Berita

DAP cabar Najib dan menteri kabinet jawab skandal 1MDB di Parlimen

KUALA LUMPUR, 5 MAC: DAP mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jemaah menterinya untuk tidak mengelak dari menjawab soalan pada sidang Parlimen akan datang mengenai 1MDB jika benar syarikat pelaburan itu langsung tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib dan menterinya mesti memberikan komitmen penuh kepada setiap persoalan mengenai 1MDB dan tidak cuba melarikan diri dengan mendakwa semua persoalan tentang 1MDB harus menanti siasatan Ketua Audit Negara terlebih dulu.

“Kabinet telah menyatakan bahawa rekod 1MDB bersih, maka Najib dan jemaah menterinya mesti bersedia untuk bangun dan mempertahankan syarikat itu sepanjang satu bulan Parlimen bersidang bermula 9 Mac hingga 9 April nanti.

“Kesemua 35 menteri kini terlibat secara kolektif dan secara individu dalam hal ehwal 1MDB serta tidak boleh lagi memberi alasan bahawa mereka tidak tahu apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada hasil mesyuarat kabinet kerajaan semalam yang nampaknya seakan telah diatur oleh pakar publisiti utama Najib Paul Stadlen dengan satu objektif iaitu untuk menghindar akauntabiliti daripada skandal RM42 bilion 1MDB dari dibahaskan pada sidang Parlimen nanti.

Kabinet telah memutuskan bahawa syarikat pelaburan negara yang sarat menanggung hutang itu tidak melakukan sebarang kesalahan, setelah 1MDB dan juru auditnya memberikan taklimat mengenai situasi semasa syarikat serta memberi respons kepada beberapa soalan oleh menteri kabinet, termasuk Najib.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan apakah kesemua menteri kabinet semalam benar-benar faham apa yang berlaku sepanjang enam tahun lalu ketika mereka menyatakan bahawa 1MDB tidak mempunyai masalah.

“Adakah kesemua mereka diberikan sebarang dokumen mengenai 1MDB untuk dibaca dan difahami sebelum mesyuarat kabinet?

“Adakah mereka telah diberi akses kepada ‘ribuan’ dokumen transaksi dan email 1MDB yang dinyatakan telah diperoleh dari laporan London Sunday Times serta Sarawak Report, walaupun terdapat usaha-usaha hujung tahun lalu untuk mengumpulkan semua komputer, komputer riba pekerja termasuk server pelayan syarikat bagi memadamkan semua transaksi dan email tersebut?” soalnya.

“Kesemua 35 menteri ini sudah boleh menjelajah seluruh negara dan menjawab seribu satu persoalan mengenai segala karut-marut sepanjang enam tahun lalu memandang mereka beriya-riya mahu menjadi pembela 1MDB,” tegas Kit Siang. -Roketkini.com