Berita

“PAC perlu siasat 1MDB, termasuk juruauditnya”

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Pakatan Rakyat menyokong kenyataan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk memanggil 1MDB dan juruauditnya bagi menyiasat semua perkara berkaitan syarikat.

Dalam satu kenyataan, Pakatan Rakyat memandang serius pendedahan Sarawak Report yang mendapat salinan dokumen membuktikan terdapat urusaniaga mencurigakan dalam Projek Usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International di mana sekurang-kurangnya USD700 juta telah diselewengkan kepada syarikat berkaitan dengan Jho Low.

“PAC seharusnya memanggil segera Shahrol Halmi, bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Presiden 1MDB yang baru dilantik, syarikat audit 1MDB – KPMG dan Deloitte Malaysia dan pegawai Kementerian Kewangan untuk suatu pendengaran.

“Segala dokumen dan email berkaitan perlu dibawa dalam pendengaran awam berkenaan. Ini perlu dilakukan segera sebelum semua bahan bukti dimusnahkan,” kenyataan tersebut dipetik.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Dr Tan Seng Giaw (DAP – Kepong), Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR – Telok Kemang), Datuk Kamarudin Jaffar (PAS – Tumpat), William Leong Jee Keen (PKR – Selayang) dan Tony Pua Kiam Wee (DAP – Petaling Jaya Utara).

Sarawak Report menerbitkan laporannya semalam bertajuk “Heist Of The Century – How Jho Low Used PetroSaudi As A Front to Siphon Billions Out Of 1MDB!” (Rompakan Terbesar Abad Ini – Bagaimana Jho Low guna PetroSaudi sebagai muslihat untuk larikan berbilion ringgit daripada 1MDB!)

Laporan itu mendedahkan pelbagai dokumen, termasuk emel komunikasi antara semua yang terlibat dengan transaksi pelaburan 1 bilion dolar Amerika (RM 3.5 bilion) kepada 1MDB Petrosaudi.

Antara penemuan mengejutkan adalah dokumen-dokumen dan emel menunjukkan adanya hubungan antara Petrosaudi dan Jho Low, menimbulkan tanda tanya terhadap wang USD1 bilion dolar yang dilarikan dari 1MDB ke bank di Switzerland dimiliki oleh taikun Jho Low menerusi syarikat di bawah kawalannya Good Star Limited.

Akhbar UK The Sunday Times dan Sarawak Report sebelum ini melaporkan, Low didakwa melarikan AS$700 juta daripada 1MDB menggunakan PetroSaudi sebagai ‘topeng’ untuk berurusan dengan dana milik kerajaan itu .

Wang AS$700 juta itu merupakan pinjaman yang akan dibayar balik oleh 1MDB kepada syarikat induk PetroSaudi itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian usaha sama.

Tetapi, wang itu dipindahkan ke akaun milik Good Star Limited, yang dikawal oleh Low, menurut Sarawak Report dalam satu laporan di laman webnya yang turut melampirkan dokuman dan e-mel sebagai bukti dakwaannya. – Roketkini.com