Berita

Apakah Najib terus bertahan selepas pertemuan dengan pemimpin bahagian Umno?

GELANG PATAH, 1 MAC: Tumpuan negara kini melihat sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mampu bertahan selepas mesyuarat pemimpin bahagian UMNO yang dijadualkan 8 Mac depan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pertemuan Najib dengan ketua-ketua bahagian itu mengundang persoalan, lebih-lebih lagi dalam keadaan Perdana Menteri keenam itu diasak pelbagai isu.

“Ini luar biasa, kerana mesyuarat UMNO Bahagian 8 Mac itu dipanggil untuk menunjukkan perpaduan dan sokongan kepada Najib, dan bukannya untuk mengenepikan beliau.

“Kenapa ada perubahan iklim dan fokus politik secara tiba-tiba di dalam UMNO?

“(Apakah) ini adalah gambaran suasana yang ‘bergelora; di dalam UMNO? kata Kit Siang dalam ucapannya sempena sambutan Tahun Baru Cina di Gelang Patah semalam.

Tambah Kit Siang, wujud tekanan hebat keatas Najib untuk meletakkan jawatan, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyatakan bahawa ‘jika saya PM sekarang, saya akan meletakkan jawatan’.

Namun Najib dilihat mengabaikan tekanan tersebut, meskipun kenyataannya berlaku percanggahan besar keatasnya yang dilihat sebagai salah seorang daripada Perdana Menteri terlemah di Malaysia, namun dalam masa sama Sebagai Presiden UMNO terkuat.

“Kelemahan Najib jelas berdasarkan fakta bahawa semua inisiatif dasar utamanya gagal, sama ada dasar 1Malaysia, Program Transformasi Negara atau Pergerakan Kesederhanaan Global.

“Tetapi dia (Najib) agak kebal dengan kedudukannya dalam UMNO , dan tidak ada cara boleh ditumbangkan kecuali Presiden UMNO itu digugurkan,” ujar Kit Siang.

Justeru itu kata Kit Siang, tidak mustahil strategi UMNO yang kini berdepan masalah dalaman mengalihkan tumpuan yang berpunca dari kelemahan pentadbiran Najib kepada rancangan untuk menjejaskan kestabilan dan memecahkan kesepaduan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Ia termasuk ‘umpan palsu’ kerajaan perpaduan antara UMNO dengan PAS, cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan selain tidak menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Chempaka di Kelantan selepas kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Semua parti-parti Pakatan Rakyat mesti keluar dari plot UMNO untuk menjejaskan kestabilan, membina jurang dan menghancurkan Pakatan Rakyat.

“(Ini hanya taktik dan strategi untuk menyelamatkan Najib dan UMNO, bukannya demi kepentingan negara,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com