Berita

Skandal 1MDB: Paul Low, Wahid Omar digesa nyatakan pendirian

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini menggesa dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar untuk menyatakan secara terbuka apakah mereka bersetuju dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Paul yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) perlu menjawab berikutan TI-M sendiri dulu telah mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah badan bertindak peringkat tertinggi untuk menyiasat apa yang disifatkan sebagai skandal jenayah komersial bernilai berbilion ringgit melibatkan 1MDB.

“TI-M juga menyatakan bahawa firma Ernst & Young dan KPMG harus dilibatkan memandangkan dua firma itu pernah menjadi juruaudit luaran 1MDB sebelum menarik diri.

“Abdul Wahid pula wajar menyatakan pendiriannya memandangkan beliau satu-satunya menteri yang mempunyai pengalaman dalam industri perbankan, terutama yang melibatkan hutang, sebagai bekas CEO Maybank.

“Sekiranya mereka berdua enggan menyatakan pandangan, maka kita tahulah bahawa mereka termasuk menteri kabinet lain hanyalah ‘rubber stamp’ yang tunduk patuh kepada arahan Najib,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun demikian, Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu menyatakan kenyataan Pejabat Perdana Menteri jelas mengesahkan bahawa 1MDB tidak akan diambil sebarang tindakan walau apa pun hasil selepas siasatan dijalankan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).

“Nampaknya kabinet sekarang telah mengambil alih tugas PDRM, SPRM, Bank Negara, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara.

“Kenyataan tersebut jelas merupakan jaminan rasmi kepada semua pelabur dari dalam dan luar negara yang terlibat dengan 1MDB bahawa tindakan tidak akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap sesiapa jua yang terlibat,” ujarnya. -Roketkini.com