Berita

Transkrip mesyuarat PasMa-DAP palsu

GEORGE TOWN, 5 MAC – Transkrip mesyuarat antara presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng adalah tidak benar.

Transkrip mesyuarat tersebut mendedahkan kononnya terdapat kerjasama antara PasMa dan DAP untuk menggulingkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bercakap kepada media semalam, Guan Eng berkata bahawa tidak berlaku sebarang perbincangan untuk menggulingkan Hadi dalam mesyuarat terbabit yang berlangsung di pejabatnya di Komtar pada 12 Januari.

“Ia adalah satu pembohongan. Ia transkrip palsu. Ia tidak dibocorkan kerana perkara seperti itu tidak langsung dibincangkan,” katanya dilaporkan The Malaysian Insider..

“Kami bercakap tentang politik inklusif. Orang bukan-Melayu pun boleh menyertai PasMa, yang bertujuan memperkukuh Pakatan Rakyat,” tambahnya ketika diminta mengulas hal tersebut.

Menurut beliau lagi, PasMa turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan kepada negeri Kelantan berikutan bencana banjir yang melanda negeri itu hujung tahun lalu. – Roketkini.com