Rencana

Hancur Pakatan Rakyat, Umno terus memerintah

Kemungkinan berpecahnya Pakatan Rakyat akan bermaksud bahawa Umno boleh meneruskan pemerintahan 60 tahunnya tanpa sebarang cabaran daripada pengganti mahupun alternatif yang kredibel. Umno telah memerintah negara sejak Pilihanraya Persekutuan yang pertama pada 27 Julai 1955.

Pilihanraya pada tahun 2008 dan 2013 jelas menunjukkan bahawa Malaysia kini berhadapan pertandingan 50-50 antara dua koalisi, dari segi pilihanraya. Pun begitu parti koalisi pemerintah yang diketuai Umno masih mencuba dengan gigih untuk memutar kembali waktu ke zaman ia merupakan satu-satunya pemegang kuasa.

Untuk memutar kembali sejarah, persempadanan semula kawasan pilihanraya menduduki tangga tertinggi dalam agenda pimpin Umno dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya. Pindaan berperlembagaan diperlukan dengan persetujuan dua pertiga parlimen bagi membolehkan pertambahan bilangan kerusi parlimen. Tetapi Barisan Nasional hanya mempunyai 134 kerusi, kurang 14 kerusi sahaja daripada cukup dua pertiga.

Jadi bagaimana Umno boleh melakukan ini?

Perpecahan Pakatan Rakyat dengan PAS bekerjasama dengan Umno, atau perpecahan PAS dengan kumpulan Unity Government (UG) berpakat dengan Umno akan memberi Barisan Nasional angka yang mencukupi di parlimen untuk mengubah sempadan pilihanraya dan menambah bilangan kerusi demi memihaknya pada pilihanraya akan datang.

Bekas jari-jemari Umno boleh dikesan di merata-rata tempat dalam usaha bawah tanahnya untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat melalui beberapa cara, iaitu:

– Memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
– Perbincangan hudud oleh Kerajaan Persekutuan dan juga Umno dengan anasir-anasir UG dalam PAS, dan
– Peningkatan secara keseluruhan ketegangan antara kaum yang disuburkan lagi oleh menteri seperti Ismail Sabri dan saluran media yang dikawal oleh Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3.

Pemenjaraan Anwar Ibrahim bertujuan menghilangkan calon Perdana Menteri alternatif daripada Pakatan.

Perbincangan hudud oleh Umno bertujuan memecahkan sama ada Pakatan Rakyat atau PAS dari dalam. Semua orang tahu bahawa Umno tidak mahu pun melaksanakan hudud; kenapa pula ia begitu teruja menggesa PAS ke arah melaksanakan hudud?

Perpecahan Pakatan atau PAS bermakna Umno lah yang akan mendapat untung daripada mereka yang mesra dengan Umno melalui projek UG, terutamanya dalam soal persempadanan kerusi.

Dan bertambahnya perseteruan antara kaum bertujuan memperlihatkan Umno sebagai wira dan penyelamat Melayu, dengan harapan Umno tidak akan tewas dalam pilihanraya akan datang.

Dengan memahami dinamika ini, kita akan lebih mudah membaca senario semasa. – Roketkini.com

Petikan daripada ucapan mengenai senario politik semasa oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, yang disampaikan pada 27 Februari 2015 dalam mesyuarat tertutup bersama para diplomat.