Berita

“Jangan heboh perpaduan Melayu, bayar RM12 bilion royalti minyak Kelantan dulu”

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Seruan UMNO ke arah perpaduan adalah muslihat terdesak untuk memanjangkan hayat politik dan ia langsung tidak membantu masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

“Jika UMNO benar-benar percaya kepada perpaduan Melayu, mengapa mereka tidak membuktikan keikhlasan dengan membayar hutang RM12 bilion royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri Kelantan?” kata Zairil.

Zairil berkata demikian merujuk tuduhan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan terhadap DAP dalam laman Twitternya baru-baru ini.

Rahman menyerang Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berikutan kenyataannya bahawa amat menyedihkan selepas 58 tahun Merdeka dan enam tahun pelancaran dasar 1Malaysia, Najib lebih bercakap tentang perpaduan umat Islam, bukannya perpaduan Malaysia.

Rahman mendakwa Kit Siang sepatutnya lebih bimbang tentang peningkatan chauvinisme dan egoisme dalam DAP kerana lebih merosakkan serta merbahaya dari perpaduan Melayu.

Katanya lagi, perbalahan Pakatan Rakyat sekarang ini juga adalah berpunca dari chauvinisme dan egoisme DAP.

Ujar Zairil, UMNO sebenarnya bermuka-muka dan hanya melakukan sesuatu perkara untuk menyelamatkan nyawa mereka saja.

Sebagai contoh sokongan secara tiba-tiba UMNO terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.

Sedangkan UMNO sendiri sebelum sering menyebut hudud adalah tidak mengikut undang-undang perlembagaan dan tidak sesuai di Malaysia.

“Kepimpinan lemah Najib dan populariti yang merosot kebelakangan ini menyaksikan UMNO tiba-tiba beralih untuk menyokong hudud.

“Sekali lagi, keikhlasan UMNO dalam isu ini adalah dipersoalkan. Kalau betul sokong hudud kenapa ia tidak dilaksana di negeri-negeri yang mereka kuasai?” soalnya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menyatakan, terbukti kini melalui kaum dan agama UMNO sanggup melacurkan dirinya untuk kepentingan politik sempit.

“Dalam hal ini, keputusan UMNO untuk tidak mengambil bahagian dalam Pilihanraya Kecil Chempaka atas alasan mahu menyelamatkan perpaduan umat Islam adalah hanya alasan bagi menyembunyikan hakikat bahawa mereka mungkin akan kehilangan deposit.

“Ini bukan kali pertama UMNO tidak mengambil bahagian. Terbaru di Bukit Gelugor tahun lalu.

“Adakah ini juga demi perpaduan?” sindir Zairil. – Roketkini.com