Wawancara

Aziz Isa: Anak muda DAP dan politik baru di Sarawak (Bahagian 2)

Aziz Isa, 25, graduan Sarjana Muda Politik dan Pemerintahan dalam wawancaranya bersama Roketkini.com menjelaskan, kerja-kerja perubahan tidak semata-mata dalam bentuk politik. Dalam konteks Sarawak yang rencam suku-bangsa dan budaya, sudah tentu caranya berbeza.

Beliau yang kini melanjutkan pengajian ke peringkat Masters dalam bidang Kajian Politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) melakarkan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi Pakatan Rakyat di Sarawak secara umum, dan DAP secara khusus.

Menjelang pilihanraya negeri Sarawak ke-11 yang dijangka tahun ini, apa isu yang menjadi tumpuan?

Jangan hanya bawa isu nasional seperti isu (pemborosan) Rosmah Mansor, (pembelian) kapal selam (Scorpene). Orang Sarawak tak hairan sangat. Kepada mereka ini isu lapuk sebelum 2008, agak lama dan tak berhubung sangat dengan penduduk tempatan. Rakyat Sarawak lebih suka diangkat isu tempatan.

Contohnya isu pembalakan, monopoli keluarga isu Taib Mahmud dan autonomi negeri. Sebab itu sayap parti seperti DAPSY dan Wanita DAP di Sarawak menumpukan isu tempatan di setiap Pusat Khidmat. Kita (DAP) tak boleh dilihat sebagai parti semenanjung. Kita perlu juarai isu tempatan.

Apakah dengan pertukaran Ketua Menteri baru akan meredam kemarahan rakyat Sarawak terhadap salahurus tadbir Taib Mahmud sebelum ini?

IMG_9564

Mood akan tetap kepada Pakatan Rakyat walaupun tampuk pemerintahan berubah. Ini kerana Yang di-Pertua Negeri Tan Sri Taib Mahmud dianggap seperti raja, manakala Ketua Menteri Adenan Satim dianggap seperti Bendahara. Kuasa terletak di tangan gabenor (Yang di-Pertua Negeri), bukan kepada Ketua Menteri. Cuma gabenor sebelum ini tak gunakan kuasanya lebih daripada Ketua Menteri.

Seharusnya kredit politik sekarang ini lebih diberikan kepada Pakatan Rakyat. Pergolakan parti politik BN Sarawak terus berlaku di bawah kepimpinan Adenan Satim. Tak sampai 100 hari pentadbirannya, sudah muncul banyak isu. Contohnya isu ahli Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) yang menubuhkan TEGAS, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak bersama Parti Demokratik Bersatu (UDP). Barangkali akan ada pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Rakyat, dengan dua parti BN.

Sementara itu kempen ‘100 hari turunkan harga elektrik’ yang dianjurkan DAP Sarawak memberi kesan. Dahulu orang katakan bahawa perkara ini tak mampu terjadi. Tetapi sekarang perkara itu boleh diselesaikan. Tarif elektrik akan diturunkan tarif selepas kempen DAP. Dalam masa sama parti-parti Pakatan Rakyat Sarawak giat dengan kempennya. DAP dengan Impian Sarawak, PAS dengan ‘Untukmu Sarawak’ dan PKR dengan ‘Lighting Up Sarawak’

Di Sarawak perlu ada kebijaksanaan politik untuk mempromosi DAP, bukannya sepanjang masa tak bersetuju dengan BN. Mana perkara yang boleh berpihak kepada rakyat Sarawak, mereka akan bersatu. Sebab itu rakyat Sarawak hormat kepada DAP. Bila ada kepentingan Sarawak, mereka boleh duduk bersama.

Sarawak adalah negeri yang luas, sudah tentu berdepan masalah jurang maklumat, terutamanya maklumat alternatif.

IMG_9589

 

Sarawak terbahagi kepada empat kawasan. Iaitu bandar, separa-bandar, kampung dan pedalaman. Di kawasan kampung hanya sebahagiannya ada. Di pedalaman, boleh dikatakan tiada talian internet.

Penduduk kawasan kampung dan separa bandar boleh dikatakan telah biasa dengan penggunaan Facebook. Ini kelompok sasaran kita. Warga tua pun dah terbiasa dengan penggunaan Facebook.

Tentang penyebaran maklumat, terutamanya di kalangan anak muda. wujud sebuah jaringan idea yang sama – iaitu ‘Sarawak Untuk Orang Sarawak’. Muncul banyak kumpulan Facebook (antaranya) ‘Bangkit’, ‘Iban Raban, ‘Iban Troll’, ‘Raban Dayak Sarawak’ dan lain-lain. Mereka ada peminatnya sendiri.

Perjuangan mereka tetap sama dan ini cara mereka mengumpul pengikut. Biasanya yang menggerakkan laman Facebook ini adalah dari suku Dayak dan kumpulan pendesak Dayak.

Apa tuntutan masyarakat Dayak?

IMG_9554

Tuntutan utama adalah tanah adat. Ada empat jenis tanah adat (di Sarawak). Hanya dua daripadanya diiktiraf. Mereka menuntut tanah adat diukur dan diiktiraf. Mereka mendesak ekonomi masyarakat Dayak diangkat. Ia berlaku dengan sendiri. Masyarakat Dayak kini bangkit dengan berani dan ini ditakuti PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) sekiranya sayap ‘Pesaka’ keluar dan bergabung dengan PRS (Parti Rakyat Sarawak). Paling bimbang ialah orang Melanau yang terpaksa bermain ‘tarik tali’ dengan masyarakat Dayak.

Difahamkan, ratusan ribu anak Sarawak bertugas dan bekerja di Semenanjung. Apakah suasana politik di Semenanjng akan memberi pengaruh kepada cara mereka membuat keputusan?

