Berita

DAP alu-alukan siasatan Ketua Audit ke atas 1MDB

PETALING JAYA, 5 MAC: DAP mengalu-alukan tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara jalankan siasatan ke atas 1MDB setelah mesyuarat jemaah menteri semalam.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam kenyataannya semalam bagaimanapun menyelar kenyataan melulu Perdana Menteri bahawa 1MDB tidak mempunyai masalah kewangan dalam keadaan siasatan belum pun bermula.

“Kabinet ingat rakyat Malaysia bodoh, bagaimana 1MDB ini boleh dikatakan bersih sebelum siasatan menyeluruh Ketua Audit Negara dijalankan?

“Bagaimana kabinet boleh dengar penjelasan dari 1MDB dan auditor luarannya kurang dari dua jam sebelum mendengar sendiri daripada pihak lain sekaligus terima bulat-bulat semua penjelasan daripada mereka tanpa ada apa-apa soalan?” soal Tony.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut menambah, Kabinet tiada hak mengatakan 1MDB ‘bersih’ kerana sebenarnya ia sendiri tidak memahami kekusutan masalah kewangan dalaman 1MDB.

“Jika benar 1MDB diuruskan dengan baik, kenapa syarikat itu berhutang RM42 bilion dan terpaksa meminjam RM 2 bilion dari Ananda Krishnan?” soal Tony lagi.

Justeru itu, Tony menyeru Ketua Audit Negara jalankan siasatan ke atas 1MDB segera dan menyampaikan laporan dalam tempoh 15 hari kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

“Ketua Audit Negara harus jalankan audit forensik ke atas 1MDB dibantu juruaudit profesional untuk dedah semua salah laku kewangan dalam syarikat itu, lebih-lebih lagi hal yang dibangkitkan Sarawak Report dan transaksi PetroSaudi dari tahun 2009 hingga 2012.

“Kami sendiri terbuka untuk bekerja bersama Ketua Audit Negara untuk pastikan dalang sebenar kerugian besar 1MDB di bawa ke muka pengadilan dan dihukum atas pengkhianatan mereka,” tegas Tony.-Roketkini.com