Berita

Jho Low tentukan dasar luar Malaysia di Arab Saudi?

SERDANG, 4 MAC: Kontroversi 1MDB mengaitkan Perdana Menteri Najib Tun Razak dan taikun misteri Taek Jho Low menjadi lebih parah apabila taikun itu kelihatan memainkan peranan mengatur dasar luar Malaysia di Arab Saudi.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya mendesak Najib untuk menjawab sendiri persoalan-persoalan yang timbul melibatkan Jho Low yang didakwa melarikan wang 1MDB sebanyak USD 700 juta dari syarikat PetroSaudi.

Pendedahan email antara pihak Najib, Jho Low, dan PetroSaudi oleh Sarawak Report menimbulkan persoalan adakah Jho Low turut terlibat mengatur dasar luar negara Malaysia.

“Satu soalan penting dari soalan yang banyak timbul (mengenai 1MDB dan PetroSaudi) ialah adakah Jho Low dibenarkan menentukan dasar luar negara Malaysia di Saudi?” soal Kian Ming.

Jho Low dilaporkan terlibat membuat ‘persiapan’ bagi lawatan rasmi pertama Najib ke Arab Saudi selepas menjadi Perdana Menteri pada Januari 2010 dan pada tahun berikutnya, ‘usahasama’ 1MDB dengan PetroSaudi dimeterai.

Sarawak Report turut mendedahkan bahawa pengasas PetroSaudi Tarek Obaid telah menghantar email kepada Jho Low sebelum lawatan rasmi Najib ke negara itu untuk meminta sokongan Malaysia terhadap dasar ketenteraanArab Saudi.

“Tarek Obaid, pengasas PetroSaudi dikatakan telah menghantar email pada 13 November 2009 meminta Perdana Menteri Malaysia menyokong langkah ketenteraan Arab Saudi di Yaman Utara ke atas kelompok pemberontak yang dikenali sebagai Houthis.

“Obaid malah menyediakan deras kenyataan (bagi pihak Najib).

“Pada 19 November, PM Najib mengeluarkan kenyataan mengutuk Houthis dan menyokong hak Arab Saudi untuk mempertahankan diri,” jelas Kian Ming.

Justeru itu, Kian Ming menggesa Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan terhadap dakwaan-dakwaan yang telah didedahkan oleh Sarawak Report itu.

“Dasar luar negara Malaysia sepatutnya diatur mengikut kepentingan rakyat Malaysia, namun nampaknya seolah-olah ada pula individu atau kumpulan tertentu yang boleh mengatur dasar luar negara untuk kepentingan diri mereka sendiri.

“Apa yang dilaporkan oleh Sarawak Report ini benar-benar membimbangkan kita,” ujar Kian Ming lagi. – Roketkini.com