Rencana

Pilihanraya kerajaan tempatan dan kuasa lebih besar untuk negeri

Lima puluh tahun lalu, pada 1 Mac 1965, kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah menggantung semua pilihanraya kerajaan tempatan untuk “sementara” sebagai sebahagian daripada respons terhadap Konfrontasi yang dilancarkan oleh kerajaan Indonesia di bawah Sukarno. Tunku juga telah berjanji untuk mengembalikan pilihanraya berkenaan setelah ketegangan dengan negara jiran itu berakhir.

Namun, langkah yang sepatutnya hanya sementara itu menjadi kekal kerana sepanjang lima puluh tahun lalu tiada tanda-tanda pilihanraya kerajaan tempatan (PKT) akan kembali diadakan.

PKT penting walaupun ia bukan satu-satunya penyelesaian bagi semua masalah yang sedang dihadapi negara Malaysia.

Meski pun begitu, pendemokrasian di peringkat tempatan terbukti menjadi pendorong kepada peningkatan mutu kehidupan di banyak negara yang baru menempuh demokrasi sepanjang tiga dekad yang lalu, khususnya di Korea Selatan, Taiwan dan Indonesia.

Malaysia kini terperangkap keadaan di mana sebarang perbincangan tentang pembaharuan yang benar-benar ‘berisi’ sering dibingkaikan secara salah menurut kerangka perkauman. Nasib yang sama juga menimpa perbincangan tentang PKT. Padahal sepatutnya tidak begitu.

Untuk mendorong Malaysia maju, kita perlu menilai semula kerangka kelembagaan yang menjadi ruang bergerak kita. Keutamaan paling atas ialah untuk membentuk dan memantapkan lembaga-lembaga demokratik yang berintegriti dan bebas korupsi.

Selain itu, kita perlu berusaha untuk:
Menyahpusatkan kuasa dari Kerajaan Persekutuan kepada Negeri
Mengukuhkan kerajaan Negeri
Menjadikan kerajaan tempatan lebih bertanggungjawab kepada pengundi menerusi pilihanraya.

Mungkin kita tidak perlu menetapkan sebarang jadual waktu, namun sekarang masanya untuk rakyat Malaysia mula berbincang tentang jenis-jenis lembaga yang perlu diwujudkan untuk membentuk masyarakat yang lebih baik.

Saya pasti demokrasi di peringkat tempatan adalah salah satu daripada perkara yang perlu dibincangkan. Kita akan dapat melihat manfaat PKT bagi Malaysia selagi kita tidak menggunakan kerangka perkauman. Saya harap kita tidak perlu menunggu selama lima puluh tahun lagi untuk memulihkan keadaan. – Roketkini.com