Berita

Harta Najib dan Rosmah: Kalau bukan warisan keluarga, dari mana datangnya?

PETALING JAYA, 3 FEB: Sokongan Najib terhadap kenyataan adik-beradiknya yang menafikan harta yang dimilikinya adalah dari warisan keluarga menimbulkan persoalan dari mana datangnya kekayaan itu, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri mengatakan wang yang dibelanjakan oleh isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor datang daripada harta warisan keluarga Perdana Menteri itu. Namun, nampaknya Najib tidak bersetuju dengan kenyataan dari pejabatnya sendiri.

“Najib kata dia sokong kenyataan empat adik-adiknya (Datuk Johari, Datuk Nizam, Datuk Nazim dan Datuk Seri Nazir), sekaligus (menunjukkan) dia menolak kenyataan dari pejabatnya sendiri.

“Namun, penafian Najib bahawa kekayaannya berpunca dari aset warisan keluarga telah menimbulkan persoalan utama yang awal-awal lagi sudah dipertanyakan, iaitu dari mana datangnya wang itu?” soal Tony.

Februari lalu, laporan New York Times (NYT) mengatakan perbelanjaan mewah Rosmah Mansor telah membuatkan keluarga Perdana Menteri itu menjadi tajuk utama media tempatan, bahkan juga media antarabangsa.

Isu beg tangan berjenama Birkin yang dimiliki Datin Seri Rosmah Mansor yang didedahkan media antarabangsa mengatakan sekurang-kurangnya ada sembilan buah beg tangan Birkin yang biasa dipakai olehnya. Harga sebuah beg Birkin biasanya berharga antara RM 32,000 hingga RM 530,000.

Bukan itu sahaja, The Times pula mendedahkan invois dan dokumen yang menunjukkan Rosmah telah menempah barang kemas permata, cincin zamrud dan rantai delima berharga jutaan dolar Amerika di Hong Kong antara tahun 2008 hingga 2009.

Lebih jauh daripada isu beg Birkin dan barang kemas yang bernilai jutaan dolar itu, NYT mendedahkan bahawa anak tiri Najib, Riza Aziz, telah membeli apartmen mewah di New York bernilai RM 117.5 juta dan juga sebuah rumah di Beverly Hills yang bernilai RM 61.5 juta.

Apa yang memeranjatkan adalah kemungkinan kedua-dua rumah itu dibeli dari taikun muda Jho Low, satu nama yang menimbulkan kontroversi kerana mempunyai kekayaan yang sukar dijelaskan asal-usulnya dan dikaitkan dengan dana 1MDB.

“Drama Jho Low, Riza, Najib Razak, dan Rosmah berbaloi dijadikan skrip Hollywood kerana keluarga Najib mampu berbelanja dan mendapatkan aset berjuta-juta ringgit di luar negara,” sindir Tony.

Justeru itu, tambah Tony, jika Najib merasakan kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewahnya adalah hasil jimat-cermat, maka beliau mesti menjelaskan bagaimana beliau memperolehi semua kekayaan itu.

“Sedangkan pekerjaannya hanyalah Menteri Besar Pahang (1982-1986), Menteri kabinet (1986-2004) dan Timbalan Perdana Menteri (2004-2009) sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri sejak 2009.

“Saya pasti, Perdana Menteri pasti setuju dengan saya bahawa kurangnya ketelusan dan pendedahan tentang kekayaan keluarganya itu hanya akan menambah lebih banyak spekulasi tentang asal-usul kekayaan luar biasa tersebut,” tambah Tony. – Roketkini.com