Berita

Pelaksanaan GST: Penjaja dan peniaga kecil akan terjejas teruk

KUALA LUMPUR, 27 FEB: DAP menyelar dakwaan mengarut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan kononnya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dapat mengurangkan kadar ekonomi terselindung (black economy) kepada 10 peratus berbanding 30 peratus sekarang ini.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, dakwaan itu bukan saja mengarut malah ia jelas menunjukkan bahawa Ahmad Maslan sebenarnya langsung tidak memahami apa yang telah disebut oleh Bank Dunia selama ini.

“Ekonomi terselindung adalah perkara lain melibatkan perniagaan dan urusniaga yang menyalahi undang-undang.

“Jika 30 peratus daripada urusniaga di Malaysia adalah menyalahi undang-undang seperti yang didakwa beliau, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem perundangan negara.

“Bagaimana pihak berkuasa boleh tidak melakukan sebarang tindakan jika semua urusniaga ini adalah menyalahi undang-undang?” soalnya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Maslan dilaporkan mendakwa pelaksanaan GST bermula 1 April nanti akan dapat mengurangkan kadar ekonomi terselindung negara kepada 10 peratus.

Sebab itu katanya, beliau tidak memahami mengapa pembangkang tidak menyokong GST sebaliknya memberi sokongan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau turut menuduh tindakan pihak pembangkang sebagai melindungi ekonomi terselindung iaitu mempertahankan individu yang lari dan menipu cukai.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menegaskan, apa yang dimaksudkan Bank Dunia dalam laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ adalah ekonomi tidak formal dan bukannya ekonomi terselindung.

Kata Chin Tong, di Malaysia terdapat jumlah besar rakyat yang bekerja dalam sektor tidak formal dan ia merujuk kepada penjaja, peniaga kecil, pekerja kasual serta jenis-jenis lainnya yang tidak dikenakan cukai.

Jelasnya, kebanyakan rakyat memilih sektor tidak formal ini atas beberapa faktor seperti kekurangan akses modal, peluang, pendidikan dan kemahiran serta ada di antara mereka yang melakukannya berikutan bayaran pekerjaan utama mereka yang tidak mencukupi.

“Apabila gaji rendah, mereka ini akhirnya menceburi bidang keusahawanan atau membuka gerai burger yang tidak memberikan hasil yang banyak di samping terpaksa berdepan kenaikan kos dan bersaing dengan peniaga besar lain.

“Jadi, sektor tidak formal merupakan kumpulan yang akan terjejas teruk dengan pelaksanaan GST kerana tertakluk kepada cukai dan kenaikan kos yang boleh menyebabkan keuntungan mereka yang tidak seberapa turut dipotong,” tegas Chin Tong. -Roketkini.com