendakwa kononnya sistem pengajian tinggi Malaysia adalah bertaraf dunia.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, kenyataan terbaru Idris yang merujuk kepada laporan Unesco 2014 bertajuk ‘Higher Education in Asia: Expanding Out, Expanding Up’ baru-baru ini langsung tidak membuktikan apa-apa.

“Dengan melaungkan beberapa kejayaan yang dipilih dan mengabaikan kelemahan asas sistem pendidikan secara keseluruhan, Idris berkemungkinan memperbodohkan dirinya sendiri dan lebih teruk lagi mahu mengheret rakyat bersamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zairil, laporan Unesco jelas menyatakan bahawa kehadiran ramai pelajar asing ke Malaysia adalah atas faktor budaya, kos, nilai untuk wang, bahasa pengantar serta tahap kehidupan dan ia langsung tidak menguatkan dakwaan bahawa pendidikan negara bermutu tinggi.

“Memang laporan Unesco menyebut negara kita adalah destinasi popular pendidikan tinggi namun ia juga mendedahkan bahawa populariti itu hanya berdasarkan faktor-faktor praktikal seperti kemampuan dan keselesaan.

“Macam mana faktor ini boleh memberi makna pendidikan kita bertaraf dunia?” soalnya.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menyatakan kehadiran ramai pelajar asing di Malaysia memang boleh dianggap satu pencapaian.

Tapi katanya, ia hanya pencapaian dari sudut strategi pemasaran kerana jumlah kuantiti bukanlah kayu ukur kepada kualiti.

“Kehadiran ramai pelajar asing adalah lebih kepada pencapaian bagi fungsi strategi pemasaran yang berjaya meneroka pasaran baru dan bukannya fungsi mutu sistem pengajian tinggi.

“Sekali lagi, kuantiti tidak sama dengan kualiti,” ujarnya.

Tegas Zairil, penghijrahan keluar ramai ahli akademik akibat kekurangan kebebasan di Malaysia juga merupakan bukti kukuh betapa tahap pendidikan negara masih tidak ke mana.

Sebagai contoh katanya, ahli akademik terbaik negara seperti KS Jomo, Syed Farid Alatas, Wang Gung Wu, Johan Saravanamuttu dan Azly Rahman telah meninggalkan negara untuk berkhidmat di institusi luar negara.

“Sementara ahli akademik yang masih berada dalam negara seperti Aziz Bari, Azmi Sharom, dan Kassim Ahmad sentiasa mendapat ugutan dari kerajaan dalam bentuk Akta Hasutan dan undang-undang zalim lainnya.

“Jika benar sistem pengajian tinggi kita bertaraf dunia, mengapa kita telah hilang begitu banyak ahli akademik yang hebat?” soalnya lagi. -Roketkini.com