Aktivis Semenanjung perlu mula pergi ke Sarawak sekarang. Jangan tunggu dah dekat dengan pilihanraya baru nak turun. Orang Sarawak di Semenanjung akan terasa kesan gelombang perubahan. Mereka akan melihat apa yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat dari Semenanjung. Sebenarnya mereka pun tak kisah sama ada orang Semenanjung (datang ke Sarawak), kerana yang penting Pakatan Rakyat perlu menang.

Jika dibawa pemimpin Pakatan Rakyat ke Sarawak ke Semenanjung untuk berkempen, orang Sarawak di Semenanjung akan nampak dan rasa malu sendiri. Bayangkan orang Semenanjung datang untuk menolong kita. Maka akan wujud keinginan untuk melakukan perubahan. Selain itu, penubuhan kelab anak Sarawak di Semenanjung dengan program khas perlu dianjurkan.

Contohnya bagaimana?

DAP perlu menganjurkan program khusus di kawasan terdapat ramai anak Sarawak. Pemimpin DAP dari Sarawak perlu diundang sama. Sama ada Melayu, Cina, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu perlu dilibatkan. Ia semacam ‘Jom Heboh’, tapi ditukar kepada ‘Jom Ubah’ Sarawak. Orang Sarawak di Semenanjung pasti akan datang.

Jenis program perlu santai. Jangan serius sangat. Orang Sarawak lebih gemar cara yang meriah. Bukannya untuk melalaikan, tetapi ini memang cara dan budaya orang Sarawak yang lebih gemarkan keraian-keraian, berbeza dengan cara orang di Semenanjung.

Mereka sebenarnya ingin berjumpa dengan pemimpin DAP. Mereka akan rasa pemimpin DAP lebih mesra. Pertemuan yang dianjurkan DAP ini dibuat ketika ia tidak dilakukan oleh BN.

BN melakukan propaganda bahawa DAP adalah parti ‘Semenanjung’. Bagaimana saudara melihat perkara ini dan cadangan menyelesaikannya?

Saya rasa DAP Pusat dan Semenanjung perlu kerap turun ke Sarawak, dan pemimpin DAP Sarawak pula turun ke Semenanjung. Manakala program perlu lebih berbentuk perjumpaan. Ini kerana di Sarawak sahaja ada lebih 10 wakil rakyat DAP. Pemimpin DAP dari Sarawak misalnya perlu ke Pulau Pinang bersama pemimpin masyarakat Dayak, Orang Ulu, untuk menerangkan apakah dia budaya Sarawak. Untuk makluman, masyarakat Cina di Sarawak sendiri berbeza dengan di Semenanjung.

Manakala kursus-kursus seperti Sekolah Demokrasi, program penerangan untuk membina jaringan baru dengan menjemput aktivis Sarawak ke Semenanjung. Gelombang perubahan bermula di Sarawak. Pada 2006, pembangkang mula menang di Sarawak. Ombak perubahan di Sarawak ini sampai ke Semenanjung pada 2008. Kemudian pembangkang (Pakatan Rakyat) menang lebih banyak lagi pada pilihanraya negeri 2011 dan pilihanraya umum 2013.

Saya cadangkan Pakatan Rakyat membuat promosi (politik) dengan cara Sarawak. Apa yang kita pamerkan adalah secara keharmonian, kesederhanaan, penentangan terhadap ekstremisme. Sebab itu Perkasa, atau ISMA gagal masuk ke Sarawak, dan orang Sarawak tak memerlukan UMNO. Sikap Pakatan Rakyat sama dan memiliki budaya ini.

Sarawak pernah digelar sebagai kubu kuat BN, namun dalam pilihanraya negeri ke-10 pada 2011, DAP berjaya memecah monopoli BN. Apa strateginya?

IMG_9535

DAP Sarawak banyak membuka pusat khidmat dan pusat komuniti. Berbanding PBB, pejabat ada, orangnya tiada. Banyak pusat dibuka, antaranya di Mas Gading, Tupong, Ota, Sentosa, Padungan, Batu Kawa, Stampin, Mambong, Serian, Seri Aman, Beting, Sarikei, Repok dan Maradong.

Ia berperanan menawarkan khidmat alternatif. Sekiranya kita setiap hari berjumpa, maka orang ramai terbiasa dengan alternatif. Membuka pusat khidmat dengan banyak umpama pelaburan. Pasti akan ada pulangannya. Saya sendiri (di Pusat Khidmat Tupong) menerima banyak aduan. Malah ada yang datang dari dari kawasan seperti Satok dan Tasik Biru.

Kita perlu lahirkan lebih banyak pemimpin, bukannya ‘bos’. Di Sarawak kami dibiasakan untuk kekal berkhidmat, meskipun sekiranya ada calon tertentu kalah dalam pilihanraya. Membuka Pusat Khidmat memberi keyakinan kepada pengundi, dan bukannya lari ke tempat lain bila kalah. Orang ramai akan menilai. Contohnya jika calon itu tewas dan masih terus berkhidmat, orang di Sarawak akan memberi peluang kedua

Pesanan kepada pembaca Roketkini.com

IMG_9623

Pembaca Roketkini perlu tahu bahawa ada suatu gelombang baru yang menunjukkan penerimaan DAP di Sarawak, terutamanya dari masyarakat bumiputera. Kita kena mulakan dengan Sarawak sebagai batu loncatan. Kita berharap orang Semenanjung banyak membaca tentang bagaimana masyarakat Sarawak mampu mengenepikan prejudis, stereotaip dan diskriminasi. Sarawak bukan seperti yang dilihat 50 tahun dahulu. Sarawak adalah contoh keterbukaan, keharmonian dan kesederhanaan. – Roketkini.com