Berita

Kerajaan BN Johor utamakan warga asing dari rakyat sendiri

JOHOR BAHRU, 28 FEB: Pembangunan di Johor Bahru yang lebih mengutamakan warga asing memberi kesan kepada penduduk tempatan, kata Pengerusi DAP Negeri Liew Chin Tong.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan dibangkitkan Ahli Parlimen BN Pasir Gudang Normala Abdul Samad dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Kassim Tukiman baru-baru ini yang mendakwa masyarakat Melayu kini terjejas teruk akibat pembangunan di Johor Bahru.

“Isu kesempitan hidup dan ketidakmampuan dalam pemilikan hartanah bukan sekadar melanda masyarakat Melayu tapi turut menimpa penduduk Johor dan Malaysia dari pelbagai kaum.

“Isu pokok yang sebenar ialah nasib rakyat Malaysia keseluruhannya telah dianaktirikan oleh warga asing yang mengaut keuntungan hasil dari spekulasi nilai hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua mereka juga menyatakan pembangunan jelas sama sekali tidak memberi sebarang manfaat kepada penduduk Melayu tapi lebih mengutamakan warga asing.

Chin Tong turut menyelar tindakan kerajaan negeri yang hanya menumpukan pembangunan kepada spekulasi hartanah semata-mata.

Tegasnya, pembangunan yang ingin dijalankan mestilah turut mengambil kira aspek keseimbangan mengikut sektor-sektor lain seperti pembuatan, pertanian, pelancongan dan sebagainya.

“DAP berpendapat, pembangunan negeri ini mestilah tidak sekadar tertumpu di Johor Bahru dan Wilayah Iskandar saja.

“Sebaliknya ia mestilah diperluaskan ke wilayah Johor Tengah dan Johor Utara agar manfaatnya dapat dinikmati oleh keseluruhan rakyat serta bukan sekadar warga Johor Selatan saja atau kroni-kroni yang berkepentingan,” ujarnya. – Roketkini.com