Berita

Isu 1MDB: Zahid Hamidi patut arah KPN siasat, bukan nafi pertanyaan rakyat

PETALING JAYA, 6 MAC: Kenyataan Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi yang menyalahkan pembongkar skandal 1MDB menunjukkan menteri itu membutakan matanya terhadap dalang sebenar yang dikaitkan dengan skandal kehilangan dana USD 700 juta itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Zahid menyifatkan pembongkaran skandal 1MDB oleh pembangkang, media, dan penganalisa kewangan sebagai satu serangan dan spekulasi tidak berasas untuk memburukkan imej negara di mata pelabur asing.

“Semua serangan terhadap 1MDB secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara dan dianggap sebagai satu serangan tersusun terhadap Malaysia. Semua yang berada di belakang serangan ini mesti bertanggungjawab terhadap apa-apa tuduhan palsu itu,” kenyataan Zahid Hamidi dipetik.

Menyelar kenyataan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua mengatakan Zahid telah ‘salah tembak’.

“Zahid sudah tembak pihak yang salah. Sepatutnya dia letak kesalahan pada mereka yang rompak kerajaan dan pembayar cukai. Beliau juga patutnya salahkan mereka yang membiarkan rompakan besar ini terjadi di depan mata mereka,” ujar Tony.

Pembongkaran 1MDB oleh pelbagai media tempatan dan antarabangsa mengaitkan keluarga Perdana Menteri Najib Tun Razak, taikun Low Taek Jho dan Pejabat Perdana Menteri dengan  ‘kehilangan’ RM2.5 bilion dana 1MDB dan mengakibatkan syarikat kerajaan itu mengumpul hutang sehingga RM42 bilion.

Menurut Tony, media dan rakyat berhak tahu dan tidak boleh dipersalahkan oleh sesiapa pun hanya kerana menyatakan kebimbangan mereka terhadap situasi tanggungan kewangan 1MDB.

“Daripada menyebut ‘semua serangan, spekulasi dan dakwaan tidak berasas oleh pihak tertentu’ , mengapa tidak Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) yang gila twitter itu untuk siasat dakwaan-dakwaan ini?

“Setakat yang saya tahu, semua dakwaan dibuat, khususnya pemindahan USD700 juta (RM2.5 bilion) ke dalam akaun yang dikawal oleh Jho Low disokong dengan dokumen berfakta.

“Jika Zahid, KPN dan semua Kabinet ada masalah memahami semua tuduhan salahlaku dalam transaksi 1MDB, saya  menawarkan diri untuk membuat satu pembentangan bertajuk “1MDB:Berakhirnya Sebuah Kejatuhan” kepada mereka.

“Setiap soalan mereka saya akan jawab tanpa apa-apa sekatan agar semua kesinisan dan sikap teragak-agak mereka terhadap kritikan dapat dibersihkan.

“Namun, adakah kabinet sedia dengar kebenaran? atau mereka terus akan jadi seperti pepatah tiga monyet yang ada mata tak melihat, ada telinga tak mahu dengar, ada mulut tak mahu bercakap, dan berterusan salahkan orang yang tidak bersalah,” sindir Tony.-Roketkini.com