Berita

Pencemaran perairan Selatan Johor: DAP gesa kerajaan negeri ambil tindakan tegas

GELANG PATAH, 6 MAC: DAP mendesak kerajaan negeri dan agensi penguatkuasan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa saja yang bertanggungjawab melakukan tindakan terkutuk mencemari perairan selatan Johor.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Mahdzir Ibrahim berkata, tindakan termasuk pemantauan perlu dijalankan dengan lebih kerap berikutan pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab telah mengakibatkan ribuan ikan mati sekaligus menjejaskan sumber rezeki penternak sekitar.

“Kita tidak seharusnya berkompromi atas nama pembangunan mega dengan mempertaruhkan kualiti dan keselamatan sumber protein untuk rakyat dan kelestarian alam sebagai kelangsungan ekosistem serta sosioekonomi.

“Jika kejadian sama berulang selepas ini, DAP Johor yakin industri akuakultur negeri tidak akan berkembang dan mungkin akan gulung tikar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Mahdzir, pada Julai tahun lalu, telah berlaku kejadian kematian beribu ikan ternakan dalam sangkar di sekitar perairan Pendas Laut hingga Tanjung Piai dan kini kejadian sama berulang lagi dalam skala lebih besar.

“DAP Johor yakin, kejadian ini berpunca dari kesan-kesan perubahan persekitaran marin di kawasan terbabit yang mana telah diceroboh, dicemar dan disalahguna untuk tujuan tidak sepatutnya.

“Kita juga dimaklumkan, kesan ini akan menjangkau hingga ke Tanjung Piai dan selatan Pontian yang akan menjejaskan 2200 orang nelayan pantai di kawasan terbabit,” ujarnya.

Difahamkan, pada 29 Februari lalu, ikan-ikan tersebut termasuk ikan liar telah mati secara mengejut dalam jumlah yang terlalu banyak dan hanya disedari oleh pengusaha Sabtu lalu.

Katanya, kejadian terbabit langsung tidak dilaporkan media tempatan kecuali agensi berita negara jiran Singapura iaitu Channel News Asia.

Jelas Mahdzir, dari laporan itu, kajian oleh Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) mendapati ikan-ikan tersebut mati akibat kerosakan insang disebabkan plankton, mikro-organisma laut, berkembang atau membiak terlalu cepat dalam masa singkat sehingga menyekat pengaliran oksigen dalam air laut.

Menurutnya lagi, pada 4 Mac kejadian sama sekali lagi berlaku di kawasan Pendas, Gelang Patah.

“Seorang pemilik sangkar Goh Lai Soon memberitahu beliau mendapati kesemua ikan di dalam 23 tiga buah kelung sangkarnya mati.

“Secara keseluruhannya ikan tersebut berjumlah 115 ribu ekor dan separuh darinya adalah anak ikan serta dewasa yang sudah sedia untuk dijual

“Kesemua ikan ternak ini adalah untuk pasaran tempatan dan eksport ke Singapura, jika diambil kira ia mencecah RM500 ribu,” tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP (DAPSY). -Roketkini.com