Berita

DAP umum tiga lagi projek Impian Malaysia, ajak orang ramai sertai

KUALA LUMPUR, 6 MAC: DAP mengumumkan untuk menjalankan tiga lagi projek Impian Malaysia di Sarawak dan Sabah bulan ini.

Menurut Setiausaha Inisiatif Impian Malaysia Yeo Bee Yin, tiga projek itu akan dijalankan bermula 14 Mac ini di Mambang, Sarawak.

Sehubungan itu, DAP mengajak dan mengalu-alukan orang ramai untuk turut sama membantu sebagai sukarelawan dalam projek.

“Kami ingin mengajak orang ramai untuk turut sama menjadi sukarelawan tiga projek terbaru nanti iaitu pada 14 hingga 18 Mac di Mambong (Sarawak), 18 hingga 22 Mac di Sri Aman(Sarawak) dan 22 hingga 29 Mac di Pitas (Sabah).

“Inilah masanya untuk semua orang menjadi agen perubahan bagi membantu penduduk yang mengalami kesusahan tanpa sebarang bantuan di kawasan pedalaman kerana keadilan hanya akan dapat diperoleh dengan berlaku adil kepada semua pihak,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan beberapa sukarelawan di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Menurut Bee Yin, setakat ini projek Impian Malaysia telah berjaya menyiapkan 30 projek sejak dilancarkan pada September 2013.

“Impian Malaysia mendukung cita-cita ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia ‘tanpa mengira gender, umur, bangsa dan agama.

“Kami percaya bahawa semangat sukarelawan dan penglibatan masyarakat boleh memupuk semangat kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya di kalangan generasi muda,” ujarnya.

Antara kejayaan terbesar projek Impian Malaysia adalah membina jalan di Kampung Kiding dan projek paip air graviti di beberapa tempat seperti di Lawas serta Limbang.

Selain pembinaan jalan asas dan agihan air graviti, Impian Malaysia juga merangkumi penambahbaikan kemudahan yang dikongsi masyarakat dengan membina tandas komuniti, projek hidro mikro untuk menjana tenaga elektrik, kem pendidikan serta kem kesihatan di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai akses kepada perubatan.

Kian Ming pula menyatakan, mungkin Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diberi penekanan baru boleh melihat modul yang diterapkan dalam projek Impian Malaysia.

“Saya berharap program PLKN yang diberi penekanan baru boleh menerapkan modul kesukarelawanan dengan melihat apa yang telah kami lakukan.

“Kami bersedia dengan tangan terbuka jika PLKN mahu menemui kami,” ujarnya.

Kepada mereka yang berminat, sila isi maklumat pada borang di pautan ini: https://docs.google.com/forms/d/1Ol_PRmGWRcB28siMXvB8Hjib16hqo6g8SqNJ2dqfzMI/viewform

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke emel umum di [email protected]

Untuk sebarang maklumat berhubung program terbaru, dokumentasi projek yang telah, sedang, dan akan dilaksanakan oleh Impian Malaysia, sila layari laman facebook rasmi di https://www.facebook.com/ImpianMalaysia.

Bagi yang mahu membantu dengan menghulurkan sumbangan derma supaya kelangsungan projek dapat diteruskan boleh melakukannya secara atas talian di sini: https://dapmalaysia.org/donate/ atau mengeposkan cek ke Ibu Pejabat DAP.